SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Sunday, July 13, 2014

ADAKAH MAKMUM WAJIB MEMBACA AL-FATIHAH


Terdapat khilaf dikalangan 4 Mazhab berkenaan hukum makmum membaca Al-Fatihah di belakang Imam.

Al-Imam Al-'Allamah Al-Hafidz Al-Muhaddits Al-Ushuli Al-Muhaqqiq Al-Mudaqqiq Abul Fadhl Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Siddiq Al-Ghumari رحمه الله ada mengarang sebuah makalah berjudul 'Al-Adillat Al-Rajihah 'Ala Fardhiyati Qira'at Al-Fatihah'.

Makalah ini berkaitan tentang perbahasan hukum membaca Al-Fatihah di belakang Imam menurut empat mazhab. Sungguh ianya sangat bermanfaat buat para penuntut ilmu. Kesimpulan perbezaan hukum membaca Al-Fatihah di belakang Imam seperti berikut;

1. Mazhab Hanafi - Makmum tidak diharuskan membaca Al-Fatihah atau ayat-ayat Al-Quran yang lain di belakang Imam, samada pada solat Jahar atau Sirr.

2. Mazhab Malik - Makmum tidak diharuskan membaca Al-Fatihah pada solat Jahar tetapi dibaca pada solat Sirr. Demikian juga pendapat Imam Ahmad.

3. Mazhab Syafie - Diwajibkan makmum membaca Al-Fatihah di belakang Imam samada pada solat Jahar atau Sirr. Demikian juga pendapat Imam Auza'ie, Laith, Ibn Hazm.

[ref: Al-Adillat Al-Rajihah 'Ala Fardhiyati Qira'at Al-Fatihah, 3-4]

JARAK DIHARUSKAN SOLAT JAMAK & QASAR


Jarak yang menjadi syarat diharuskan menjamak & mengqasarkan solat menurut panduan fiqh ialah 2 marhalah. Berapa jarak 2 marhalah tersebut mengikuti hitungan KM? 

Mari kita merujuk sebuah kitab fiqh ma
zhab Syafi'e versi moden berjudul At-Taqrirat Asy-Syadidah (315), karya Syeikh Hasan bin Ahmad Al-Kaff.

كون سفره مرحلتين, أي : طويلاو وهو ما يساوي 16 فرسخا, والفرسخ : 3 أميال, والميل : 4000 خطوة, فالمرحلتان : 82 كيلو متر تقريبا

Daripada kenyataan di atas dapat disimpulkan bahawa 2 marhalah bersamaan lebih kurang 82 KM.

Wallahu 'a'lam.

Saturday, July 12, 2014

Q&A: DOA BAHASA MELAYU DALAM SOLAT

Soal.


Salam Ustad..Boleh kah saya berdoa dalam bahasa melayu ketika sujud terakhir solat? kerana ada hajat2x tertentu yang saya ingin kan.. atau perlu saya berdoa dalam hati saja? Harap dapat penjelasan ustad. TKasih.

Jawab.

Wa'alaikum salam.



1. Diantara perkara yang disunatkan ketika sujud selain mengucapkan zikir & tasbih ialah berdoa kepada Allah Ta'ala. Hal ini sesuai menurut anjuran agama berdasarkan hadis Nabi shallaAllahu 'alayhi wa sallam.

2. Seseorang yang tidak mampu berdoa di dalam bahasa 'Arab ketika solat, maka dia boleh menterjemahkan doa yang hendak dibaca tersebut ke bahasa Melayu atau bahasa lain, tetapi dengan syarat doa yang dibaca dalam bahasa Melayu itu adalah diterjemahkan daripada doa yang ma'thur/ warid daripada Nabi shallaAllahu 'alayhi wa sallam.

3. Jika dia berdoa dalam bahasa Melayu dengan doa yang tidak ma'thur atau doa direka sendiri olehnya, maka perbuatan tersebut hukumnya haram dan membatalkan solat. 

