SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Thursday, February 13, 2014

MANISNYA IMAN



Dalam kuliah di Bank Islam 'Asar tadi, saya bacakan hadis Halawatul Iman ini.

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Kenapa kita tidak rasa 'manis' apabila buat baik?

Kenapa kita rasa 'manis' apabila buat jahat?

Berapa tahun sudah kita Islam, pernah tidak kita rasa 'manis' nya Islam?

Tuesday, February 11, 2014

Jangan Solat Duduk Jika Masih Mampu Berdiri!

Islam telah menggariskan suatu bentuk modul ibadat yang sangat kemas dan tersusun. Hanyasanya para penganutnya tidak mempelajari bagaimana cara beribadat yang benar dan betul mengikut neraca fiqh. Hal ini menyebabkan wujudnya masyarat muslim yang mengamalkan ibadat mengikut selera mereka. Antaranya ialah budaya solat secara duduk di atas kerusi sudah menjadi kebiasaan yang berlaku di mana-mana masjid ketika solat berjemaah. Perkara ini juga sering terjadi kepada para wanita yang mengandung kerana ingin mengambil keringanan.

Terdapat beberapa isu yang dibincangkan dalam masalah ini, antaranya:

1. Sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan sempurna sehingga kelihatan dia berdiri seperti orang rukuk disebabkan kerana belakang tubuhnya melengkung akibat usia tua atau kerana lumpuh, maka wajib dia itu solat dengan berdiri mengikut kemampuan dan keadaannya itu (berdiri dalam keadaan membongkok). Kemudian apabila dia hendak rukuk, dia perlu menundukkan atau merendahkan badannya lebih sedikit jika berupaya.

2. Seandainya dia memerlukan sesuatu untuk bersandar supaya boleh berdiri seperti bersandar di dinding atau tiang, wajib baginya bersandar kepada sesuatu yang boleh dijadikan tempat untuk menyandarkan dirinya agar dapat menyempurnakan rukun berdiri. Jika sekiranya dia bersandar pada sesuatu benda yang apabila dia rukuk benda tersebut akan jatuh atau rebah, solatnya masih sah. Kerana perbuatan begini masih dikira berdiri. Namun solat dalam keadaan bersandar pada sesuatu adalah makruh.

3. Jika seseorang itu tidak mampu berdiri sendiri kecuali dengan bantuan orang lain atau dalam erti kata lain dia boleh berdiri sekiranya dibantu oleh orang lain, maka dia harus meminta bantuan orang untuk membolehkannya berdiri dalam solat. Jika tidak ada orang lain yang mahu menolongnnya secara sukarela, maka wajib baginya membayar upah jika dia mampu berdasarkan harga umum.

4.  Jika seseorang itu mampu berdiri tetapi tidak berdaya melakukan rukuk dan sujud kerana ada luka di punggungnya, wajib dia menyempurnakan rukun berdiri kerana dia masih mampu dan berkuasa. Ketika dia hendak rukuk dan sujud, maka memadai dia melakukan sekadar kemampuannya.


Perlu diingatkan bahawa berdiri di dalam solat fardhu merupakan kewajipan bagi orang yang bersolat. Selagi mana seseorang itu mampu berdiri, maka selagi itulah dia diwajibkan berdiri di dalam solat. Ini bukanlah bertujuan untuk memberatkan mana-mana individu yang ingin beribadat kepada Allah, tetapi ini adalah ketetapan ibadat yang semestinya tidak dipandang ringan dan mudah oleh semua orang.

Sesungguh agama ini dibina di atas neraca ilmu bukan mengikuti pertimbangan dan rasional akal. Dan sesungguh ilmu diperolehi dengan belajar. 




Rujukan: Buku Fiqh Sifat Solat Nabi 

Sunday, February 9, 2014

Wajibkah Niat Tunai Dan Qada?

Menentukan niat solat “tunai” dan “qada” tidak diwajibkan menurut pendapat yang dinaskan oleh Imam Syafie tetapi ia digalakkan. Sah solat secara tunai dengan niat qada dan solat qada dengan niat tunai ketika keuzuran seperti tidak mengetahui waktu sudah habis atau belum kerana awan mendung. Jika disangka waktu sudah habis, lalu dilakukan solat qada, kemudian didapati sebenarnya waktu masih ada lagi, maka sah solatnya. Ataupun disangka waktu masih ada, lalu dilakukan solat tunai, kemudian didapati waktu sudah tamat, maka sah juga solatnya. Ini kerana tunai dan qada digunakan untuk tujuan yang sama seperti firman Allah Ta’ala:

فَإِذَا قَضَيْتُمْ مَنَاسِكَكُمْ

"Maka apabila kalian telah melaksanakan manasik haji kalian..." (Surah Al-Baqarah: 200)

Namun perlu diingatkan bahawa meskipun berniat tunai dan qada tidak diwajibkan, SUNAT untuk menentukan niat bahawa solat adalah secara tunai atau qada untuk menghindari perbezaan pendapat ulamak yang mensyaratkan menentukan niat tunai dan qada. Perkara ini sesuai dengan kaedah fiqh:

الْخُرُوجُ مِنْ الْخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

“Keluar daripada khilaf itu adalah digalakkan (lebih diutamakan)”.



Rujukan.

