SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Tuesday, February 11, 2014

Jangan Solat Duduk Jika Masih Mampu Berdiri!

Islam telah menggariskan suatu bentuk modul ibadat yang sangat kemas dan tersusun. Hanyasanya para penganutnya tidak mempelajari bagaimana cara beribadat yang benar dan betul mengikut neraca fiqh. Hal ini menyebabkan wujudnya masyarat muslim yang mengamalkan ibadat mengikut selera mereka. Antaranya ialah budaya solat secara duduk di atas kerusi sudah menjadi kebiasaan yang berlaku di mana-mana masjid ketika solat berjemaah. Perkara ini juga sering terjadi kepada para wanita yang mengandung kerana ingin mengambil keringanan.

Terdapat beberapa isu yang dibincangkan dalam masalah ini, antaranya:

1. Sesiapa yang tidak mampu berdiri dengan sempurna sehingga kelihatan dia berdiri seperti orang rukuk disebabkan kerana belakang tubuhnya melengkung akibat usia tua atau kerana lumpuh, maka wajib dia itu solat dengan berdiri mengikut kemampuan dan keadaannya itu (berdiri dalam keadaan membongkok). Kemudian apabila dia hendak rukuk, dia perlu menundukkan atau merendahkan badannya lebih sedikit jika berupaya.

2. Seandainya dia memerlukan sesuatu untuk bersandar supaya boleh berdiri seperti bersandar di dinding atau tiang, wajib baginya bersandar kepada sesuatu yang boleh dijadikan tempat untuk menyandarkan dirinya agar dapat menyempurnakan rukun berdiri. Jika sekiranya dia bersandar pada sesuatu benda yang apabila dia rukuk benda tersebut akan jatuh atau rebah, solatnya masih sah. Kerana perbuatan begini masih dikira berdiri. Namun solat dalam keadaan bersandar pada sesuatu adalah makruh.

3. Jika seseorang itu tidak mampu berdiri sendiri kecuali dengan bantuan orang lain atau dalam erti kata lain dia boleh berdiri sekiranya dibantu oleh orang lain, maka dia harus meminta bantuan orang untuk membolehkannya berdiri dalam solat. Jika tidak ada orang lain yang mahu menolongnnya secara sukarela, maka wajib baginya membayar upah jika dia mampu berdasarkan harga umum.

4.  Jika seseorang itu mampu berdiri tetapi tidak berdaya melakukan rukuk dan sujud kerana ada luka di punggungnya, wajib dia menyempurnakan rukun berdiri kerana dia masih mampu dan berkuasa. Ketika dia hendak rukuk dan sujud, maka memadai dia melakukan sekadar kemampuannya.


Perlu diingatkan bahawa berdiri di dalam solat fardhu merupakan kewajipan bagi orang yang bersolat. Selagi mana seseorang itu mampu berdiri, maka selagi itulah dia diwajibkan berdiri di dalam solat. Ini bukanlah bertujuan untuk memberatkan mana-mana individu yang ingin beribadat kepada Allah, tetapi ini adalah ketetapan ibadat yang semestinya tidak dipandang ringan dan mudah oleh semua orang.

Sesungguh agama ini dibina di atas neraca ilmu bukan mengikuti pertimbangan dan rasional akal. Dan sesungguh ilmu diperolehi dengan belajar. 




Rujukan: Buku Fiqh Sifat Solat Nabi 

No comments:

Post a Comment