SELAMAT DATANG!
Sunday, July 13, 2014
ADAKAH MAKMUM WAJIB MEMBACA AL-FATIHAH
Terdapat khilaf dikalangan 4 Mazhab berkenaan hukum makmum membaca Al-Fatihah di belakang Imam.
Al-Imam Al-'Allamah Al-Hafidz Al-Muhaddits Al-Ushuli Al-Muhaqqiq Al-Mudaqqiq Abul Fadhl Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Siddiq Al-Ghumari رحمه الله ada mengarang sebuah makalah berjudul 'Al-Adillat Al-Rajihah 'Ala Fardhiyati Qira'at Al-Fatihah'.
Makalah ini berkaitan tentang perbahasan hukum membaca Al-Fatihah di belakang Imam menurut empat mazhab. Sungguh ianya sangat bermanfaat buat para penuntut ilmu. Kesimpulan perbezaan hukum membaca Al-Fatihah di belakang Imam seperti berikut;
1. Mazhab Hanafi - Makmum tidak diharuskan membaca Al-Fatihah atau ayat-ayat Al-Quran yang lain di belakang Imam, samada pada solat Jahar atau Sirr.
2. Mazhab Malik - Makmum tidak diharuskan membaca Al-Fatihah pada solat Jahar tetapi dibaca pada solat Sirr. Demikian juga pendapat Imam Ahmad.
3. Mazhab Syafie - Diwajibkan makmum membaca Al-Fatihah di belakang Imam samada pada solat Jahar atau Sirr. Demikian juga pendapat Imam Auza'ie, Laith, Ibn Hazm.
[ref: Al-Adillat Al-Rajihah 'Ala Fardhiyati Qira'at Al-Fatihah, 3-4]
JARAK DIHARUSKAN SOLAT JAMAK & QASAR
Jarak yang menjadi syarat diharuskan menjamak & mengqasarkan solat menurut panduan fiqh ialah 2 marhalah. Berapa jarak 2 marhalah tersebut mengikuti hitungan KM?
Mari kita merujuk sebuah kitab fiqh mazhab Syafi'e versi moden berjudul At-Taqrirat Asy-Syadidah (315), karya Syeikh Hasan bin Ahmad Al-Kaff.
كون سفره مرحلتين, أي : طويلاو وهو ما يساوي 16 فرسخا, والفرسخ : 3 أميال, والميل : 4000 خطوة, فالمرحلتان : 82 كيلو متر تقريبا
Daripada kenyataan di atas dapat disimpulkan bahawa 2 marhalah bersamaan lebih kurang 82 KM.
Wallahu 'a'lam.
Saturday, July 12, 2014
Q&A: DOA BAHASA MELAYU DALAM SOLAT
Soal.
Salam Ustad..Boleh kah saya berdoa dalam bahasa melayu ketika sujud terakhir solat? kerana ada hajat2x tertentu yang saya ingin kan.. atau perlu saya berdoa dalam hati saja? Harap dapat penjelasan ustad. TKasih.
Jawab.
Wa'alaikum salam.
1. Diantara perkara yang disunatkan ketika sujud selain mengucapkan zikir & tasbih ialah berdoa kepada Allah Ta'ala. Hal ini sesuai menurut anjuran agama berdasarkan hadis Nabi shallaAllahu 'alayhi wa sallam.
2. Seseorang yang tidak mampu berdoa di dalam bahasa 'Arab ketika solat, maka dia boleh menterjemahkan doa yang hendak dibaca tersebut ke bahasa Melayu atau bahasa lain, tetapi dengan syarat doa yang dibaca dalam bahasa Melayu itu adalah diterjemahkan daripada doa yang ma'thur/ warid daripada Nabi shallaAllahu 'alayhi wa sallam.
3. Jika dia berdoa dalam bahasa Melayu dengan doa yang tidak ma'thur atau doa direka sendiri olehnya, maka perbuatan tersebut hukumnya haram dan membatalkan solat.
4. Kami mencadangkan agar kita berusaha untuk menghafal doa-doa solat di dalam bahasa 'Arab. Jika kita tidak mampu, maka berusahalah pula untuk menghafal terjemahan doa-doa tersebut.
5. Jika dia berdoa di dalam hati, maka ia tidak menjejaskan solatnya.
Tanbih.
Perlu diingatkan bahawa, sujud lama pada rakaat terakhir semata-mata untuk berdoa merupakan perbuatan yang menyalahi sunnah. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh Imam yang memimpin solat berjemaah. Ini kerana tempat berdoa ketika sujud tidak hanya dikhususkan pada rakaat terakhir solat. Setiap orang yang solat boleh berdoa ketika sujud, sama ada pada rakaat pertama, kedua, ketiga atau keempat tanpa mengkhususkan rakaat terakhir sebagai tempat berdoa. Intaha!
_________________
Rujukan.
Nihayah Al-Muhtaj, 1/513
Subscribe to:
Posts (Atom)