Buku Fiqh Sifat Solat Nabi ﷺ - belum terbit -

Saturday, February 8, 2014

Ada Apa Dengan Niat

Menurut pendapat yang asah di kalangan ulamak Syafi'iyyah, diwajibkan niat bagi solat fardhu dengan tiga syarat iaitu:[1]

1. Qasad
Qasad ialah niat melakukan solat untuk membezakan dengan perbuatan yang lain. Contohnya: “Sahaja aku menunaikan solat.”

2. Ta’arrud
Ta’arrud ialah niat fardhu iaitu meniatkan solat yang hendak ditunaikan itu adalah solat fardhu. Contohnya: “Sahaja aku menunaikan solat fardhu.”

3. Ta’ayyin
Ta’ayyin ialah niat dengan menentukan jenis solat fardhu yang hendak ditunaikan sama ada Zohor, Asar, Maghrib, Isyak atau Subuh. Contohnya: “Sahaja aku menunaikan solat fardhu Zohor.”

Di dalam solat fardhu ketiga-tiga perkara tersebut iaitu qasad, ta’arrud dan ta’ayyin wajib ada di dalam niat. Jika salah satu daripada tidak ada, tidak sah niat tersebut.

Adapun meniatkan “kerana Allah” ianya tidak wajib kerana segala ibadat yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah Ta’ala. Tetapi digalakkan niat “kerana Allah” agar hasil maksud keikhlasan. Demikian juga tidak wajib berniat “bilangan rakaat” dan “menghadap kiblat”, tetapi digalakkan berniat bagi mengelakkan perselisihan pendapat dalam perkara ini. Jika tidak meniatkan “kerana Allah”, “bilangan rakaat” dan “menghadap kiblat”, niat tetap sah kerana ianya tidak wajib.





[1] Al-Mughni Muhtaj, Tuhfah Al-Muhtaj, Fiqh Islami.

Friday, February 7, 2014

FORMULA SOLAT KHUSYUK


بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Khusyu‘ dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah di dalam sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benar bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya
mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

الصَّلاَةُ مَثْنَى مَثْنَى تَشَهَّدُ فِي آُلِّ رَآْعَتَيْنِ وَتَخَشَّعُ وَتَضَرَّعُ
وَتَمَسْكَنُ......
(رواه الترمذي)
Maksudnya: “Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka
sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.”
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri kita ke arah perlaksanaan ibadat
sembahyang yang khusyu‘.

Untuk mendapatkan khusyu‘ dalam sembahyang hendaklah sentiasa membuat persediaan awal yang rapi dari aspek fizikal dan rohani. Persediaan tersebut sebenarnya bermula di luar
sembahyang, sebelum seorang itu mendirikan sembahyang.

Berikut adalah beberapa perkara yang boleh dibuat untuk membantu menimbulkan khusyu‘ dalam sembahyang:

1. Sebelum mendirikan sembahyang pastikan perkara-perkara berikut:

i) Menjaga makanan dan minuman. Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa yang kita makan dan minum hendaklah bersumber daripada yang halal.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah ya dikatakan hati.
(Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

ii) Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’.

Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah
satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.

(Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)

Di samping itu sebahagian kelebihan wudhu’ itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina ‘Umar Radhiallahu ‘anhu berkata:

Maksudnya: “Sesungguhnya wudhu’ yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”

iii) Membersihkan diri, termasuk bersugi. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.
” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Para ulama menegaskan bahawa bersugi itu mempunyai tujuh puluh faedah. Antara faedah dan kelebihannya ialah:

�� Membersihkan dan mengharumkan bau mulut.
�� Memutihkan gigi.
�� Mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
�� Membetulkan atau meluruskan tulang belakang.
�� Menolong menguatkan gusi.
�� Meningkatkan kecerdikan.
�� Menggandakan pahala amal ibadat.
�� Melancarkan kefasihan atau kepetahan pertuturan.
�� Menguatkan hafalan.
�� Mensucikan hati.
�� Menyukakan malaikat.

iv) Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.

v) Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang.

Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya:
Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.
(Hadis riwayat Muslim)

vi) Memakai pakaian yang bersih dan kemas. Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.

vii) Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang.

Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma:

Maksudnya:
“Bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

iix) Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda bersabda:

Maksudnya:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.”
(Hadits riwayat Muslim)

Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan hati dari khusyu‘ ketika mendirikan sembahyang.

Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.


2. Ketika hendak menunaikan sembahyang lakukan perkara-perkara berikut:

i) Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

Mendirikannya dalam keadaan berjemaah adalah suatu tuntutan. Sembahyang berjemaah itu adalah di antaravsyi‘ar agama.

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh
melalaikannya.

ii) Menghadirkan hati.

Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan.

Tersebut dalam satu riwayat bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Aku lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang). Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu orang yang sembahyang.””

(Hadits riwayat Abu Daud)

Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”

iii) Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.

Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham Radhiallahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau beliau menjawab:

Maksudnya:
“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”

iv) Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan. Umpamanya seperti berikut:

- Surah an-Nas:

Tafsirnya: “Dengan nama Allah, yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik, penghasut yang timbul tenggelam. ”

- Ta‘awudz, seperti:

Tafsirnya: “Wahai Tuhanku! Aku berlindung kepadaMu dari hasutan syaitan-syaitan, dan aku
berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.”

- Tahlil:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ

Ertinya: “Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”

- Zikir:

امنا با الله و برسوله


Maksudnya: “Kami beriman dengan Allah dan rasulrasulNya.”

