Tahun: 2006
Oleh: Mufti Besar Prof. Dr. Ali Jum'ah Muhammad
Soalan:
Sejak sekian lama kami selalu mengadakan majlis sambutan
malam Nisfu Sya'ban. Dalam majlis tersebut seluruh penduduk kampung – sama ada
lelaki atau pun wanita, besar atau pun kecil— berkumpul di masjid untuk
melaksanakan solat Maghrib. Selepas solat, kami membaca surah Yasin sebanyak
tiga kali. Setiap kali selesai membaca surah Yasin, kami berdoa dengan doa-doa yang
disebutkan di dalam Al-Quran yang mengandungi doa untuk Islam dan umat Islam.
Dahulu, kami membaca doa khusus malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah dan
menyaringkan suara (jahar), tetapi sekarang kami menggantikannya dengan doa
daripada Al-Quran. Apakah pandangan agama (berkenaan hukum) menyambut atau
mengadakan majlis sambutan malam Nisfu
Sya'ban dengan cara yang kami lakukan itu?
Jawaban:
Pertama: Malam Nisfu Sya'ban merupakan malam yang
penuh keberkatan. Kelebihan malam Nisfu Sya’ban disebutkan dalam beberapa
banyak hadis yang saling menguatkan antara satu sama lain dan mengangkat
martabat hadis kepada hasan dan kuat. Mengadakan majlis sambutan memperingati
malam Nifsu Sya’abn dan menghidupkan malam tersebut merupakan amalan yang
sesuai dengan tuntunan agama. Hadis-hadis tentang kelebihan dan keutamaan malam
tersebut tidak termasuk dalam kategori hadis-hadis yang sangat dha'if atau
maudhu'.
Di antara hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan
malam Nisfu Sya'ban ini ialah:
Hadis Ummul Mukminin ‘Aisyah radhiyaAllahu ‘anha, katanya,
"Pada suatu malam, aku tidak menemui Rasulullah ﷺ (di dalam rumah). Lalu aku keluar untuk mencari Baginda.
Akhirnya, aku menemui Baginda di perkuburan Baqi' dalam keadaan sedang
menghadapkan wajahnya ke langit. Baginda lalu berkata, "Adakah engkau
khuatir jika Allah dan RasulNya melakukan kezaliman terhadapmu?" Aku
(‘Aisyah) menjawab, "Bukan itu yang aku fikirkan, akan tetapi aku
menyangka bahawa engkau pergi ke tempat salah seorang daripada isterimu."
Lalu Baginda ﷺ bersabda;
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ
النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لأَكْثَرَ مِنْ
عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ
"Sesungguhnya (rahmat) Allah ﷻ turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya'ban
dan mengampuni hamba-hambaNya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing milik
kabilah Bani Kalb." (HR.
Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).
Bani Kalb adalah kabilah yang terkenal memiliki
kambing paling banyak.
Dari Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah ﷺ bersabda;
إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ
شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا يَوْمَهَا؛ فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ
فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ: أَلاَ مِنْ
مُسْتَغْفِرٍ فَأَغْفِرَ لَهُ ؟ أَلاَ مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ ؟ أَلاَ مُبْتَلًى
فَأُعَافِيَهُ ؟ أَلاَ كَذَا أَلاَ كَذَا ...؟ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْر
"Jika datang malam Nisfu Sya'ban, maka
laksanakanlah solat pada malamnya dan berpuasalah pada siang harinya, kerana
sesungguhnya rahmat Allah ﷻ turun ke langit dunia ketika matahari terbenam pada malam itu.
Allah ﷻ berfirman, "Adakah sesiapa yang meminta
ampun sehingga Aku mengampuninya. Adakah sesiapa yang meminta rezeki sehingga
Aku memberikan kepada rezeki. Adakah sesiapa yang sakit sehingga Aku sembuhkan
penyakitnya. Adakah orang yang demikian? adakah orang yang demikian? Dan
seterusnya sehingga terbit fajar." (HR. Ibnu Majah).
Selain itu, tidak mengapa (harus) membaca Surah Yasin
sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib dengan suara yang keras atau nyaring
secara berjemaah (beramai-ramai). Ini kerana amalan tersebut termasuk perbuatan
dan amalan (perintah) untuk menghidupkan malam Nisfu Sya'ban. Terdapat
kelapangan (tidak terikat) dalam melakukan amalan zikir dan mengkhususkan
tempat tertentu atau waktu tertentu untuk melakukan amal ibadat secara
berterusan adalah diharuskan selagi mana orang yang melakukanya tidak berpegang
atau meyakini bahawa amalan tersebut adalah wajib dan berdosa jika
ditinggalkan.
