SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Sunday, July 6, 2014

ISU WANITA HAMIL & MENYUSU

Perbuatan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum-hakam agama berdasarkan dalil-dalil mengikut kefahaman akal fikiran sendiri oleh sebahagian individu atau ustaz pada masa kini amatlah membimbangkan. Jika perkara seperti ini berterusan dari semasa ke semasa dan tidak dibendung dari sekarang, maka sudah pastilah kesucian dan kemurnian syariat Islam itu akan tercemar.
Para Ulamak Mazhab sebenar tidak akan mengeluarkan sesuatu hukum agama mengikut hawa nafsu mereka semata-mata, kerana mereka adalah golongan yang paling takut kepada kepada Allah Ta'ala dan sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah Ulama." (Surah Faathir: Ayat 28).
Sudah jelas lagi maklum, sepakat Ulamak Mazhab bahawa WANITA HAMIL & MENYUSU diharuskan berbuka puasa jika khuatir berlaku mudharat atau sakit terhadap dirinya atau kandungannya atau anakknya.
Namun mereka (para Ulamak) berlaku khilaf dalam menentukan hukuman yang dikenakan ke atas WANITA HAMIL & MENYUSU. Menurut mazhab Syafi'e, sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab Fiqh Al-Minhaji (2/94):
الحامل والمرضع
إذا أفطرت الحامل والمرضع، فهي إما أن تفطر خوفا على نفسها، أو خوفا على طفلها
فإن أفطرت خوفا من حصول ضرر بالصوم على نفسها وجب عليها القضاء فقط قبل حلول شهر رمضان آخر. روى الترمذي (715) وأبو داود (2408) وغيرهما عن أنس الكعبي - رضي الله عنه - عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قال: إن الله تعالى وضع عن المسافر الصوم وشطر الصلاة، وعن الحامل أو المرضع الصوم أي خفف بتقصير الصلاة، ورخص في الفطر مع القضاء
وإن أفطرت خوفا على طفلها، وذلك بأن تخاف الحامل من إسقاطه إن صامت، أو تخاف المرضع أن يقل لبنها فيهلك الولد إن صامت، وجب عليها والحالة هذه القضاء والتصدق بمد من غالب قوت البلد عن كل يوم أفطرته. ومثل هذه الصورة أن يفطر الصائم لإنقاذ مشرف على الهلاك، فيجب عليه مع القضاء التصدق بمد طعام. روى أبو داود (2318) عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين) البقرة 184. قال كانت رخصة للشيخ الكبير والمرأة الكبيرة، وهما يطيقان الصوم أن يفطرا ويطعما كل يوم مسكينا، والحبلى والمرضع إذا خافتا ـ يعني على أولادهما ـ أفطرتا وأطعمتا
Mengandung & Menyusu
Wanita yang mengandung & menyusu tersebut membatalkan puasanya kerana khuatir keadaan dirinya sendiri atau bayinya, jika ia berbuka kerana khuatir akan kesihatan dirinya sendiri, maka dia wajib mengqada' puasa yang ditinggalkan tersebut sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Dalilnya adalah riwayat daripada Anas Al-Ka'bi radhiyaAllahu 'ahu, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ المُسَافِرِ الصَّوْمَ، وَشَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الحَامِلِ أَوِ المُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
“Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak mewajibkan puasa ke atas musafir dan memberi keringanan mengqasarkan solat untuknya, juga memberi keringanan kepada wanita mengandung dan menyusu untuk tidak berpuasa" (HR Turmuzi, no.715 : HR Abu Daud, no.2408 dan selain keduanya)
Jika wanita tersebut membatalkan puasanya kerana bimbang (khuatir) keadaan anaknya, demikian juga bimbang akan kesihatan kandungannya, iaitu bimbang berlakunya keguguran bagi wanita yang mengandung atau susu berkurangan bagi ibu yang menyusui bayinya kerana dia sedang berpuasa, maka wanita tersebut diwajibkan untuk mengqada’ puasa yang ia tinggalkan dan membayar fidyah iaitu secupak makanan asasi penduduk negerinya sebanyak jumlah hari yang dia tidak berpuasa. Demikian juga bagi orang yang berbuka kerana menyelamatkan orang yang dalam keadaan bahaya, dia wajib qada' dan memberi sedekah tersebut (fidyah). Dalilnya adalah riwayat daripada Ibn 'Abbas radhiyaAllahu 'ahu;
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: {وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ}، قَالَ: «كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ، وَالْمَرْأَةِ الْكَبِيرَةِ، وَهُمَا يُطِيقَانِ الصِّيَامَ أَنْ يُفْطِرَا، وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ سْكِينًا، وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا»، قَالَ أَبُو دَاوُدَ: يَعْنِي عَلَى أَوْلَادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا
"Daripada Ibn 'Abbas radhiyaAllahu 'ahu katanya, firman Allah Ta'ala: "Dan bagi orang yang tidak mampu berpuasa (kerana tua dan selainnya), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin." (Surah Al-Baqarah: 184). Ibn 'Abbas berkata; Ini merupakan keringanan (rukhsah) yang ditujukan kepada lelaki dan wanita tua dan tidak mampu berpuasa, mereka hendaklah memberi makan seorang miskin setiap hari satu hari satu orang miskin dan keringanan bagi wanita yang mengandung dan menyusu apabila bimbang atua merasa takut. Abu Daud berkata: Iaitu bimbang kepada anak mereka berdua, maka mereka harus berbuka dan wajib memberi makan (fidyah).” (HR Abu Daud, no.2318)
Wallahu 'a'lam.