Antara tipu daya syaitan ialah memesongkan atau memalingkan perhatian semasa sembahyang. Caranya ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….”
(Hadits riwayat Muslim)



3. Ketika menunaikan sembahyang pusatkan perkara-perkara berikut:

i) Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari ayat-ayat al-Qur’an iaitu tasbih dan takbir dan doa. Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.

ii) Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud. Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan.

Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud…..

(Hadis riwayat Muslim)

iii) Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.

iv) Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.

v) Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.

vi) Sembahyang dilakukan dalam keadaan thuma’ninah.
Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan).

Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan
zikir: “ .” سبحان الله Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda:

Maksudnya:
“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu.

(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

vii) Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta, sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

Begitulah beberapa tip yang boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan khusyu‘ di dalam sembahyang. Memang tidak dinafikan, terdapat setengah orang masih tidak mampu memperolehi khusyu‘ di dalam sembahyangnya walaupun dengan mengamalkan bermacam-macam tip atau panduan.

Yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.


Rujukan.
Mufti Brunei

Thursday, February 6, 2014

BETULKAH 9/10 REZEKI MELALUI PERNIAGAAN?


Terdapat sebuah hadis yang sering digunakan bagi menggalakkan masyarakat Islam menceburi bidang perniagaan. Hadis tersebut dicatatkan oleh Imam al Ghazali (w. 505H) di dalam kitabnya yang terkenal, Ihya' 'Ulumiddin. Beliau pula hanya menukilkannya daripada kitab Qut Al Qulub oleh Abu Talib al Makki (w. 386H). Hadisnya berbunyi :



عليكم بالتجارة فإن فيها تسعة اعشار الرزق
"Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah dalam perniagaan"

Soalan: Dimanakah sumber asal hadis ini?
Jawapan : 

Walaupun Tajuddin as Subki (w.771H) menyatakan beliau tidak menemukan sanad hadis ini, berdasarkan kajian dan rumusan ulama hadis, hadis yang semakna dengannya ditemui di dalam sumber-sumber berikut :

Gharib al Hadits oleh Abu 'Ubaid al Qasim bin Sallam (w.224H) (1/80)
Sunan Sai'd bin Mansur (w. 227H), sepertimana kata as Suyuti (w.911H) dalam al Jami' as Saghir (no 3296). 
Musnad Musaddad (w.228H), sepertimana dalam Ithaf al Khayarah al Maharah oleh al Hafiz al Busiri (no 2730)
Islah al Mal oleh Ibnu Abi Ad DUnya (w. 281H) (no 202)
Gharib al Hadith oleh Ibrahim al Harbi (w.285H), sepertimana kata al 'Iraqi dalam Takhrij Ihya' 'Ulumiddin (2/79)

Kesemuanya meriwayatkan daripada jalur riwayat Nu'aim bin Abd ar Rahman secara mursal kecuali dalam sunan Sa'id bin Mansur terdapat satu riwayat sokongan daripada Yahya bin Jabir at Ta'i juga secara mursal. Bagaimanapun kesemuanya tidak meriwayatkan lafaz hadith di atas tadi, tetapi dengan lafaz berikut :

تسعة اعشار الرزق في التجارة
"Sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan"


Soalan: Bagaimana hukum hadis ini ?

Jawapan :


1. Menurut al Hafiz al 'Iraqi (w.806H) dalam takhrijnya terhadap kitab 'Ihya' Ulumiddin : "Para periwayatnya adalah tsiqah (dipercayai). Nu'aim bin Abd ar-Raman dikategorikan oleh Ibn Mandah termasuk daripada kalangan para Sahabat r.a, tetapi itu tidak benar. Menurut abu Hatim ar Razi dan Ibnu Hibban beliau adalah seorang tabi'i (sempat bertemu Sahabat dan tidak sempat bertemu Rasulullah sallaLlahu 'alaihi wasallam), maka hadith ini adalah mursal"

2. Al Hafiz al Busiri (w.840H) dalam Ithaf al Khayarah al Maharah menyatakan bahawa sanadnya dhaif kerana Nu'aim bin Abd ar Rahman adalah majhul iaitu dengan maksud hanya seorang perawi sahaja yang diketahui meriwayatkan hadith daripada beliau.

3. Kata Murtadha az Zabidi (w. 1205H) dalam Ithaf as Sadah al Muttaqin: "Ia turut diriwayatkan oleh Said bin Mansur dalam Sunannya daripada hadis riwayat Nu'aim bin Abd ar Rahman dan hadis riwayat Yahya bin Jabir at Ta'i secara mursal dengan tambahan akhir: "....dan satu persepuluh pula di dalam bidang penternakan." Dalam riwayat lain "...dan satu persepuluh pula dalam bidang penghasilan."

Nu'aim bin 'Abd ar Rahman adalah perawi maqbul (diterima) daripada peringkat kedua. Yahya bin Jabir at Ta'i pula adalah qadhi Hims (di Syria), seorang perawi saduq (benar), sepertimana dalam kitab al Kasyif. Namun, di dalam kitab at Taqrib disebut seorang yang tsiqah (dipercayai), tapi banyak memursalkan hadith."

4. Meskipun as Suyuti dalam al Jami' as Saghir menyatakan ia daripada Nu'aim bin Abd ar Rahman dan Yahnya bin Jabir at Ta'i secara mursal, beliau mengisyaratkan hukumnya sebagai hasan. Sedangkan hadis mursal adalah tergolong dalam kategori hadith dhaif kerana terputus sanadnya.

