SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Thursday, July 2, 2015

DI MANA BAYAR ZAKAT FITRAH, TEMPAT BEKERJA ATAU?

Gambar hiasan

Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang 'di mana zakat fitrah perlu dibayar', ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.

Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر...في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون. 

Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]? 

Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada]. 


[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada]. 


Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi'e dan lain-lain.


Huraian
Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (بلد المال), berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu 'wajib zakat fitrah' ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama.

Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama).

Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Terengganu sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Terengganu. 

Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.

Ittifaq ulama

Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-MughniBeliau mencatatkan :

فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الذي سببها فيه الزكاة ففرّقتْ في البلد 

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.

Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.

Majlis Fatwa Palestin menukilkan :

أما زكاة الفطرة فلقد اتفق العلماء على أنها تخرج في مكان تواجد الشخص لا مكان تواجد ماله لأنها تتعلق بالبدن فكان أداؤها مكان تواجد البدن

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, para ulama telah bersepakat bahawa ia dikeluarkan (dibayar) di tempat seseorang itu berada, bukannya di tempat hartanya (sumber pendapatannya) berada. Ini kerana, ia (zakat fitrah) berkait dengan 'badan' (diri seseorang mukallaf-zakat badan) maka pembayarannya [dibuat] di tempat [di mana] 'badan' itu berada.

Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر

Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan 'zakat al-fitr' (zakat Hari Raya Aidil Fitri).

Keliru 2 zakat

Adapun 'fatwa' yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki (jika bekerja di Kuala Lumpur, zakat fitrah hendaklah dibayar di Kuala Lumpur walaupun Hari Raya disambut di Terengganu, sebagai contoh), ia adalah fatwa yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie. Juga bertentangan dengan kesepakatan (ittifaq) para ulama mazhab empat.

Percanggahan dan pertentangan ini berlaku disebabkan kekeliruan antara zakat harta dan zakat fitrah.

Dalam zakat harta, memang zakat perlu dibayar atau dikeluarkan ditempat harta itu dijana dan diusahakan (perniagaan, penternakan atau pertanian yang dilakukan di Terengganu sebagai contoh, mesti dikeluarkan di Terengganu). Ini adalah pendapat jumhur ulama, termasuk ulama Mazhab Syafie.

Adapun dalam bab zakat fitrah, ia dikeluarkan di tempat di mana seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri, tanpa mengira lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah tempatnya bekerja (seperti di bandar), atau tidak (seperti kampung kelahiran).

Wallahu a'lam.

Sunday, June 28, 2015

IMAM TIDAK WAJIB BERNIAT 'IMAMAN'

Di dalam solat berjemaah imam tidak diwajibkan berniat menjadi imam kecuali pada empat tempat yang disebutkan sebelum ini. Ini kerana tidak disyaratkan imam berniat menjadi imam untuk sahnya solat berjemaah akan tetapi orang yang mengikuti imam (makmum) disyaratkan wajib berniat menjadi makmum (mengikut imam). Jika imam tidak berniat menjadi imam, solat tetap sah dan sah solat orang yang mengikutinya berjemaah dengan syarat mereka berniat menjadi makmum.

Pun begitu, imam disunatkan berniat menjadi imam untuk mendapat kelebihan pahala solat berjemaah. Imam akan mendapat pahala solat berjemaah bermula dari waktu dia berniat menjadi imam, sebaliknya dia tidak akan mendapat pahala solat berjemaah sebelum dia berniat menjadi imam.[1] Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulamak Syafiyyah berkenaan pahala berjemaah bagi imam yang tidak berniat menjadi imam.[2]

Pertama: Imam tidak mendapat pahala berjemaah. Inilah pandangan yang paling kuat dan masyhur di dalam mazhab Syafie.

Kedua: Pahala berjemaah akan diperolehi oleh imam kerana pahala jemaah itu diperolehi oleh makmumnya. Justeru imam juga turut mendapat pahala seperti makmum kerana ia menjadi imam bagi mereka.

