SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Sunday, June 28, 2015

IMAM TIDAK WAJIB BERNIAT 'IMAMAN'

Di dalam solat berjemaah imam tidak diwajibkan berniat menjadi imam kecuali pada empat tempat yang disebutkan sebelum ini. Ini kerana tidak disyaratkan imam berniat menjadi imam untuk sahnya solat berjemaah akan tetapi orang yang mengikuti imam (makmum) disyaratkan wajib berniat menjadi makmum (mengikut imam). Jika imam tidak berniat menjadi imam, solat tetap sah dan sah solat orang yang mengikutinya berjemaah dengan syarat mereka berniat menjadi makmum.

Pun begitu, imam disunatkan berniat menjadi imam untuk mendapat kelebihan pahala solat berjemaah. Imam akan mendapat pahala solat berjemaah bermula dari waktu dia berniat menjadi imam, sebaliknya dia tidak akan mendapat pahala solat berjemaah sebelum dia berniat menjadi imam.[1] Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulamak Syafiyyah berkenaan pahala berjemaah bagi imam yang tidak berniat menjadi imam.[2]

Pertama: Imam tidak mendapat pahala berjemaah. Inilah pandangan yang paling kuat dan masyhur di dalam mazhab Syafie.

Kedua: Pahala berjemaah akan diperolehi oleh imam kerana pahala jemaah itu diperolehi oleh makmumnya. Justeru imam juga turut mendapat pahala seperti makmum kerana ia menjadi imam bagi mereka.

Ketiga: Menurut Al-Qadhi Husain, perkara ini berdasarkan dua keadaan iaitu:

i.    Jika imam mengetahui kehadiran makmum di belakangnya, namun dia tidak berniat menjadi imam, maka dia tidak mendapat pahala solat berjemaah.

ii.   Jika imam tidak mengetahui kehadiran makmum. Contoh seseorang yang solat bersendirian, kemudian datang sekumpulan orang menjadi makmum di belakangnya (imam tidak menyedari dan mengetahui kehadiran mereka), maka  bagi keadaan seperti ini, walaupun imam tidak berniat menjadi imam, dia akan turut mendapat pahala berjemaah kerana terhasilnya pahala solat berjemaah bagi makmum di belakangnya adalah dengan sebabnya (sebagai imam).



[1]  Mughni al-Muhtaj, 3/285
[2] Al-Majmu’, 4/201

Saturday, June 27, 2015

Benarkah Dilarang Memanggil Isteri 'Ummi' atau 'Ibu'?

1. Dalam kitab ar-Raudh al-Murbi' (mazhab Hanbali) ada disebutkan tentang larangan memanggil isteri dengan panggilan 'ummi' dan suami dengan panggilan 'abi'.

 ﻭﻳﻜﺮﻩ ﻧﺪﺍﺀ ﺃﺣﺪ ﺍﻟﺰﻭﺟﻴﻦ ﺍﻵﺧﺮ ﺑﻤﺎ ﻳﺨﺘﺺ ﺑﺬﻱ ﺭﺣﻢ ﻣﺤﺮﻡ ﻛﺄﺑﻲ ﻭﺃﻣﻲ

“Makruh (hukumnya) jika salah seorang daripada suami atau isteri memanggil pasangannya dengan panggilan yang hanya (khusus) digunakan bagi mereka yang mempunyai hubungan mahram seperti 'abi' atau 'ummi'."

2. Dalil yang dijadikan hujah adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:

  ﺃَﻥَّ ﺭَﺟُﻠًﺎ ﻗَﺎﻝَ ﻟِﺎﻣْﺮَﺃَﺗِﻪِ : ﻳَﺎ ﺃُﺧَﻴَّﺔُ، ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺭَﺳُﻮﻝُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ : » ﺃُﺧْﺘُﻚَ ﻫِﻲَ؟ « ، ﻓَﻜَﺮِﻩَ ﺫَﻟِﻚَ ﻭَﻧَﻬَﻰ عَنهُ

"Seorang lelaki berkata kepada isterinya, 'Wahai adik perempuan (saudari kecil)'. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, 'Adakah dia saudarimu?' Baginda tidak menyukai perkara tersebut dan melarangnya." (Abu Daud, no.2210)

Catatan.