Kemungkinan beliau berpendapat, kedua-dua riwayat mampu saling menyokong dan meningkatkan martabatnya kepada darjat hasan, yakni hasan li-ghairih. Namun, riwayat-riwayat mereka tidak dapat ditemukan dalam kitab Sunan Sa'id bin Mansur yang dicetak pada hari ini kerana ia tidak lengkap disebabkan banyak bahagian yang sudah hilang.


Soalan: Adakah hadith tersebut tidak dapat diamalkan?

Jawapan : 


Tidak tepat jika ada yang mengatakan ia hadis palsu kerana hadith tersebut sama ada dhaif atau hasan sepertimana menurut al Hafiz as Suyuti. Maka tidak salah jika ia diamalkan, terutama dalam bab motivasi.

Agama Islam memang menggalakkan perniagaan. Bahkan Nabi sallaLlahu 'alaihi wasallam sendiri pernah berniaga semasa mudanya dan para Sahabat juga ramai yang menceburi bidang ini (lihat misalnya, buku Fadhilat Tijarah oleh Maulana Syeikh Muhammad Zakariyya al Kandahlawi).

Alhamdulillah, ramai yang telah termotivasi dengan hadith tersebut sehingga berjaya dalam perniagaan mereka.

Maksudnya juga benar kerana banyak rezeki yang diperoleh dengan perniagaan dan ia mampu menjana kekuatan ekonomi umat Islam. Malah jika difikirkan, kebanyakan bidang pekerjaan seperti penternakan, pertanian, pertukangan dan sebagainya akan berakhir dengan urusan jual beli juga bagi mendapatkan hasil keuntuntan. Wallahua'lam.

Rujukan.

Majalah Q& A m/s 77-78, Januari 2013, Galeri Ilmu Sdn Bhd, Selangor

FATWA: WANITA HAID BOLEHKAH MASUK KE MASJID?

Fatwa Mufti Mesir Al-'Allamah Nuruddin Syeikh Dr. 'Ali Jum'ah

Wanita yang sedang dalam keadaan haid tidak boleh memasuki kawasan tempat solat wanita di dalam masjid, walaupun tujuannya adalah untuk mendengar pengajian ilmu atau menghafal al-Quran, melainkan jika hanya sekadar lalu di dalam masjid. Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala:

وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ
”Dan (jangan pula menghampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, kecuali sekedar berlalu saja, sampai kamu mandi” (Surah An-Nisa: 43)
Wanita yang sedang dalam keadaan haid lebih besar hadasnya berbanding orang yang berjunub: kerana orang yang berjunub boleh menghilangkan keadaan junubnya itu dengan mandi wajib sedangkan wanita haid akan terus berada dalam keadaan haid sehingga berakhir tempoh masa haid tersebut. Telah diriwayatkan dalam sebuah hadis:
لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ
"Aku tidak menghalalkan masjid bagi wanita yang haid dan orang yang junub." (HR Abu Daud, Baihaqi dan Bukhari dalam at-Tarikh al-Kabir)
Walaupun kedudukan hadis ini dhaif tetapi kandungannya digunakan pakai oleh Jumhur Ulamak (majoriti ulamak), difatwakan oleh para Ulamak Salaf dan digunakan oleh para ulamak mazhab yang empat (Syafie, Hanafi, Hanbali dan Maliki). Bahkan, ulamak mazhab Maliki melarang wanita yang haid untuk memasuki masjid meskipun hanya sekada lalu.

Bagi meneliti lagi perkara,  Ibnu Rusyd Al-Maliki dalam kitab Bidayah al-Hidayah berkata: "Ada ulamak yang membolehkan perkara itu (iaitu wanita haid masuk ke dalam masjid) dalam semua keadaan (sama ada menetap di masjid atau sekadar lalu) diantara mereka ialah (yang berpendapat sedemikian) Daud (Az-Zahiri) dan para ulamak madzhabnya. Jelas menunjukkan bahawa yang membenarkan atau membolehkan wanita yang sedang haid berdiam diri (menetap) di dalam masjid adalah pendapat ulamak Zahiriyyah. Namun pendapat ini marjuh atau lemah dan tidak boleh dijadikan pegangan berbanding dengan pendapat Jumhur yang terdiri daripada para ulamak Mazhab Empat.


Adapun sekirannya kawasan atau ruangan pengajian tersebut bukan sebahagian daripada masjid akan tetapi merupakan ruang tambahan yang digabungkan dengan masjid, maka dibolehkan bagi wanita yang sedang haid untuk memasukinya (menetap) sama ada untuk belajar atau mengajar. Ini kerana kawasan ruangan tersebut tidak dihukumkan masjid.


Rujukan.

1. Dar al-Ifta' Misr | دار الإفتاء المصرية
      http://www.dar-alifta.org/viewfatwa.aspx?id=568&mu&Home=1&LangID=1

Wednesday, February 5, 2014

Bolehkah Solat Sunat Duduk?

Berdiri dalam solat fardhu bagi yang mampu adalah wajib dengan ijma’.  Manakala di dalam solat sunat pula tidak diwajibkan berdiri walaupun seseorang itu mampu melakukan solat sunat secara berdiri.