4. Kami mencadangkan agar kita berusaha untuk menghafal doa-doa solat di dalam bahasa 'Arab. Jika kita tidak mampu, maka berusahalah pula untuk menghafal terjemahan doa-doa tersebut.

5. Jika dia berdoa di dalam hati, maka ia tidak menjejaskan solatnya.

Tanbih.
Perlu diingatkan bahawa, sujud lama pada rakaat terakhir semata-mata untuk berdoa merupakan perbuatan yang menyalahi sunnah. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh Imam yang memimpin solat berjemaah. Ini kerana tempat berdoa ketika sujud tidak hanya dikhususkan pada rakaat terakhir solat. Setiap orang yang solat boleh berdoa ketika sujud, sama ada pada rakaat pertama, kedua, ketiga atau keempat tanpa mengkhususkan rakaat terakhir sebagai tempat berdoa. Intaha!


_________________
Rujukan.

Nihayah Al-Muhtaj, 1/513

TAHAJJUD TETAPI BELUM TIDUR?



Solat Tahajjud menurut pengertian fiqh adalah solat sunat malam yang dilakukan selepas tidur[1] walaupun tidurnya hanya sebentar atau tidurnya sebelum menunaikan solat Isyak.[2]

Justeru, jika seseorang belum tidur pada malam hari, maka solat sunat yang dilakukannya tidak dinamakan solat Tahajjud. Diriwayatkan dalam satu hadis;[3]

عَنِ الأَسْوَدِ، قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، كَيْفَ كَانَتْ صَلاَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّيْلِ؟ قَالَتْ: «كَانَ يَنَامُ أَوَّلَهُ وَيَقُومُ آخِرَهُ، فَيُصَلِّي، ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَذَّنَ المُؤَذِّنُ وَثَبَ، فَإِنْ كَانَ بِهِ حَاجَةٌ، اغْتَسَلَ وَإِلَّا تَوَضَّأَ وَخَرَجَ 
"Dari Al-Aswad, ia berkata: "Aku bertanya kepada Aisyah radhiyaAllahu 'anha, "Bagaimana solat Rasulullah ﷺ pada waktu malam?". Beliau menjawab: "Nabi ﷺ biasanya akan tidur pada awal malam, lalu Baginda ﷺ akan bangun pada akhir malam, kemudian Baginda ﷺ melaksanakan solat, lalu Baginda ﷺ kembali lagi ke tempat tidurnya. Jika terdengar suara muazzin, barulah Baginda ﷺ bangun kembali. Jika berhajat, Baginda ﷺ akan mandi, dan jika tidak, Baginda ﷺ terus berwudhu' lalu segera keluar (menuju ke masjid)." (HR Bukhari, no.1146)


_________________
Rujukan.

1. Nihayah Al-Muhtaj, 2/131
2. Hasyiyah Al-Bujairimi, 1/286
3. Shahih Al-Bukhari, 2/53

Sunday, July 6, 2014

VLOG: Tahajjud Cinta


SIRI PENGAJIAN KITAB RIYADHUS SALIHIN

Kitab Dalil Al-Falihin Syarah Riyadh As-Salihin, Bab 11, Hadis 102

Kuliah Maghrib Di Surau At-Taqwa, Seksyen 7, Shah Alam


Bah 1: http://www.youtube.com/watch?v=KES2PgdJsHY
Bah 2: http://www.youtube.com/watch?v=P1tbz6pt31M
Bah 3: http://www.youtube.com/watch?v=mAfQh11BWCg
Bah 4: http://www.youtube.com/watch?v=LzUa5TVAOlo
Bah 5: http://www.youtube.com/watch?v=SdVKAj4GZuY