• Imam Al-Khattabi dalam Ma'alim as-Sunan mengatakan bahawa dimakruhkan perbuatan tersebut kerana ia menghampiri kepada perkara haram (zihar).

• Dalam kitab 'Aun al-Ma'bud syarah Sunan Abu Daud dijelaskan bahawa majoriti ulamak dan kebanyakan mereka sepakat mengatakan bahawa jika panggilan tersebut diniatkan untuk memuliakan maka ia tidak jatuh kepada zihar.

2. Dalam Hasyiah ar-Raudh al-Murbi' dijelaskan, berdasarkan hadis di atas bahawa larangan atau hukum makruh tersebut kerana lafaz tersebut menyerupai lafaz zihar, tetapi tidak thabit padanya hukum zihar, maka ia tidak dihukumkan haram.

3. Pun begitu hadis di atas yang dijadikan hujah hukum makruh memanggil isteri 'ummi' atau 'ukhti' atau suami 'abi', tidak boleh dijadikan dalil kerana berstatus 'mursal' sebagaimana yang disebut oleh Syeikh 'Ali bin Muhammad bin Al- Qattan dalam kitabnya Bayan al-Wahmi Wa al-Iham Fi Kitab al-Ahkam.

4. Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari meletakkan satu bab bertajuk yang menyatakan apabila seorang suami mengatakan pada isterinya 'Ini adalah saudara perempuanku', maka (panggilan tersebut) tidak mengapa. Kata beliau:

ﺑﺎﺏ ﺇﺫﺍ ﻗﺎﻝ ﻻﻣﺮﺃﺗﻪ ﻭﻫﻮ ﻣﻜﺮﻩ ﻫﺬﻩ ﺃﺧﺘﻲ ﻓﻼ ﺷﻲﺀ ﻋﻠﻴﻪ

Kemudian beliau membawa satu hadis;

 ﻗَﺎﻝَ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ " : ﻗَﺎﻝَ ﺇِﺑْﺮَﺍﻫِﻴﻢُ ﻟِﺴَﺎﺭَﺓَ : ﻫَﺬِﻩِ ﺃُﺧْﺘِﻲ

"Nabi ﷺ menceritakan, bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام berkata mengenai Sarah (isterinya): 'Ini adalah saudara perempuanku'."

5. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari menjelaskan sebab Imam Bukhari meriwayatkan hadis tersebut dalam kitabnya adalah bertujuan untuk membantah dan menolak pendapat yang mengatakan 'makruh' mengucapkan 'wahai saudara perempuanku' kepada isteri, dan yang dimaksud Nabi Ibrahim عليه السلام adalah saudara seagama (ukhti). Justeru, ucapan tersebut tidak mengapa dan tidak makruh hukumnya.

6. Imam Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menjelaskan masalah ini seperti berikut;

فصل: وإن قال: أنت علي كأمي. أو: مثل أمي. ونوى به الظهار، فهو ظهار، في قول عامة العلماء؛ منهم أبو حنيفة، وصاحباه، والشافعي، وإسحاق. وإن نوى به الكرامة والتوقير، أو أنها مثلها في الكبر، أو الصفة، فليس بظهار. والقول قوله في نيته. وإن أطلق، فقال أبو بكر: هو صريح في الظهار. وهو قول مالك، ومحمد بن الحسن. وقال ابن أبي موسى: فيه روايتان، أظهرهما أنه ليس بظهار حتى ينويه. وهذا قول أبي حنيفة، والشافعي؛ لأن هذا اللفظ يستعمل في الكرامة أكثر مما يستعمل في التحريم، فلم ينصرف إليه بغير نية، ككنايات الطلاق

i. Jika seseorang berkata kepada isterinya 'engkau bagiku seperti ibuku' atau seumpama 'ummi', dan diniatkan zihar, maka hukumnya adalah zihar menurut pendapat majoriti ulamak: iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan imam Ishaq.

ii. Jika ucapan tersebut dengan niat memuliakan atau menyamakan isterinya dengan ibunya dengan sifat yang ibunya, maka ia tidak dihukumkan zihar.

iii. Jika diucapan umum (mutlak), tanpa ada niat sesuatu pun, menurut pendapat Syeikh Abu Bakar, hukumnya adalah zihar dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik dan Muhammad bin Al-Hasan. Sedangkan menurut pendapat Abu Hanifah dan Imam Syafie, ucapan atau lafaz ini tidak menyebabkan hukum zihar jatuh kerana panggilan tersebut digunakan untuk memuliakan bukan niat untuk zihar.