Hal ini kerana asas didirikan solat sunat berdasarkan faktor kemudahan dan tidak memberatkan. Oleh kerana solat sunat itu banyak, sekiranya ia diwajibkan berdiri untuk menunaikannya maka sudah tentu menimbulkan kesukaran dan menyebabkan perlaksanaanya terhenti. Justeru itu, sah solat sunat yang dilaksanakan secara duduk.

Pun begitu bagi orang yang mampu berdiri tetapi menunaikan solat sunat secara duduk, maka pahala separuh daripada pahala orang yang menunaikan solat sunat secara berdiri.

Hal ini dilihat berdasarkan hadis Nabi :

“Sesiapa yang melaksanakan solat dalam keadaan berdiri maka itu lebih utama. Dan sesiapa yang melaksanakan solat dalam keadaan duduk maka dia mendapat pahala separuh daripada orang yang solat berdiri. Manakala siapa yang solat sambil berbaring, maka pahalanya separuh daripada orang yang solat duduk.” (HR Imam Al-Bukhari)

Imam An-Nawawi menjelaskan dengan lebih terperinci berkaitan hal ini di dalam kitab Al-Majmu’:

“Solat sunat boleh dilakukan dalam keadaan duduk meskipun seseorang itu mampu berdiri. Demikianlah yang telah disepakati oleh para ulamak (ijmak) berdasarkan dalil daripada hadis-hadis sahih yang telah dinyatakan. Namun pahalanya separuh daripada pahala orang yang melakukan solat berdiri sebagaimana hadis Imran bin Husain . Tetapi sekiranya seseorang itu sakit sehingga dia tidak mampu menunaikan solat sunat sambil berdiri lalu dia menunaikan solat dengan cara duduk atau dia tidak mampu duduk lalu dia menunaikannya dengan berbaring, maka pahala sama seperti mana orang solat sunat secara berdiri tanpa ada khilaf ulamak. Demikian sama keadaanya dengan solat fardhu.”

Kesimpulan.

1. Solat sunat boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu berdiri.

2. Bagi orang yang mampu berdiri adalah lebih baik solat sunat dalam keadaan berdiri untuk meraih ganjaran pahala yang lebih besar daripada solat dalam keadaan duduk.

3. Orang tidak mampu berdiri di dalam solat sunat, boleh solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu duduk solatlah dalam keadaan berbaring.


Rujukan.

1. Fiqh Al-Islami wa Adillatuh, Syeikh Wahbah Zuhaily.
2. Al-Majmu', Imam An-Nawawi.

Tidak Boleh Menjama'kan Solat Juma'at & 'Asar?

Benarkah tidak boleh menjama'kan solat Juma'at dan 'Asar? Lewat pertanyaan yang diajukan dalam kota inbox. Katanya,

"Kawan saya mengatakan tidak boleh menjama'kan solat Juma'at dan solat Asar?"

Jawaban saya, "Ya. Benar, jika dia berpegang kepada pendapat mazhab Hanbali."

Disebutkan di dalam kitab Matholib Uli An-Nuha (مطالب أولى النهى) begini: 

ولا تجمع) جمعة إلى عصر ولا غيرها (حيث أبيح الجمع) ، لعدم وروده

Tetapi jika kita kembali perpegang dan merujuk kepada mazhab Syafi'e, barangkali tidak timbul pertanyaan seperti ini. Bukankah selama ini kita sudah sering mengamalkan solat menurut 'panduan peta' mazhab Syafi'e. Pun begitu tidaklah kita pernah menyekat hak kebebasan manusia untuk mengikuti mana-mana pendapat mazhab yang diyakini. Namun alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu mengkaji dan mempelajari secara ilmiah di dalam mazhab Syafi'e sebelum melangkah maju ke hadapan mempelajari mazhab-mazhab lain.

Tujuannya agar kita tidak terkeliru dan terperangkap di dalam ruang 'perdebatan' akibat tidak memahami prinsip disebalik masalah khilaf. 

Kita kembali merujuk kitab-kitab fiqh mazhab Syafi'e. Sudah terang dan nyata. Hanya terpulang kepada kita sama ada belajar atau tidak. Yang menjadi masalah kita tidak belajar dan membuka kitab-kitab mazhab Syafi'e. 

Di dalam kitab Al-Iqna', Syeikh Khatib Al-Syarbini menghuraikan kalam Abu Syuja':

ويجوز للمسافر) سفر قصر (أن يجمع بين) صلاتي (الظهر والعصر في وقت أيهما شاء) تقديما وتأخيرا (و) أن يجمع (بين) صلاتي (المغرب والعشاءفي وقت أيهما شاء) تقديما وتأخيرا. والجمعة كالظهر في جمع التقديم

Jika kita buka kitab Hasyiah Bujairmi misalannya, kita akan bertemu dengan ibarat ini.

قوله: (والجمعة كالظهر في جمع التقديم) أي كأن دخل المسافر قرية بطريقه يوم الجمعة فالأفضل في حقه الظهر، لكن لو صلى الجمعة معهم فيجوز له في هذه الحالة أن يجمع العصر معها تقديما اط ف. وقوله: في جمع التقديم أي ويمتنع جمعها تأخيرا لأنها لا يتأتى تأخيرها عن وقتها

Demikian juga disebutkan di dalam kitab-kitab mazhab Syafi'e lainnya yang membahaskan masalah ini. Kita akan menemui jawaban yang sama.

Kesimpulan.

