SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Monday, March 24, 2014

HUKUM SOLAT JENAZAH MANGSA MH370

Soal.
Assalamualaikum. Mohon maaf saya bertanya. Adakah kita boleh melakukan solat jenazah atau solat jenazah ghaib ke atas mangsa MH370 yang beragama Islam? Mohon ustaz jelaskan.

Jawab.

1. Sebagaimana yang kita sedia maklum, MH370 telah disahkan ‘berakhir’ di Lautan Hindi dan ia disokong dengan maklumat tambahan yang dibekalkan oleh IMMARSAT dan AAIB, namun bangkai pesawat masih belum ditemui dan mangsa nahas masih belum DISAHKAN sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

2. Solat Jenazah bagi jenazah yang masih belum ditemui tidak sah hukumnya kerana syarat diperuntukkan melakukan solat jenazah adalah orang tersebut sudah disahkan dan diyakini meninggal dunia, sedangkan mangsa nahas MH370 masih belum jelas keadaan mereka sama ada sudah meninggal dunia atau masih hidup lagi.

3. Imam Nawawi di dalam kitab Raudhah At-Tholibin menjelaskan bahawa, 

“Jika masih ragu (mengenai kematiannya) kerana orang tersebut tidak mempunyai penyakit dan kemungkinan (ihtimal) dia hanya diam seketika atau kelihatan tanda-tanda terkejut atau tanda yang lain, maka urusan penyelenggaraan jenazah harus dilewatkan (ditangguhkan) sehingga diyakini (kematiannya) dengan perubahan pada bau (mayat) atau tanda-tanda yang lain.”

4. Sayyid al-Bakri bin Muhammad Syatha al-Dimyathi di dalam kitab I’a kitab I‘anah al-Talibin mengatakan bahawa,

“Jika seorang yang hidup jatuh ke dalam lombong atau laut dan tidak dapat dikeluarkan dan dimandikan, maka tidaklah dilakukan solat jenazah itu kerana tidak ada syarat-syaratnya atas pendapat (qaul) muktamad.”

5. Selain itu, diperuntukkan solat jenazah apabila jenazah dimandikan. Sekiranya jenazah tersebut belum dimandikan, maka ia tidak boleh disolatkan. Hal ini dapat difahami melalui fatwa Sayyid Habib Abdul Rahman Al-Masyhur Al-Ba’Alawi dalam kitabnya Bughyah Al-Mustarsyidin bahawa,

“Tidak sah solat bagi orang yang sedang ditawan atau hilang atau perahunya tenggelam, walaupun hakim sudah menyatakan bahawa orang tersebut telah meninggal dunia, kecuali jika diyakini bahawa mayyit (jenazah) tersebut telah dimandikan.”

6. Kesimpulannya, tidak boleh melakukan solat Jenazah ke atas mangsa nahas MH370 kerana tidak diketahui dengan yakin adakah mereka sudah meninggal dunia. Disamping itu mayat yang hilang dan tidak dijumpai, tidak dapat disempurnakan urusan penyelenggaraan jenazah  sebagaimana yang diperuntukkan antaranya memandikan jenazah. 

Wallahu ‘A lam.

_______________________

Rujukan.
1. Roudhah At-Tholibin, 2/98
2. I’anah At-Tholibin, 2/131
3. Bughyah Al-Mustarsyidin, 197

No comments:

Post a Comment