7. Konklusinya, menurut pendapat mazhab Syafie, seorang suami diharuskan memanggil atau mengelar isterinya dengan gelaran atau panggilan 'ummi' atau 'ukhti'. Ia bukanlah ucapan 'orang bodoh' seperti yang didakwah oleh sesetengah orang. Kebiasaannya ucapan tersebut digelarkan oleh suami untuk memuliakan isterinya yang berpangkat seorang 'ibu', disamping mendidik anak-anak agar memanggil ibu mereka dengan panggilan mulia itu 'ummi'. Justeru, hukumnya tidak makruh dan tidak jatuh hukum zihar, selagi mana panggilan tersebut tidak diniatkan zihar atau diucapkan secara umum sebagai panggilan kebiasaan.

Wallahu a'lam.

Rujukan.
1. 'Aun al-Ma'bud. 
2. Bayan al-Wahmi Wa al-Iham Fi Kitab al-Ahkam.
3. Fath al-Bari.
4. Al-Mugni.
5. Hasyiah Ar-Raud al-Murbi'.

Khadam ilmu & ulamak,
Ustaz Zaid Abdul​ al-Qadiri

Sunday, June 21, 2015

Q&A: BOLEHKAH SOLAT TARAWEH DUDUK?

Gambar sekadar hiasan
Soal. 
Assalam ust. Apaka hukum seseorang itu solat sunat taraweh duduk? Adakah sah solatnya? tq

Jawab.

Waalaikumussalam.

1. Di dalam solat sunat tidak diwajibkan berdiri walaupun seseorang itu mampu melakukan solat sunat secara berdiri.

2. Ini kerana asas didirikan solat sunat berdasarkan faktor kemudahan dan tidak memberatkan. Oleh kerana solat sunat itu banyak, sekiranya ia diwajibkan berdiri untuk menunaikannya maka sudah tentu menimbulkan kesukaran dan menyebabkan perlaksanaanya terhenti. Justeru itu, sah solat sunat yang dilaksanakan secara duduk.

3. Pun begitu bagi orang yang mampu berdiri tetapi menunaikan solat sunat secara duduk, maka pahala separuh daripada pahala orang yang menunaikan solat sunat secara berdiri.

4. Ini dilihat berdasarkan hadis Nabi ﷺ:

“Sesiapa yang melaksanakan solat dalam keadaan berdiri maka itu lebih utama. Dan sesiapa yang melaksanakan solat dalam keadaan duduk maka dia mendapat pahala separuh daripada orang yang solat berdiri. Manakala siapa yang solat sambil berbaring, maka pahalanya separuh daripada orang yang solat duduk.” (HR Imam Al-Bukhari)
5. Imam An-Nawawi menjelaskan dengan lebih terperinci berkaitan hal ini di dalam kitab Al-Majmu’:

“Solat sunat boleh dilakukan dalam keadaan duduk meskipun seseorang itu mampu berdiri. Demikianlah yang telah disepakati oleh para ulamak (ijmak) berdasarkan dalil daripada hadis-hadis sahih yang telah dinyatakan. Namun pahalanya separuh daripada pahala orang yang melakukan solat berdiri sebagaimana hadis Imran bin Husain . Tetapi sekiranya seseorang itu sakit sehingga dia tidak mampu menunaikan solat sunat sambil berdiri lalu dia menunaikan solat dengan cara duduk atau dia tidak mampu duduk lalu dia menunaikannya dengan berbaring, maka pahala sama seperti mana orang solat sunat secara berdiri tanpa ada khilaf ulamak. Demikian sama keadaanya dengan solat fardhu.”
6. Kesimpulan, solat sunat taraweh dan solat-solat sunat yang lain boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu berdiri. Bagi orang yang mampu berdiri adalah lebih baik solat sunat dalam keadaan berdiri untuk meraih ganjaran pahala yang lebih besar daripada solat dalam keadaan duduk.

7. Orang tidak mampu berdiri di dalam solat sunat, boleh solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu duduk solatlah dalam keadaan berbaring.


Wallahu 'Alam


Ustaz Zaid Abdul