1. Menurut mazhab Syafi'e, boleh seseorang yang bermusafir menjama'kan solat Juma'at dengan solat Asar.

2. Dibolehkan melakukan jamak taqdim sahaja.

3. Tidak boleh jamak ta'khir kerana tidak boleh mengta'khirkan solat Juma'at daripada waktunya kepada waktu Asar.

4. Menurut madzhab Hanbali, tidak boleh menjamakkan solat Juma’at dengan solat Asar kerana tidak ada dalil yang membolehkannya.

Kenapa Dalam Doa Qunut ''..fainnaka taqdhi wala yuqdho 'alaik..'' Dibaca Perlahan?

Assalamualaikum ust. Sy nak bertanya, di dalam doa Qunut, apabila sampai bacaan ''..fainnaka taqdhi wala yuqdho 'alaik..'' kenapa Imam baca perlahan? Bolehkah kalau kita baca kuat?

*******


Walaikumsalam. Terima kasih kepada yang bertanya.

Doa Qunut yang kita baca mengandungi tiga bentuk iaitu doa, zikir/ pujian dan selawat. Dipermulaannya doa, dipertengahannya pujian kepada Allah Ta'ala dan diakhirnya selawat kepada Nabi ﷺ.


Persoalannya kenapa ''..fainnaka taqdhi wala yuqdho 'alaik..'' dibaca perlahan?

فإنك تقضي إلى آخره adalah bentuk zikir atau pujian kepada Allah Ta'ala bukan doa. Jika solat berjemaah bersama Imam, Makmum boleh diam sahaja ketika Imam membacanya namun yang lebih afdhal Makmum membacanya bersama Imam dengan perlahan. Oleh kerana afdhal Makmum membacanya zikir pujian tersebut, maka Imam tidak perlu membacanya secara Jahar (kuat) memadai dibaca secara Sirr (perlahan) sebagaimana zikir-zikir di dalam solat yang lain yang dibaca perlahan oleh Imam dan Makmum.

Pun begitu ada sebahagian Ulamak yang berpendapat Imam digalakkan juga membacanya dengan kuat sebagaimana ketika berdoa memohon rahmat dan dijauhkan daripada api neraka.


Rujukan.

1. Nihayah Al-Muhtaj, 1/507

(يقول الثناء) سرا وهو من فإنك تقضي إلى آخره، أو يستمع له لأنه ثناء وذكر لا يليق به التأمين والمشاركة أولى كما في المجموع، والثاني يؤمن فيه أيضا، وإذا قلنا بمشاركته فيه ففي جهر الإمام به نظر، يحتمل أن يقال: يسر به كما في غيره مما يشتركان فيه، ويحتمل وهو الأوجه الجهر به كما إذا سأل الرحمة أو استعاذ من النار ونحوها فإن الإمام يجهر به ويوافقه فيه المأموم ولا يؤمن كما قاله في المجموع

Monday, February 3, 2014

Takbiratul Ihram

TAKBIRATUL IHRAM (تكبيرة الإحرام)

Apabila kita sudah berdiri dalam keadaan yang betul serta menghadap ke arah kiblat tiba masanya untuk kita melakukan Takbiratul Ihram. Takbiratul Ihram adalah salah satu rukun daripada rukun-rukun solat. Hukumnya adalah wajib dan tidak sah solat tanpanya.

Dalil Takbiratul Ihram.

Dalil diwajibkan Takiratul Ihram di dalam solat berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, sabda Nabi :
Apabila kamu hendak menunaikan solat, maka sempurnakanlah wuduk, kemudian menghadaplah ke arah kiblat. Setelah itu, ucapkanlah takbir…”. (Riwayat Imam al-Bukhari).

Pengertian Tabiratul Ihram (تكبيرة الإحرام).

Takbiratul Ihram bermaksud takbir yang mengharamkan. Iaitu dengan takbir tersebut menjadi sebab diharamkan perkara yang halal sebelum solat seperti makan, minum dan lain-lain.[1] Sebelum solat kita dibolehkan makan, minum dan berkata-kata tetapi apabila kita solat selepas sahaja mengucapkan takbir ‘Allahu Akbar’ maka haram kita melakukan perbuatan yang lain daripada perbuatan-perbuatan yang perlu dilakukan di dalam solat kerana kita sudah masuk ke dalam solat. Itulah yang dimaksudkan dengan takbir yang mengharamkan perbuatan yang halal sebelumnya.

Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi yang diriwayat oleh ‘Ali bin Abi Thalib radhiaAllahu ‘anhu:

“Pembuka solat ialah bersuci, yang mengharamkan segala perbuatan yang lain (selain perbuatan solat) ialah takbir dan yang menghalalkannya semula ialah memberi salam”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Majah)

Syarat-Syarat Takbiratul Ihram.[2]

Bagi memastikan Takbiratul Ihram SAH haruslah menetapi beberapa syarat, antaranya:[3]


1. Mengucapkan Takbiratul Ihram tersebut ketika berdiri (jika sholat tersebut fardhu).
2. Mengucapkannya dengan bahasa Arab.
3. Menggunakan lafaz “Allah”.
4. Menggunakan lafaz “Akbar”.
5. Berurutan antara dua lafal tersebut.
6. Tidak memanjangkan huruf  “Hamzah” dari lafazl “Allah”.
7. Tidak memanjangkan huruf  “Ba” dari lafazl “Akbar”.
8. Tidak mentaysdidkan huruf  “Ba” tersebut.
9. Tidak menambah huruf  “Waw” berbaris atau tidak antara dua kalimat tersebut.
10. Tidak menambah huruf  “Waw” sebelum lafal “Allah”.
11. Tidak berhenti antara dua kalimat sekalipun sebentar.
12. Mendengarkan bacaan di telinga sendiri (bagi yang sihat pancaindera).
13. Masuk waktu solat tersebut (jika solat berwaktu).
14. Mengucapkan Takbiratul Ihram  tersebut ketika menghadap kiblat.
15. Tidak tersalah dalam mengucapkan salah satu dari huruf kalimat tersebut.
16. Takbiratul Ihram  makmum sesudah Takbiratul Ihram dari imam.


