SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Thursday, March 26, 2015

Q&A: AZAN SEMASA JENAZAH DIKEBUMIKAN

Soal.Assalammualaikum ustaz.. apa hukumnya Setelah jenazah siap dihadapkn ke kiblat. Sebelum ditimbus dgn tanah. Ada org yg azan dlm liang.? tolong berikan pencerahan ustaz sbgai ilmu kpd kami semua... terima kasih ustaz..

Jawab.

1. Ulamak berselisih pendapat tentang hukum melaungkan azan semasa mayit sedang di masukkan ke dalam kubur.

• Pertama
Sunat melaungkan azan kerana diqiyaskan dengan azan ketika baru lahir ke dunia.

• Kedua
Tidak sunat melaungkan azan dan inilah pendapat Imam Ibn Hajar & Syeikh Bajuri.

2. Menurut Syeikh Bajuri, jika kebetulan ketika mayat dimasukkan ke dalam kubur, pada waktu itu azan di laungkan, maka diringankan ke atas mayit soal kubur.

Tanbih.
Sayugia bagi seorang muslim agar tidak mudah mentohmah amalan yang dilakukan oleh orang muslim lain sebagai bid'ah & khurafat. Lebih-lebih dalam perkara khilafiyyah yang sepatutnya setiap umat berlapang dada. Tahanlah lisan kita dari menyakiti sesama orang yang beriman. Sesungguhnya prinsip hidup bagi seorang muslim ialah menjaga lisannyan daripada menyakiti saudara muslim yang lain.


Wallahu a'lam.


Ustaz Zaid Abdul
Pengasas Modul "Oh My Solat
Penceramah Program "Fiqh Sifat Solat Nabi"

✅ Hp : +6010 2707 903

Q&A: BERCAKAP KETIKA KHUTBAH JUMAAT

Soal.

Mohon pencerahan.ketika khatib sedang membaca khutbah dilarang berkata-kata kerana sia-sia pahala solat jumaat.Sekiranya ada keperluan yg penting untuk brkata2 apakah ada kelonggaran dlm larangan ini?

Jawab.

1. Dalam hadis disebutkan,

ﺇِﺫَﺍ ﻗُﻠْﺖَ ﻟِﺼَﺎﺣِﺒِﻚَ : ﺃَﻧْﺼِﺖْ، ﻳَﻮْﻡَ ﺍﻟْﺠُﻤُﻌَﺔِ، ﻭَﺍﻟْﺈِﻣَﺎﻡُ ﻳَﺨْﻄُﺐُ، ﻓَﻘَﺪْ ﻟَﻐَﻮْﺕَ

"Jika kamu berkata kepada sahabatmu, "diamlah" pada hari Juma'at, sedangkan Imam sedang menyampaikan khutbah, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang sia-sia." (HR Muslim)

2. Imam Nawawi mengatakan maksud perkataan "lagha" dalam hadis di atas adalah perkataan yang 'sia-sia' dan 'batil'.

3. Sebahagian ulamak mengatakan maksudnya adalah 'perkataan yang tidak benar' dan ada juga yang mengatakan maksudnya 'perkataan yang tidak wajar dan patut untuk diucapkan'.

4. Imam Nawawi mengatakan lagi bahawa hadis ini bertujuan melarang untuk 'bercakap' ketika khutbah sedang disampaikan, walaupun yang diucapkan itu adalah perintah kepada kebaikan (amar ma'ruf), kerana selagi mana amar ma'ruf masih boleh dilakukan dengan 'isyarat', maka memadai dengan isyarat, kecuali apabila isyarat tersebut tidak dapat difahami, maka ketika itu dibolehkan berkata-kata, itupun sebolehnya diucapkan dengan ringkas dan padat.

5. Para ulamak Syafi'iyyah menyatakan bahwa hadis tersebut menunjukkan kepada hukum 'makruh' berkata-kata ketika khutbah sedang berlangsung, kerana menurut pendapat jadid (baru) Imam Syafi'ie bercakap ketika khutbah Jumaat disampaikan hukumnya tidak haram. Ini adalah pendapat yang sahih menurut ashhab Syafi'ie, juga merupakan pendapat Urwah bin az-Zubair, Sa'id bin Jubair, Asy-Sya'bi, Ats-Tsauri dan Daud.