Thursday, July 3, 2014

Q&A: SAFF SOLAT


Soal.

Assalammualaikum WBT Ustaz, Maaf mengganggu. Ada pertanyaan sedikit tentang sah solat dan saf. Pada pengetahuan saya, jika saf kita salah (cth: saf tak rapat, jemaah tidak memenuhi ruang saf dgn betul), ia menjadi tidak sah solat. Betulkah? Sekiranya betul, perlu ke kita meninggalkan tempat tersebut dan solat bsendirian?

Jawab.

Waalaikumsalam wa rahmatullahi wa barakatuh

1. Sebelum menjawab persoalan di atas, sayugia kami ingin menjelaskan bahawa saff solat bukanlah termasuk syarat sah atau rukun solat. Justeru, ia tidak memberi kesan kepada sah atau batalnya solat seseorang.

2. Jika seandainya ia merupakan satu rukun atau syarat sah solat, sudah tentu orang yang solat bersendirian, tidak sah solatnya kerana tidak mempunyai saff. Ini penting untuk difahami.

3. Berkaitan hukum meluruskan saff atau barisan dalam solat, terdapat khilaf dikalangan Ulamak.

Pertama: Sunat.
Jumhur Ulamak berpendapat bahawa meluruskan saff @ barisan ketika mengerjakan solat berjema'ah adalah SUNAT hukumnya. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya sabda Nabi ﷺ:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

"Luruskan saff-saff kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saff @ barisan adalah sebahagian daripada mendirikan solat." (HR Bukhari No.723)

Kedua: Wajib.
Sebahagian Ulamak seperti Syekh Ibnu Hajar Al-Asqalani dan beberapa Ulama' Hadis yang lain, menyatakan bahawa meluruskan saff ketika solat berjema'ah hukumnya WAJIB berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

"Luruskanlah saff-saff kalian atau Allah akan memalingkan wajah-wajah kalian." (HR Bukhari, No.717 & Muslim, No.436)

Hadis di atas hadis mengandungi suatu bentuk ancaman yang ditujukan kepada suatu perbuatan yang menyalahi perintah, menunjukkan bahawa perkara yang diperintahkan adalah perkara wajib. Ekoran daripada itu disimpulkan bahawa hukum meluruskan saff adalah wajib dan melanggar peraturan tersebut adalah haram hukumnya.

