Soal.
Mohon pencerahan.ketika khatib sedang membaca khutbah dilarang berkata-kata kerana sia-sia pahala solat jumaat.Sekiranya ada keperluan yg penting untuk brkata2 apakah ada kelonggaran dlm larangan ini?
Jawab.
1. Dalam hadis disebutkan,
ﺇِﺫَﺍ ﻗُﻠْﺖَ ﻟِﺼَﺎﺣِﺒِﻚَ : ﺃَﻧْﺼِﺖْ، ﻳَﻮْﻡَ ﺍﻟْﺠُﻤُﻌَﺔِ، ﻭَﺍﻟْﺈِﻣَﺎﻡُ ﻳَﺨْﻄُﺐُ، ﻓَﻘَﺪْ ﻟَﻐَﻮْﺕَ
"Jika kamu berkata kepada sahabatmu, "diamlah" pada hari Juma'at, sedangkan Imam sedang menyampaikan khutbah, maka sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang sia-sia." (HR Muslim)
2. Imam Nawawi mengatakan maksud perkataan "lagha" dalam hadis di atas adalah perkataan yang 'sia-sia' dan 'batil'.
3. Sebahagian ulamak mengatakan maksudnya adalah 'perkataan yang tidak benar' dan ada juga yang mengatakan maksudnya 'perkataan yang tidak wajar dan patut untuk diucapkan'.
4. Imam Nawawi mengatakan lagi bahawa hadis ini bertujuan melarang untuk 'bercakap' ketika khutbah sedang disampaikan, walaupun yang diucapkan itu adalah perintah kepada kebaikan (amar ma'ruf), kerana selagi mana amar ma'ruf masih boleh dilakukan dengan 'isyarat', maka memadai dengan isyarat, kecuali apabila isyarat tersebut tidak dapat difahami, maka ketika itu dibolehkan berkata-kata, itupun sebolehnya diucapkan dengan ringkas dan padat.
5. Para ulamak Syafi'iyyah menyatakan bahwa hadis tersebut menunjukkan kepada hukum 'makruh' berkata-kata ketika khutbah sedang berlangsung, kerana menurut pendapat jadid (baru) Imam Syafi'ie bercakap ketika khutbah Jumaat disampaikan hukumnya tidak haram. Ini adalah pendapat yang sahih menurut ashhab Syafi'ie, juga merupakan pendapat Urwah bin az-Zubair, Sa'id bin Jubair, Asy-Sya'bi, Ats-Tsauri dan Daud.
6. Kesimpulan hukum ini diambil berdasarkan beberapa hadis yang menceritakan bahawa ketika Nabi ﷺ menyampaikan khutbah ada orang berbicara. Diantaranya:
ﻓَﺒَﻴْﻨَﺎ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ ﻳَﺨْﻄُﺐُ ﻓِﻲ ﻳَﻮْﻡِ ﺟُﻤُﻌَﺔٍ ﻗَﺎﻡَ ﺃَﻋْﺮَﺍﺑِﻲٌّ، ﻓَﻘَﺎﻝَ ﻳَﺎ ﺭَﺳُﻮﻝَ ﺍﻟﻠَّﻪِ : ﻫَﻠَﻚَ ﺍﻟﻤَﺎﻝُ ﻭَﺟَﺎﻉَ ﺍﻟﻌِﻴَﺎﻝُ، ﻓَﺎﺩْﻉُ ﺍﻟﻠَّﻪَ ﻟَﻨَﺎ، ﻓَﺮَﻓَﻊَ ﻳَﺪَﻳْﻪِ
"Ketika Rasulullah ﷺ sedang berkhutbah pada hari Jumaat seorang a'rabi berdiri kemudian berkata: "Wahai Rasulullah ﷺ, telah musnah harta benda dan keluarga kelaparan, berdoalah pada Allah تعالى untuk kita, kemudian Rasulullah ﷺ berdoa sambil mengangkat kedua tangan baginda ﷺ (yang mulia)." (HR Bukhari)
7. Dalam hadis tersebut Rasulullah ﷺ tidak mengingkari orang yang berbicara tersebut dan juga tidak mewajibkan untuk diam, maka daripada sinilah disimpulkan hukum bahawa tidak haram berbicara ketika khutbah disampaikan.
8. Maka kesimpulan hukum adalah disunatkan diam apabila imam menyampaikan khutbah dan mendengarkan khutbah yang sedang disampaikan. Harus bercakap jika mempunyai hajat. Misalnya ada orang yang memberi salam atau bersin, boleh menjawab salam dan mengucapkan tasymiyah pada orang yang bersin.
Walllahu a'lam.
Rujukan.
1. At-Taqrirat As-Syadidah, 327-328
2. Fath Al-Qarib, 99-100
3. Syarah Shahih Muslim, 6/138
4. Al-Majmu', 2/525
5. Nihayah Al-Muhtaj, 2/319-320
6. Asna Al-Mathalib, 1/25
7. Al-Mu'tamad, 1/533
Ustaz Zaid Abdul
Pengasas Modul "Oh My Solat"
Penceramah Program "Fiqh Sifat Solat Nabi"
No comments:
Post a Comment