Ketiga: Menurut Al-Qadhi Husain, perkara ini berdasarkan dua keadaan iaitu:

i.    Jika imam mengetahui kehadiran makmum di belakangnya, namun dia tidak berniat menjadi imam, maka dia tidak mendapat pahala solat berjemaah.

ii.   Jika imam tidak mengetahui kehadiran makmum. Contoh seseorang yang solat bersendirian, kemudian datang sekumpulan orang menjadi makmum di belakangnya (imam tidak menyedari dan mengetahui kehadiran mereka), maka  bagi keadaan seperti ini, walaupun imam tidak berniat menjadi imam, dia akan turut mendapat pahala berjemaah kerana terhasilnya pahala solat berjemaah bagi makmum di belakangnya adalah dengan sebabnya (sebagai imam).



[1]  Mughni al-Muhtaj, 3/285
[2] Al-Majmu’, 4/201

Saturday, June 27, 2015

Benarkah Dilarang Memanggil Isteri 'Ummi' atau 'Ibu'?

1. Dalam kitab ar-Raudh al-Murbi' (mazhab Hanbali) ada disebutkan tentang larangan memanggil isteri dengan panggilan 'ummi' dan suami dengan panggilan 'abi'.

 ﻭﻳﻜﺮﻩ ﻧﺪﺍﺀ ﺃﺣﺪ ﺍﻟﺰﻭﺟﻴﻦ ﺍﻵﺧﺮ ﺑﻤﺎ ﻳﺨﺘﺺ ﺑﺬﻱ ﺭﺣﻢ ﻣﺤﺮﻡ ﻛﺄﺑﻲ ﻭﺃﻣﻲ

“Makruh (hukumnya) jika salah seorang daripada suami atau isteri memanggil pasangannya dengan panggilan yang hanya (khusus) digunakan bagi mereka yang mempunyai hubungan mahram seperti 'abi' atau 'ummi'."

2. Dalil yang dijadikan hujah adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:

  ﺃَﻥَّ ﺭَﺟُﻠًﺎ ﻗَﺎﻝَ ﻟِﺎﻣْﺮَﺃَﺗِﻪِ : ﻳَﺎ ﺃُﺧَﻴَّﺔُ، ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺭَﺳُﻮﻝُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ : » ﺃُﺧْﺘُﻚَ ﻫِﻲَ؟ « ، ﻓَﻜَﺮِﻩَ ﺫَﻟِﻚَ ﻭَﻧَﻬَﻰ عَنهُ

"Seorang lelaki berkata kepada isterinya, 'Wahai adik perempuan (saudari kecil)'. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, 'Adakah dia saudarimu?' Baginda tidak menyukai perkara tersebut dan melarangnya." (Abu Daud, no.2210)

Catatan.

• Imam Al-Khattabi dalam Ma'alim as-Sunan mengatakan bahawa dimakruhkan perbuatan tersebut kerana ia menghampiri kepada perkara haram (zihar).

• Dalam kitab 'Aun al-Ma'bud syarah Sunan Abu Daud dijelaskan bahawa majoriti ulamak dan kebanyakan mereka sepakat mengatakan bahawa jika panggilan tersebut diniatkan untuk memuliakan maka ia tidak jatuh kepada zihar.

2. Dalam Hasyiah ar-Raudh al-Murbi' dijelaskan, berdasarkan hadis di atas bahawa larangan atau hukum makruh tersebut kerana lafaz tersebut menyerupai lafaz zihar, tetapi tidak thabit padanya hukum zihar, maka ia tidak dihukumkan haram.

3. Pun begitu hadis di atas yang dijadikan hujah hukum makruh memanggil isteri 'ummi' atau 'ukhti' atau suami 'abi', tidak boleh dijadikan dalil kerana berstatus 'mursal' sebagaimana yang disebut oleh Syeikh 'Ali bin Muhammad bin Al- Qattan dalam kitabnya Bayan al-Wahmi Wa al-Iham Fi Kitab al-Ahkam.

4. Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari meletakkan satu bab bertajuk yang menyatakan apabila seorang suami mengatakan pada isterinya 'Ini adalah saudara perempuanku', maka (panggilan tersebut) tidak mengapa. Kata beliau:

ﺑﺎﺏ ﺇﺫﺍ ﻗﺎﻝ ﻻﻣﺮﺃﺗﻪ ﻭﻫﻮ ﻣﻜﺮﻩ ﻫﺬﻩ ﺃﺧﺘﻲ ﻓﻼ ﺷﻲﺀ ﻋﻠﻴﻪ

Kemudian beliau membawa satu hadis;

 ﻗَﺎﻝَ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ " : ﻗَﺎﻝَ ﺇِﺑْﺮَﺍﻫِﻴﻢُ ﻟِﺴَﺎﺭَﺓَ : ﻫَﺬِﻩِ ﺃُﺧْﺘِﻲ

"Nabi ﷺ menceritakan, bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام berkata mengenai Sarah (isterinya): 'Ini adalah saudara perempuanku'."

5. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari menjelaskan sebab Imam Bukhari meriwayatkan hadis tersebut dalam kitabnya adalah bertujuan untuk membantah dan menolak pendapat yang mengatakan 'makruh' mengucapkan 'wahai saudara perempuanku' kepada isteri, dan yang dimaksud Nabi Ibrahim عليه السلام adalah saudara seagama (ukhti). Justeru, ucapan tersebut tidak mengapa dan tidak makruh hukumnya.

6. Imam Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menjelaskan masalah ini seperti berikut;

فصل: وإن قال: أنت علي كأمي. أو: مثل أمي. ونوى به الظهار، فهو ظهار، في قول عامة العلماء؛ منهم أبو حنيفة، وصاحباه، والشافعي، وإسحاق. وإن نوى به الكرامة والتوقير، أو أنها مثلها في الكبر، أو الصفة، فليس بظهار. والقول قوله في نيته. وإن أطلق، فقال أبو بكر: هو صريح في الظهار. وهو قول مالك، ومحمد بن الحسن. وقال ابن أبي موسى: فيه روايتان، أظهرهما أنه ليس بظهار حتى ينويه. وهذا قول أبي حنيفة، والشافعي؛ لأن هذا اللفظ يستعمل في الكرامة أكثر مما يستعمل في التحريم، فلم ينصرف إليه بغير نية، ككنايات الطلاق

i. Jika seseorang berkata kepada isterinya 'engkau bagiku seperti ibuku' atau seumpama 'ummi', dan diniatkan zihar, maka hukumnya adalah zihar menurut pendapat majoriti ulamak: iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan imam Ishaq.

ii. Jika ucapan tersebut dengan niat memuliakan atau menyamakan isterinya dengan ibunya dengan sifat yang ibunya, maka ia tidak dihukumkan zihar.

iii. Jika diucapan umum (mutlak), tanpa ada niat sesuatu pun, menurut pendapat Syeikh Abu Bakar, hukumnya adalah zihar dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik dan Muhammad bin Al-Hasan. Sedangkan menurut pendapat Abu Hanifah dan Imam Syafie, ucapan atau lafaz ini tidak menyebabkan hukum zihar jatuh kerana panggilan tersebut digunakan untuk memuliakan bukan niat untuk zihar.

7. Konklusinya, menurut pendapat mazhab Syafie, seorang suami diharuskan memanggil atau mengelar isterinya dengan gelaran atau panggilan 'ummi' atau 'ukhti'. Ia bukanlah ucapan 'orang bodoh' seperti yang didakwah oleh sesetengah orang. Kebiasaannya ucapan tersebut digelarkan oleh suami untuk memuliakan isterinya yang berpangkat seorang 'ibu', disamping mendidik anak-anak agar memanggil ibu mereka dengan panggilan mulia itu 'ummi'. Justeru, hukumnya tidak makruh dan tidak jatuh hukum zihar, selagi mana panggilan tersebut tidak diniatkan zihar atau diucapkan secara umum sebagai panggilan kebiasaan.

Wallahu a'lam.

Rujukan.
1. 'Aun al-Ma'bud. 
2. Bayan al-Wahmi Wa al-Iham Fi Kitab al-Ahkam.
3. Fath al-Bari.
4. Al-Mugni.
5. Hasyiah Ar-Raud al-Murbi'.

Khadam ilmu & ulamak,
Ustaz Zaid Abdul​ al-Qadiri