Pun begitu Syeikh Ibnu Hajar menjelaskan lagi bahawa walaupun meluruskan saff itu wajib, solat jema'ah tetap sah sekalipun saff tidak lurus. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan apa yang dilakukan oleh Sayyiduna Anas, walaupun beliau menegah orang-orang yang tidak meluruskan saff, beliau tidak menyuruh mereka mengulangi semula solat mereka.

4. Pendapat yang mengatakan solat tidak sah jika saff tidak rapat atau lurus boleh membatalkan solat adalah tidak betul dan kurang tepat. Maka tidak perlu meninggalkan solat jema'ah tersebut, kerana ia adalah perbuatan yang merugikan diri sendiri kerana meninggalkan solat berjemaah.

5. Kesimpulannya, solat jemaah tetap dihukumkan sah walaupun saff solat tersebut tidak lurus. 

___________________

Rujukan.

Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah : 27/35-36.

تسوية الصف في صلاة الجماعة
ذهب الجمهور إلى أنه يستحب تسوية الصفوف في صلاة الجماعة بحيث لا يتقدم بعض المصلين على البعض الآخر، ويعتدل القائمون في الصف على سمت واحد مع التراص، وهو تلاصق المنكب بالمنكب، والقدم بالقدم، والكعب بالكعب حتى لا يكون في الصف خلل ولا فرجة، ويستحب للإمام أن يأمر بذلك لقوله صلى الله عليه وسلم: سووا صفوفكم فإن تسوية الصف من تمام الصلاة وفي رواية: فإن تسوية الصفوف من إقامة الصلاة وفي رواية: وأقيموا الصف فإن إقامة الصف من حسن الصلاة ولما رواه أنس رضي الله عنه قال: أقيمت الصلاة فأقبل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم بوجهه فقال: أقيموا صفوفكم، وتراصوا فإني أراكم من وراء ظهري وفي رواية: وكان أحدنا يلزق منكبه بمنكب صاحبه وقدمه بقدمه
وذهب بعض العلماء - منهم ابن حجر وبعض المحدثين - إلى وجوب تسوية الصفوف لقوله صلى الله عليه وسلم: لتسون صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجوهكم  فإن ورود هذا الوعيد دليل على وجوب التسوية، والتفريط فيها حرام؛ ولأمره صلى الله عليه وسلم بذلك وأمره للوجوب ما لم يصرفه صارف، ولا صارف هنا.
قال ابن حجر العسقلاني: ومع القول بأن تسوية الصف واجبة فصلاة من خالف ولم يسو صحيحة، ويؤيد ذلك: أن أنسا مع إنكاره عليهم لم يأمرهم بإعادة الصلاة
ومن تسوية الصفوف إكمال الصف الأول فالأول، وأن لا يشرع في إنشاء الصف الثاني إلا بعد كمال الأول، وهكذا. وهذا موضع اتفاق الفقهاء لقوله صلى الله عليه وسلم: أتموا الصف المقدم ثم الذي يليه، فما كان من نقص فليكن في الصف المؤخر وقوله صلى الله عليه وسلم: من وصل صفا وصله الله ومن قطع صفا قطعه الله. وعليه فلا يقف في صف وأمامه صف آخر ناقص أو فيه فرجة، بل يشق الصفوف لسد الخلل أو الفرجة الموجودة في الصفوف التي أمامه؛ للأحاديث السابقة

Wallahu 'a'lam.