VLOG: Kisah Rasulullah & Abu Bakar


SIRI PENGAJIAN KITAB RIYADHUS SALIHIN

Kitab Dalil Al-Falihin Syarah Riyadh As-Salihin Bab 31 Hadis no. 252

Kuliah Maghrib Di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam

Bah 1: http://www.youtube.com/watch?v=REBsCJqmOFM
Bah 2: http://www.youtube.com/watch?v=31LUm2r7u_o
Bah 3: http://www.youtube.com/watch?v=uFDX_-4_f2M
Bah 4: http://www.youtube.com/watch?v=k7COGDC5T38&feature=youtu.be
Bah 5: http://www.youtube.com/watch?v=qWVeYiDGjuE

ISU WANITA HAMIL & MENYUSU

Perbuatan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum-hakam agama berdasarkan dalil-dalil mengikut kefahaman akal fikiran sendiri oleh sebahagian individu atau ustaz pada masa kini amatlah membimbangkan. Jika perkara seperti ini berterusan dari semasa ke semasa dan tidak dibendung dari sekarang, maka sudah pastilah kesucian dan kemurnian syariat Islam itu akan tercemar.
Para Ulamak Mazhab sebenar tidak akan mengeluarkan sesuatu hukum agama mengikut hawa nafsu mereka semata-mata, kerana mereka adalah golongan yang paling takut kepada kepada Allah Ta'ala dan sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah Ulama." (Surah Faathir: Ayat 28).
Sudah jelas lagi maklum, sepakat Ulamak Mazhab bahawa WANITA HAMIL & MENYUSU diharuskan berbuka puasa jika khuatir berlaku mudharat atau sakit terhadap dirinya atau kandungannya atau anakknya.
Namun mereka (para Ulamak) berlaku khilaf dalam menentukan hukuman yang dikenakan ke atas WANITA HAMIL & MENYUSU. Menurut mazhab Syafi'e, sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab Fiqh Al-Minhaji (2/94):
الحامل والمرضع
إذا أفطرت الحامل والمرضع، فهي إما أن تفطر خوفا على نفسها، أو خوفا على طفلها
فإن أفطرت خوفا من حصول ضرر بالصوم على نفسها وجب عليها القضاء فقط قبل حلول شهر رمضان آخر. روى الترمذي (715) وأبو داود (2408) وغيرهما عن أنس الكعبي - رضي الله عنه - عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قال: إن الله تعالى وضع عن المسافر الصوم وشطر الصلاة، وعن الحامل أو المرضع الصوم أي خفف بتقصير الصلاة، ورخص في الفطر مع القضاء
وإن أفطرت خوفا على طفلها، وذلك بأن تخاف الحامل من إسقاطه إن صامت، أو تخاف المرضع أن يقل لبنها فيهلك الولد إن صامت، وجب عليها والحالة هذه القضاء والتصدق بمد من غالب قوت البلد عن كل يوم أفطرته. ومثل هذه الصورة أن يفطر الصائم لإنقاذ مشرف على الهلاك، فيجب عليه مع القضاء التصدق بمد طعام. روى أبو داود (2318) عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين) البقرة 184. قال كانت رخصة للشيخ الكبير والمرأة الكبيرة، وهما يطيقان الصوم أن يفطرا ويطعما كل يوم مسكينا، والحبلى والمرضع إذا خافتا ـ يعني على أولادهما ـ أفطرتا وأطعمتا
Mengandung & Menyusu
Wanita yang mengandung & menyusu tersebut membatalkan puasanya kerana khuatir keadaan dirinya sendiri atau bayinya, jika ia berbuka kerana khuatir akan kesihatan dirinya sendiri, maka dia wajib mengqada' puasa yang ditinggalkan tersebut sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Dalilnya adalah riwayat daripada Anas Al-Ka'bi radhiyaAllahu 'ahu, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ المُسَافِرِ الصَّوْمَ، وَشَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الحَامِلِ أَوِ المُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
“Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak mewajibkan puasa ke atas musafir dan memberi keringanan mengqasarkan solat untuknya, juga memberi keringanan kepada wanita mengandung dan menyusu untuk tidak berpuasa" (HR Turmuzi, no.715 : HR Abu Daud, no.2408 dan selain keduanya)
Jika wanita tersebut membatalkan puasanya kerana bimbang (khuatir) keadaan anaknya, demikian juga bimbang akan kesihatan kandungannya, iaitu bimbang berlakunya keguguran bagi wanita yang mengandung atau susu berkurangan bagi ibu yang menyusui bayinya kerana dia sedang berpuasa, maka wanita tersebut diwajibkan untuk mengqada’ puasa yang ia tinggalkan dan membayar fidyah iaitu secupak makanan asasi penduduk negerinya sebanyak jumlah hari yang dia tidak berpuasa. Demikian juga bagi orang yang berbuka kerana menyelamatkan orang yang dalam keadaan bahaya, dia wajib qada' dan memberi sedekah tersebut (fidyah). Dalilnya adalah riwayat daripada Ibn 'Abbas radhiyaAllahu 'ahu;
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: {وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ}، قَالَ: «كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ، وَالْمَرْأَةِ الْكَبِيرَةِ، وَهُمَا يُطِيقَانِ الصِّيَامَ أَنْ يُفْطِرَا، وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ سْكِينًا، وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا»، قَالَ أَبُو دَاوُدَ: يَعْنِي عَلَى أَوْلَادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا
"Daripada Ibn 'Abbas radhiyaAllahu 'ahu katanya, firman Allah Ta'ala: "Dan bagi orang yang tidak mampu berpuasa (kerana tua dan selainnya), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin." (Surah Al-Baqarah: 184). Ibn 'Abbas berkata; Ini merupakan keringanan (rukhsah) yang ditujukan kepada lelaki dan wanita tua dan tidak mampu berpuasa, mereka hendaklah memberi makan seorang miskin setiap hari satu hari satu orang miskin dan keringanan bagi wanita yang mengandung dan menyusu apabila bimbang atua merasa takut. Abu Daud berkata: Iaitu bimbang kepada anak mereka berdua, maka mereka harus berbuka dan wajib memberi makan (fidyah).” (HR Abu Daud, no.2318)
Wallahu 'a'lam.