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar , katanya;
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وآله وسلم يَأْتِي
مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبًا » متفق عليه
"Nabi ﷺ
pergi ke masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu sambil berjalan kaki atau
menunggang binatang tunggangan." (Muttafaq ‘alaih).
Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath Al-Bari mengatakan;
وفي هذا الحديث على اختلاف طرقه دلالة على جواز
تخصيص بعض الأيام ببعض الأعمال الصالحة والمداومة على ذلك
"Hadis ini, dengan pelbagai jalur riwayatnya,
menunjukkan bahawa harus (boleh) mengkhususkan hari-hari tertentu untuk
melakukan amalan-amalan soleh secara berterusan."
Al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitab Lathaif Al-Ma'arif
mengatakan;
واختلف علماء أهل الشام في صفة إحيائها على قولين
أحدهما : أنه يُستحب إحياؤها جماعة في المساجد ،
كان خالد بن معدان ولقمان بن عامر وغيرهما يلبسون فيها أحسن ثيابهم ويتبخرون ويكتحلون
ويقومون في المسجد ليلتهم تلك ، ووافقهم إسحاق بن راهويه على ذلك ، وقال في قيامها
في المسجد جماعة : ليس ذلك ببدعة ، نقله عنه حرب الكرماني في مسائله .
والثاني : أنه يُكَرَهُ الاجتماع فيها في المساجد
للصلاة والقصص والدعاء ، ولا يكره أن يُصلي الرجل فيها بخاصة نفسه ، وهذا قول الأوزاعي
إمام أهل الشام وفقيههم وعالمهم
"Para Ulamak Negeri Syam berbeza pendapat dalam
menentukan (hukum) menghidupkan malam Nisfu Sya'ban kepada dua pendapat: Pendapat
pertama mengatakan bahawa dianjurkan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara
berjemaah (beramai-ramai) di dalam masjid. Adalah (pada malam itu), Khalid bin
Mi'dan, Luqman bin 'Amir dan selain daripada mereka, memakai pakaian
terbaiknya, menggunakan minyak wangi dan memakai celak mata kemudian berdiam di
dalam masjid. Apa yang dilakukan tersebut dipersetujui oleh Ishaq bin Rahawaih.
Beliau turut menyatakan bahawa mengerjakan solat secara berjamaah di masjid
pada malam Nisfu Sya’ban bukanlah termasuk amalan bid'ah. Hal ini sebagaimana
dinukil oleh Harb Al-Kirmani dalam kitab Al-Masai. Pendapat kedua pula mengatakan
bahawa berkumpul di masjid pada malam Nisfu Sya'ban untuk melakukan solat,
memberikan nasihat dan berdoa adalah perbuatan makruh. Tetapi, jika seseorang
melakukan solat secara bersendirian, maka ianya tidak dimakruhkan. Ini
merupakan pendapat Al-Awza'i yang merupakan seorang Imam, faqih dan ‘alim Negeri
Syam."
Oleh yang demikian, menghidupkan malam Nisfu Sya'ban
dengan cara yang disebutkan dalam pertanyaan di atas merupakan amalan dan
perbuatan yang disyariatkan, bukan bid'ah atau makruh. Dengan syarat perkara
tersebut dilakukan dengan tidak berpegang atau meyakini bahawa amalan tersebut wajib dilakukan. Jika sekiranya amalan
(sambutan) tersebut dilakukan dengan memaksa orang lain untuk turut serta
melakukannya dan menyalahkan mereka jika tidak mengikutinya, maka perbuatan itu
menjadi amalan bid'ah kerana telah mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan
oleh Allah dan RasulNya ﷺ. Ini antara faktor dan sebab yang membuatkan
beberapa ulamak Salaf tidak bersetuju atau menganggap makruh amalan
menghidupkan malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah. Justeru itu, tidaklah makruh
menyambut atau menghidupkan malam Nisfu Sya’ban seandainya tidak wujud paksaan
atau anggapan bahawa ianya wajib dilaksanakan.
Ustaz Zaid Abdul
Khadam Ilmu & Ulamak