Wednesday, June 11, 2014

HUKUM MENYAMBUT MALAM NISFU SYA’BAN


Sumber:  Fatwa Darul Ifta’ Al-Mishriyah
Tahun: 2006
Oleh: Mufti Besar Prof. Dr. Ali Jum'ah Muhammad

Soalan:

Sejak sekian lama kami selalu mengadakan majlis sambutan malam Nisfu Sya'ban. Dalam majlis tersebut seluruh penduduk kampung – sama ada lelaki atau pun wanita, besar atau pun kecil— berkumpul di masjid untuk melaksanakan solat Maghrib. Selepas solat, kami membaca surah Yasin sebanyak tiga kali. Setiap kali selesai membaca surah Yasin, kami berdoa dengan doa-doa yang disebutkan di dalam Al-Quran yang mengandungi doa untuk Islam dan umat Islam. Dahulu, kami membaca doa khusus malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah dan menyaringkan suara (jahar), tetapi sekarang kami menggantikannya dengan doa daripada Al-Quran. Apakah pandangan agama (berkenaan hukum) menyambut atau mengadakan majlis  sambutan malam Nisfu Sya'ban dengan cara yang kami lakukan itu?


Jawaban:

Pertama: Malam Nisfu Sya'ban merupakan malam yang penuh keberkatan. Kelebihan malam Nisfu Sya’ban disebutkan dalam beberapa banyak hadis yang saling menguatkan antara satu sama lain dan mengangkat martabat hadis kepada hasan dan kuat. Mengadakan majlis sambutan memperingati malam Nifsu Sya’abn dan menghidupkan malam tersebut merupakan amalan yang sesuai dengan tuntunan agama. Hadis-hadis tentang kelebihan dan keutamaan malam tersebut tidak termasuk dalam kategori hadis-hadis yang sangat dha'if atau maudhu'.

Di antara hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan malam Nisfu Sya'ban ini ialah:

Hadis Ummul Mukminin ‘Aisyah radhiyaAllahu ‘anha, katanya, "Pada suatu malam, aku tidak menemui Rasulullah  (di dalam rumah). Lalu aku keluar untuk mencari Baginda. Akhirnya, aku menemui Baginda di perkuburan Baqi' dalam keadaan sedang menghadapkan wajahnya ke langit. Baginda lalu berkata, "Adakah engkau khuatir jika Allah dan RasulNya melakukan kezaliman terhadapmu?" Aku (‘Aisyah) menjawab, "Bukan itu yang aku fikirkan, akan tetapi aku menyangka bahawa engkau pergi ke tempat salah seorang daripada isterimu." Lalu Baginda  bersabda;

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ

"Sesungguhnya (rahmat) Allah turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya'ban dan mengampuni hamba-hambaNya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing milik kabilah Bani Kalb." (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Bani Kalb adalah kabilah yang terkenal memiliki kambing paling banyak.

Dari Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah  bersabda;

إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا يَوْمَهَا؛ فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ: أَلاَ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ فَأَغْفِرَ لَهُ ؟ أَلاَ مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ ؟ أَلاَ مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ ؟ أَلاَ كَذَا أَلاَ كَذَا ...؟ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْر

"Jika datang malam Nisfu Sya'ban, maka laksanakanlah solat pada malamnya dan berpuasalah pada siang harinya, kerana sesungguhnya rahmat Allah turun ke langit dunia ketika matahari terbenam pada malam itu. Allah berfirman, "Adakah sesiapa yang meminta ampun sehingga Aku mengampuninya. Adakah sesiapa yang meminta rezeki sehingga Aku memberikan kepada rezeki. Adakah sesiapa yang sakit sehingga Aku sembuhkan penyakitnya. Adakah orang yang demikian? adakah orang yang demikian? Dan seterusnya sehingga terbit fajar." (HR. Ibnu Majah).

Selain itu, tidak mengapa (harus) membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib dengan suara yang keras atau nyaring secara berjemaah (beramai-ramai). Ini kerana amalan tersebut termasuk perbuatan dan amalan (perintah) untuk menghidupkan malam Nisfu Sya'ban. Terdapat kelapangan (tidak terikat) dalam melakukan amalan zikir dan mengkhususkan tempat tertentu atau waktu tertentu untuk melakukan amal ibadat secara berterusan adalah diharuskan selagi mana orang yang melakukanya tidak berpegang atau meyakini bahawa amalan tersebut adalah wajib dan berdosa jika ditinggalkan.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar , katanya;

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وآله وسلم يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبًا » متفق عليه
"Nabi pergi ke masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu sambil berjalan kaki atau menunggang binatang tunggangan." (Muttafaq ‘alaih).