Thursday, July 3, 2014

Q&A: SAFF SOLAT


Soal.

Assalammualaikum WBT Ustaz, Maaf mengganggu. Ada pertanyaan sedikit tentang sah solat dan saf. Pada pengetahuan saya, jika saf kita salah (cth: saf tak rapat, jemaah tidak memenuhi ruang saf dgn betul), ia menjadi tidak sah solat. Betulkah? Sekiranya betul, perlu ke kita meninggalkan tempat tersebut dan solat bsendirian?

Jawab.

Waalaikumsalam wa rahmatullahi wa barakatuh

1. Sebelum menjawab persoalan di atas, sayugia kami ingin menjelaskan bahawa saff solat bukanlah termasuk syarat sah atau rukun solat. Justeru, ia tidak memberi kesan kepada sah atau batalnya solat seseorang.

2. Jika seandainya ia merupakan satu rukun atau syarat sah solat, sudah tentu orang yang solat bersendirian, tidak sah solatnya kerana tidak mempunyai saff. Ini penting untuk difahami.

3. Berkaitan hukum meluruskan saff atau barisan dalam solat, terdapat khilaf dikalangan Ulamak.

Pertama: Sunat.
Jumhur Ulamak berpendapat bahawa meluruskan saff @ barisan ketika mengerjakan solat berjema'ah adalah SUNAT hukumnya. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya sabda Nabi ﷺ:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

"Luruskan saff-saff kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saff @ barisan adalah sebahagian daripada mendirikan solat." (HR Bukhari No.723)

Kedua: Wajib.
Sebahagian Ulamak seperti Syekh Ibnu Hajar Al-Asqalani dan beberapa Ulama' Hadis yang lain, menyatakan bahawa meluruskan saff ketika solat berjema'ah hukumnya WAJIB berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

"Luruskanlah saff-saff kalian atau Allah akan memalingkan wajah-wajah kalian." (HR Bukhari, No.717 & Muslim, No.436)

Hadis di atas hadis mengandungi suatu bentuk ancaman yang ditujukan kepada suatu perbuatan yang menyalahi perintah, menunjukkan bahawa perkara yang diperintahkan adalah perkara wajib. Ekoran daripada itu disimpulkan bahawa hukum meluruskan saff adalah wajib dan melanggar peraturan tersebut adalah haram hukumnya.