Berikut Rakaman Kuliah Maghrib Fiqh Sifat Solat Nabi  


Salah Kiblat, Perlukah Qada'?

10 Tahun Solat Salah Kiblat, Perlukah Qada'?

Sewaktu pulang ke kampung halaman tahun 2012, masjid di kampung saya sudah diubah arah kiblatnya. Timbul persoalan dikalangan masyarakat kampung adakah solat yang selama ini dikerjakan bertahun-tahun menghadap ke arah kiblat sebelum ini SAH? Dan adakah perlu mengqada'kan semula solat-solat tersebut?

Ketika melangsaikan tulisan Fiqh Sifat Solat Nabi ﷺ, saya bertemu jawaban ini. Al-Imam Shuyuthi di dalam Al-Asybah wa An-Nazha'ir mengemukakan kaedah fiqh yang berbunyi ;


الِاجْتِهَادُ لَا يُنْقَضُ بِالِاجْتِهَادِ
"Sesuatu ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad yang lain" 
ومن فروع ذلك: لو تغير اجتهاده في القبلة عمل بالثاني ولا قضاء حتى لو صلى أربع ركعات لأربع جهات بالاجتهاد فلا قضاء
"Salah satu masalah furu' yang termasuk dalam kaedah ini: Jika berubah ijtihadnya dalam hal menghadap kiblat (solat), maka yang diamalkan adalah ijtihad yang kedua, tidak perlu qada' (solat yang dikerjakan sebelumnya yang dikerjakan berdasarkan ijtihad yang pertama kerana ia sudah dikira sah). Bahkan sekiranya seseorang solat empat rakaat menghadap keempat arah dengan ijtihad, solatnya sah dan tidak perlu diqada'."

[ref: Al-Asybah wa An-Nazha'ir, 101]

Batalkah Solat Wanita Yang Terdedah Bawah Dagu?

Di antara perkara yang menjadikan sahnya solat seseorang itu adalah dengan menutup aurat. Ini disebut sebagai syarat sah solat. Bagi wanita, batas aurat mereka ialah seluruh badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan (belakang dan perut tangan).


Dalilnya adalah sabda Rasulullah ﷺ:

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

"Allah tidak menerima solat wanita yang sudah haid tanpa memakai khimar." (HR Abu Dawud, Ibn Majah, Ibn Hibban & Ahmad)

Apakah batas wajah?
والوجه ما بين منابت شعر الرأس إلى الذقن ومنتهى اللحيين طولا ومن الاذن إلى الاذن عرضا
 “Wajah ialah apa yang ada di antara tempat tumbuh rambut (anak rambut) kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang (tulang rahang) mengikut panjangnya, manakala lebarnya pula dari telinga hingga ke telinga yang satu lagi  (anak telinga)”

Dapat difahami daripada ta'rif wajah di atas, bahawa dagu termasuk batas wajah yang boleh didedahkan ketika solat. Manakala bawah dagu pula, ia tidak termasuk batas wajah, maka ia termasuk aurat yang wajib ditutup ketika solat.

Apabila bahagian bawah dagu terbuka atau terdedah ketika solat maka batallah solatnya kecuali apabila ditutup dengan segera. Tidak kira sama ada terdedah itu kecil atau besar, banyak atau sikit iainya tetap memudharatkan solat.

Justeru disarankan agar apabila seseorang wanita menutup aurat, dilebihkan sehingga ke dagu atau lebih agar lebih sempurna. 


Batalkah Solat Walaupun Terdedah Sedikit?

1. Mazhab Syafi'e: terbuka aurat walaupun sedikit tetap memberi kesan kepada sah atau batalnya solat.

2. Mazhab Hanafi:  terbuka aurat tidak melebihi satu perempat (1/4) bahagian tubuh. Jika lebih batal.

3. Mazhab Hanbali: terbuka aurat jika hanya sedikit tidak membatalkan solat.

4. Mazhab Maliki: terbuka aurat besar (muhgallazah) membatalkan solat. 

Jika Seseorang Itu Tidak Tahu Adakah Dimaafkan?

Syeikh Ismail bin Zein dalam fatwanya mengenai masalah ini menyatakan bahawa apabila perkara ini dilakukan oleh wanita-wanita awam (orang awam) yang tidak tahu bertaqlid (mengikuti) mana-mana mazhab, maka solatnya dihukum SAH. Hal ini kerana orang awam seperti ini tidak memiliki madzhab (buta mazhab).

Kesimpulan.

Wanita yang terdedah bawah dagunya, dihukumkan batal solatnya sebagaimana yang dipegang dalam mazhab Syafi'e. Pun begitu, penulis bersetuju dan berpegang kepada fatwa Syeikh Ismail Zein bahawa bagi orang awam yang tidak mengetahui hal ehwal mazhab atau buta mazhab, maka solat mereka masih dihukumkan sah.