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath Al-Bari mengatakan;

وفي هذا الحديث على اختلاف طرقه دلالة على جواز تخصيص بعض الأيام ببعض الأعمال الصالحة والمداومة على ذلك
"Hadis ini, dengan pelbagai jalur riwayatnya, menunjukkan bahawa harus (boleh) mengkhususkan hari-hari tertentu untuk melakukan amalan-amalan soleh secara berterusan."

Al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitab Lathaif Al-Ma'arif mengatakan;

واختلف علماء أهل الشام في صفة إحيائها على قولين
أحدهما : أنه يُستحب إحياؤها جماعة في المساجد ، كان خالد بن معدان ولقمان بن عامر وغيرهما يلبسون فيها أحسن ثيابهم ويتبخرون ويكتحلون ويقومون في المسجد ليلتهم تلك ، ووافقهم إسحاق بن راهويه على ذلك ، وقال في قيامها في المسجد جماعة : ليس ذلك ببدعة ، نقله عنه حرب الكرماني في مسائله .
والثاني : أنه يُكَرَهُ الاجتماع فيها في المساجد للصلاة والقصص والدعاء ، ولا يكره أن يُصلي الرجل فيها بخاصة نفسه ، وهذا قول الأوزاعي إمام أهل الشام وفقيههم وعالمهم

"Para Ulamak Negeri Syam berbeza pendapat dalam menentukan (hukum) menghidupkan malam Nisfu Sya'ban kepada dua pendapat: Pendapat pertama mengatakan bahawa dianjurkan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjemaah (beramai-ramai) di dalam masjid. Adalah (pada malam itu), Khalid bin Mi'dan, Luqman bin 'Amir dan selain daripada mereka, memakai pakaian terbaiknya, menggunakan minyak wangi dan memakai celak mata kemudian berdiam di dalam masjid. Apa yang dilakukan tersebut dipersetujui oleh Ishaq bin Rahawaih. Beliau turut menyatakan bahawa mengerjakan solat secara berjamaah di masjid pada malam Nisfu Sya’ban bukanlah termasuk amalan bid'ah. Hal ini sebagaimana dinukil oleh Harb Al-Kirmani dalam kitab Al-Masai. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa berkumpul di masjid pada malam Nisfu Sya'ban untuk melakukan solat, memberikan nasihat dan berdoa adalah perbuatan makruh. Tetapi, jika seseorang melakukan solat secara bersendirian, maka ianya tidak dimakruhkan. Ini merupakan pendapat Al-Awza'i yang merupakan seorang Imam, faqih dan ‘alim Negeri Syam."

Oleh yang demikian, menghidupkan malam Nisfu Sya'ban dengan cara yang disebutkan dalam pertanyaan di atas merupakan amalan dan perbuatan yang disyariatkan, bukan bid'ah atau makruh. Dengan syarat perkara tersebut dilakukan dengan tidak berpegang atau meyakini  bahawa amalan tersebut  wajib dilakukan. Jika sekiranya amalan (sambutan) tersebut dilakukan dengan memaksa orang lain untuk turut serta melakukannya dan menyalahkan mereka jika tidak mengikutinya, maka perbuatan itu menjadi amalan bid'ah kerana telah mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya . Ini antara faktor dan sebab yang membuatkan beberapa ulamak Salaf tidak bersetuju atau menganggap makruh amalan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah. Justeru itu, tidaklah makruh menyambut atau menghidupkan malam Nisfu Sya’ban seandainya tidak wujud paksaan atau anggapan bahawa ianya wajib dilaksanakan.


Ustaz Zaid Abdul
Khadam Ilmu & Ulamak