Dalam kuliah mahgirb disebuah surau saya membaca kitab Munyah Al-Mushalli, saya ditanyai soalan berkenaan lafaz "تَعَالَى" (Ta'ala) ketika mengucapkan Salam di dalam solat. Adakah ia bertentangan dengan sunnah? Bolehkah menambah lafaz tersebut ketika salam? Contohnya diucapakan "“Assalamu'alaikum warahmatullahi ta'ala wabarakaatuh”?
1) Boleh. Tidak menjadi masalah untuk menambahkan lafaz تَعَالَى ketika salam. Ini kerana perkataan tersebut merupakan perkataan mulia dan merupakan lafaz membesarkan Allah Ta'ala.
2) Mengucap lafaz tersebut tidak bertentangan dengan sunnah bahkan menambahkan lafaz tersebut atau yang seumpamanya ketika salam dilakukan juga oleh para Sahabat yang mulia. Ibnu Abi Syaibah meriwayatkan:
عَنْ مَيْمُونٍ، أَنَّ رَجُلًا سَلَّمَ عَلَى سَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ، فَقَالَ: السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ، فَقَالَ: سَلْمَانُ: «حَسْبُكَ
"Daripada Maimun, bahwa seorang lelaki mengucapkan salam pada Salman Al-Farisi dengan mengucapkan السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ, lalu Salman berkata: Cukuplah bagi kamu."
3) Demikian juga disebutkan di dalam Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, dibolehkan menambah lafaz penghormatan ketika salam. Sebagaimana riwayat daripada Salim:
عَنْ سَالِمٍ مَوْلَى عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ جَمِيعًا قَال: كَانَ ابْنُ عُمَرَ إِذَا سَلَّمَ عَلَيْهِ فَرَدَّ زَادَ، فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ، فَقَال: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ تَعَالَى، ثُمَّ أَتَيْتُهُ مَرَّةً أُخْرَى فَقُلْتُ: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ، فَقَال: السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ تَعَالَى وَبَرَكَاتُهُ وَطَيِّبُ صَلَوَاتِهِ
"Daripada Salim, pembantu 'Abdullah bin 'Umar radhiaAllahu 'anhum, berkata; ketika seseorang memberi salam pada Ibnu 'Umar maka beliau akan menambah (lafaz salam) ketika menjawabnya (salam tersebut). Aku pernah datang kepada beliau dan mengucapkan "Assalamu’alaikum", lalu beliau menjawab "Assalamu’alaikum warahmatullahi ta'ala". Kemudian pada waktu yang lain aku datang kepadanya dengan mengucapkan "Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh", lalu beliau menjawab, "Assalamu’alaikum warahmatullahi ta’ala wabarakatuh wa thayyibu shalawatihi."
4) Demikian juga disebutkan oleh Imam Al-Alusi dalam Ruh Al-Ma'ani riwayat para sahabat seperti Ibn 'Abbas, Urwah bin Zubair, Mu'az bin Jabal dan juga melalui riwayat para tabi'in.
5) Selain itu terdapat hadis tentang kelebihan menambahkan ucapan lafaz salam sebagaimana riwayat Sahl ibn Hanif, ia berkata bahawa Baginda صلى الله عليه و سلم bersabda:
من قال : السلام عليكم كتب الله تعالى له عشر حسنات فان قال السلام عليكم ورحمة الله تعالى كتب الله تعالى له عشرين حسنة فان السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته كتب الله تعالى له ثلاثين حسنة
"Siapa yang mengucapkan السلام عليكم maka akan dicatat baginya 10 kebaikan. Siapa yang mengucapkan السلام عليكم ورحمة الله تعالى maka akan dicatat baginya 20 kebaikan. Siapa yang mengucapkan السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته maka akan dicatat baginya 30 kebaikan." (HR Al-Baihaqi)
6) Kesimpulannya, boleh kita menambah lafaz "تعالى" selepas kalimah "Allah" ketika memberi mengucapkan salam.
__________________
Ref:
1. Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah
2. Mushonnaf Ibnu Abi Syaibah
3. Tafsir Ruhul Ma’ani
No comments:
Post a Comment