Pun begitu Syeikh Ibnu Hajar menjelaskan lagi bahawa walaupun meluruskan saff itu wajib, solat jema'ah tetap sah sekalipun saff tidak lurus. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan apa yang dilakukan oleh Sayyiduna Anas, walaupun beliau menegah orang-orang yang tidak meluruskan saff, beliau tidak menyuruh mereka mengulangi semula solat mereka.

4. Pendapat yang mengatakan solat tidak sah jika saff tidak rapat atau lurus boleh membatalkan solat adalah tidak betul dan kurang tepat. Maka tidak perlu meninggalkan solat jema'ah tersebut, kerana ia adalah perbuatan yang merugikan diri sendiri kerana meninggalkan solat berjemaah.

5. Kesimpulannya, solat jemaah tetap dihukumkan sah walaupun saff solat tersebut tidak lurus. 

___________________

Rujukan.

Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah : 27/35-36.

تسوية الصف في صلاة الجماعة
ذهب الجمهور إلى أنه يستحب تسوية الصفوف في صلاة الجماعة بحيث لا يتقدم بعض المصلين على البعض الآخر، ويعتدل القائمون في الصف على سمت واحد مع التراص، وهو تلاصق المنكب بالمنكب، والقدم بالقدم، والكعب بالكعب حتى لا يكون في الصف خلل ولا فرجة، ويستحب للإمام أن يأمر بذلك لقوله صلى الله عليه وسلم: سووا صفوفكم فإن تسوية الصف من تمام الصلاة وفي رواية: فإن تسوية الصفوف من إقامة الصلاة وفي رواية: وأقيموا الصف فإن إقامة الصف من حسن الصلاة ولما رواه أنس رضي الله عنه قال: أقيمت الصلاة فأقبل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم بوجهه فقال: أقيموا صفوفكم، وتراصوا فإني أراكم من وراء ظهري وفي رواية: وكان أحدنا يلزق منكبه بمنكب صاحبه وقدمه بقدمه
وذهب بعض العلماء - منهم ابن حجر وبعض المحدثين - إلى وجوب تسوية الصفوف لقوله صلى الله عليه وسلم: لتسون صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجوهكم  فإن ورود هذا الوعيد دليل على وجوب التسوية، والتفريط فيها حرام؛ ولأمره صلى الله عليه وسلم بذلك وأمره للوجوب ما لم يصرفه صارف، ولا صارف هنا.
قال ابن حجر العسقلاني: ومع القول بأن تسوية الصف واجبة فصلاة من خالف ولم يسو صحيحة، ويؤيد ذلك: أن أنسا مع إنكاره عليهم لم يأمرهم بإعادة الصلاة
ومن تسوية الصفوف إكمال الصف الأول فالأول، وأن لا يشرع في إنشاء الصف الثاني إلا بعد كمال الأول، وهكذا. وهذا موضع اتفاق الفقهاء لقوله صلى الله عليه وسلم: أتموا الصف المقدم ثم الذي يليه، فما كان من نقص فليكن في الصف المؤخر وقوله صلى الله عليه وسلم: من وصل صفا وصله الله ومن قطع صفا قطعه الله. وعليه فلا يقف في صف وأمامه صف آخر ناقص أو فيه فرجة، بل يشق الصفوف لسد الخلل أو الفرجة الموجودة في الصفوف التي أمامه؛ للأحاديث السابقة

Wallahu 'a'lam.