Namun perlu diingatkan, mereka perlu segera belajar cara solat yang betul termasuklah berkaitan tatacara menutup aurat yang betul mengikuti Islam serta mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadat atau fardhu 'ain.

Wallahu A'lam. 

Rujukan.


1. Al-Majmu', 1/371.
2. Al-Majmu', 3/166-167.
3. Qurrotul A'in Bi Fatawi Isma'il Bin Az-Zein, 52-53.

Kesalahan Di Dalam Bacaan Al-Fatehah


Bilakah Gugur Kewajiban Berdiri?

Solat fardhu wajib dilaksanakan dalam keadaan berdiri bagi yang berkemampuan. Namun seandainya seseorang mengalami keuzuran, makan kewajiban berdiri terangkat baginya.

Antaranya keuzuran yang menyebabkan gugurnya kewajiban berdiri ialah:[1]

1.  Seseorang yang menaiki kapal ia takut tenggelam (jatuh) atau pening kepala (mabuk), maka ia boleh solat secara duduk dan tidak perlu mengulangi solatnya.

2.  Seseorang itu menghidapi penyakit Salasul Baul[2] , jika ia berdiri keluar air kencingnya, sementara jika ia duduk tidak mengalir air kencingnya, maka ia boleh solat dalam keadaan duduk menurut pendapat yang ashah dan ia tidak perlu mengulangi solatnya.

3.  Seseorang yang berubat, jika ia berdiri akan mengalir darah pada lukanya.

4.  Ketika takut terhadap musuh, jika ia berdiri pihak musuh akan melihatnya, maka dalam situasi ini dia boleh bersolat secara duduk.



Tempoh Bertenang (Diam Seketika)

Antara perkara yang disunatkan di dalam solat ialah berhenti atau diam sebentar sekadar bacaan satu tasbih iaitu “SubhanaAllah”. Diam yang dimaksudkan di sini ialah tidak menyaringkan bacaan atau suara. Terdapat enam tempat yang disunatkan untuk berhenti dan diam sebentar. Tiga tempat sebelum bacaan surah Al-Fatihah dan tiga tempat selepasnya. Tempat-tempat tersebut ialah:

1. Antara Takbiratul Ihram dengan doa Iftitah.
2. Antara doa Iftitah dengan Isti’azah.
3. Antara Isti’azah dengan surah Al-Fatihah.
4. Antara surah Al-Fatihah dengan ucapan ‘amin’.
5. Antara ucapan ‘amin’ dengan bacaan surah.
6. Antara bacaan surah dengan rukuk.

[ref: Buku Fiqh Sifat Solat Nabi ﷺ, Zaid Abdul - belum terbit-]

Beza Sujud Lelaki Dan Wanita (1)

Lelaki.

Ketika sujud hendaklah menjauhkan perut dari kedua-dua paha, kedua-dua siku dijauhkan dari rusuk sementara kedua-dua lengan pula dijauhkan (tidak dihamparkan) dari lantai atau tempat sujud.

Dalilnya ialah hadis riwayat daripada Al-Barra’ ia berkata, bahawa Nabi bersabda;

“Apabila kamu sujud letakkanlah dua tapak tanganmu dan angkatlah kedua-dua sikumu.”

Demikian lagi hadis daripada Abdullah bin Malik bin Buhainah:

“Bahawasanya Nabi apabila solat, Baginda merenggangkan kedua-dua lengan tangannya sehingga kelihatan putih dua ketiaknya.”

Dan lagi daripada Abu Humaid:

“Dan Baginda menjauhkan kedua-dua lengan tangan daripada rusuknya dan meletakkan kedua-dua tapak tangan setentang dengan bahunya.”

“Apabila sujud, Baginda merenggangkan kedua-dua pahanya tanpa sedikitpun meletakkan perutnya di atas pahanya.”

Catatan.
Perlu diingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas merupakan di antara perkara-perkara sunat ketika sujud. Justeru sekiranya seseorang itu solat berjemaah atau solat dalam keadaan bersesak, memadailah ia melakukan perbuatan yang disebutkan tadi secara sederhana. Iaitu dengan tidak merenggangkan atau membuka kedua-dua siku atau lengan. Kerana perbuatan seperti ini hanya akan mengganggu orang lain yang solat berjemaah bersama disebelahnya. Sedangkan mengganggu orang lain yang sedang bersolat haram hukumnya.

Pun begitu, mengangkat siku daripada tempat sujud tetap harus dilakukan kerana adanya tegahan daripada Baginda agar tidak menghamparkannya seperti anjing.

[ref: Buku Fiqh Sifat Solat Nabi ﷺ, Zaid Abdul - belum terbit -]

Rukun Pendek.

Pendapat yang muktamad di dalam mazhab Syafi'e (sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab Minhaj dan Muharrar), rukun solat terbahagi kepada 13 rukun.

Di antara 13 rukun tersebut, terdapat rukun yang disebutkan sebagai rukun pendek. Ianya penting dan dibincangkan di dalam kitab-kitab mazhab.

Kenapa ianya penting?

Kerna ia memberi kesan kepada sah atau batalnya solat jika dilakukan dengan 'salah'.

Jom Belajar Fiqh Sifat Solat Nabi ﷺ.