6. Kesimpulan hukum ini diambil berdasarkan beberapa hadis yang menceritakan bahawa ketika Nabi ﷺ menyampaikan khutbah ada orang berbicara. Diantaranya:

ﻓَﺒَﻴْﻨَﺎ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻳَﺨْﻄُﺐُ ﻓِﻲ ﻳَﻮْﻡِ ﺟُﻤُﻌَﺔٍ ﻗَﺎﻡَ ﺃَﻋْﺮَﺍﺑِﻲٌّ، ﻓَﻘَﺎﻝَ ﻳَﺎ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ : ﻫَﻠَﻚَ ﺍﻟﻤَﺎﻝُ ﻭَﺟَﺎﻉَ ﺍﻟﻌِﻴَﺎﻝُ، ﻓَﺎﺩْﻉُ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻟَﻨَﺎ، ﻓَﺮَﻓَﻊَ ﻳَﺪَﻳْﻪِ

"Ketika Rasulullah ﷺ sedang berkhutbah pada hari Jumaat seorang a'rabi berdiri kemudian berkata: "Wahai Rasulullah ﷺ, telah musnah harta benda dan keluarga kelaparan, berdoalah pada Allah تعالى untuk kita, kemudian Rasulullah ﷺ berdoa sambil mengangkat kedua tangan baginda ﷺ (yang mulia)." (HR Bukhari)

7. Dalam hadis tersebut Rasulullah ﷺ tidak mengingkari orang yang berbicara tersebut dan juga tidak mewajibkan untuk diam, maka daripada sinilah disimpulkan hukum bahawa tidak haram berbicara ketika khutbah disampaikan.

8. Maka kesimpulan hukum adalah disunatkan diam apabila imam menyampaikan khutbah dan mendengarkan khutbah yang sedang disampaikan. Harus bercakap jika mempunyai hajat. Misalnya ada orang yang memberi salam atau bersin, boleh menjawab salam dan mengucapkan tasymiyah pada orang yang bersin.

Walllahu a'lam.

Rujukan.

1. At-Taqrirat As-Syadidah, 327-328
2. Fath Al-Qarib, 99-100
3. Syarah Shahih Muslim, 6/138
4. Al-Majmu', 2/525
5. Nihayah Al-Muhtaj, 2/319-320
6. Asna Al-Mathalib, 1/25
7. Al-Mu'tamad, 1/533



Ustaz Zaid Abdul

Pengasas Modul "Oh My Solat"
Penceramah Program "Fiqh Sifat Solat Nabi"

Tuesday, March 24, 2015

Q&A: KENTUT, KENAPA YANG DIBASUH LAIN

Soal.
Assalamualaikum..ust....nk tanye, jika noun Muslim tanye,nape bila kentut x basuh punggung tp ambil wudhuk,basuh tgn.muka,tgn n etc.bila nk solat,padahal punggung yg kotor...tp x basuh.jd mcmana nk jwb ust.😀 trimaksh ust.

Jawab.

1. Angin yang keluar dari punggung (kentut) sedikitpun tidak memberi kesan secara zahir (nampak) sehingga kita mengatakan bahawa kesan kentut tersebut akan hilang apabila dibasuh. Selain itu bahagian (anggota) tempat keluarnya kentut tersebut tidak termasuk bahagian-bahagian zahir yang boleh dilihat, sehingga ia perlu untuk dibasuh, sebagaimana anggota-anggota wuduk yang dibasuh secara khusus (berwuduk).

2. Secara semula jadi, ketika kentut keluar, anggota badan terasa lemas disamping adanya bau yang tidak sedap (busuk). Anggota-anggota badan yang dibasuh ketika wuduk bertujuan untuk menghilangkan rasa malas yang ditimbulkan oleh kentut tersebut. Jika punggung yang dibasuh (lubang tempat keluarnya angin), anggota tersebut tidak menghilangkan rawa lemas yang dirasai & tidak memulihkan semula semangat yang hilang.

3. Jika dilihat dari sudut hukum yang berkaitan dengan menghilangkan najis yang tidak kelihatan (najis maknawiyah) maka ada yang namanya taharah hukmiyah, iaitu yang disucikan adalah hukumnya. Contoh tangan wanita sentuh tangan lelaki, adakah yang dibasuh tangan sahaja? Atau menyentuh kemaluan dengan tapak tangan, adakah yang dibasuh kemaluan sahaja? Tidak, yang dibasuh ialah anggota wuduk, kerana tujuannya yang disucikan bukan najis (kerana najis hukmiyyah) tapi hukum.

4. Kentut yang keluar dari tubuh manusia sebenarnya penyakit yang keluar, jika ditahan akan membahayakan tubuh dan menjejaskan kesihatan. Justeru kentut yang keluar itu merupakan ubat daripada penyakit tersebut. Maka jika merujuk kepada pandangan ini, diperintahkan berwuduk apabila keluar kentut merupakan tanda syukur kepada Allah Ta’ala yang telah memberikan nikmat dengan keluarnya kentut (yang merupakan penyakit).

Wallahu a'lam.

Rujukan.
1. Hasyiah Al-Bajuri, 1/24
2. Hikmah at-Tasyri’, 1/66-67


Ustaz Zaid Abdul