Benarkah tidak boleh menjama'kan solat Juma'at dan 'Asar? Lewat pertanyaan yang diajukan dalam kota inbox. Katanya,
"Kawan saya mengatakan tidak boleh menjama'kan solat Juma'at dan solat Asar?"
Jawaban saya, "Ya. Benar, jika dia berpegang kepada pendapat mazhab Hanbali."
Disebutkan di dalam kitab Matholib Uli An-Nuha (مطالب أولى النهى) begini:
ولا تجمع) جمعة إلى عصر ولا غيرها (حيث أبيح الجمع) ، لعدم وروده
Tetapi jika kita kembali perpegang dan merujuk kepada mazhab Syafi'e, barangkali tidak timbul pertanyaan seperti ini. Bukankah selama ini kita sudah sering mengamalkan solat menurut 'panduan peta' mazhab Syafi'e. Pun begitu tidaklah kita pernah menyekat hak kebebasan manusia untuk mengikuti mana-mana pendapat mazhab yang diyakini. Namun alangkah baiknya jika kita terlebih dahulu mengkaji dan mempelajari secara ilmiah di dalam mazhab Syafi'e sebelum melangkah maju ke hadapan mempelajari mazhab-mazhab lain.
Tujuannya agar kita tidak terkeliru dan terperangkap di dalam ruang 'perdebatan' akibat tidak memahami prinsip disebalik masalah khilaf.
Kita kembali merujuk kitab-kitab fiqh mazhab Syafi'e. Sudah terang dan nyata. Hanya terpulang kepada kita sama ada belajar atau tidak. Yang menjadi masalah kita tidak belajar dan membuka kitab-kitab mazhab Syafi'e.
Di dalam kitab Al-Iqna', Syeikh Khatib Al-Syarbini menghuraikan kalam Abu Syuja':
ويجوز للمسافر) سفر قصر (أن يجمع بين) صلاتي (الظهر والعصر في وقت أيهما شاء) تقديما وتأخيرا (و) أن يجمع (بين) صلاتي (المغرب والعشاءفي وقت أيهما شاء) تقديما وتأخيرا. والجمعة كالظهر في جمع التقديم
Jika kita buka kitab Hasyiah Bujairmi misalannya, kita akan bertemu dengan ibarat ini.
قوله: (والجمعة كالظهر في جمع التقديم) أي
كأن دخل المسافر قرية بطريقه يوم الجمعة فالأفضل في حقه الظهر، لكن لو صلى
الجمعة معهم فيجوز له في هذه الحالة أن يجمع العصر معها تقديما اط ف.
وقوله: في جمع التقديم أي ويمتنع جمعها تأخيرا لأنها لا يتأتى تأخيرها عن
وقتها
Demikian juga disebutkan di dalam kitab-kitab mazhab Syafi'e lainnya yang membahaskan masalah ini. Kita akan menemui jawaban yang sama.
Kesimpulan.
1. Menurut mazhab Syafi'e, boleh seseorang yang bermusafir menjama'kan solat Juma'at dengan solat Asar.
2. Dibolehkan melakukan jamak taqdim sahaja.
3. Tidak boleh jamak ta'khir kerana tidak boleh mengta'khirkan solat Juma'at daripada waktunya kepada waktu Asar.
4. Menurut madzhab Hanbali, tidak boleh menjamakkan solat Juma’at dengan solat Asar kerana tidak ada dalil yang membolehkannya.
No comments:
Post a Comment