SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Monday, April 27, 2015

Kenapa Azan Di Ulang Dua Kali, Iqamat Sekali?

Percaya atau tidak, banyak perkara dalam ibadat yang kita lakukan, ternyata kita sendiri tidak tahu hikmah atau tujuan perbuatan tersebut. Sebagai contoh laungan azan yang sering kita dengar bergema lima kali sehari di seluruh dunia Islam dan di atas muka bumi ini. 

Persoalannya, kenapa Azan yang dilaungkan oleh muazzin itu diulang-ulang lafaznya sebanyak dua kali. Kenapa tidak diucapkan sekali sebagaimana laungan Iqamat?

Untuk menjawab persoalan ini, mari kita ikuti perbincangan yang dikemukakan oleh salah seorang ulamak besar iaitu Imam As-Son'ani dalam karya terkenalnya Subul As-Salam, jilid 2, halaman 58.


Imam As-Son'ani menjelaskan bahawa para Ulamak menjelaskan hikmah diulang-ulang lafaz Azan kerana azan bertujuan untuk memberitahu orang yang belum hadir (agar didengar oleh orang yang berada di luar masjid) sebab itu ia diulang-ulang dan kerana itu juga disyariatkan agar mengangkatkan (meninggikan) suara.

Berbeza dengan Iqamat. Ianya tidak diulang-ulang kerana bertujuan untuk memberitahu orang yang sudah hadir (untuk mendirikan solat). Maka ianya tidak berhajat kepada diulang-ulang lafaz panggilan Iqamat seperti Azan. Dan kerana itu juga disyariatkan agar suara direndahkan ketika melaungkan Iqamat dan dilaungkan secara hadar (cepat). Adapun lafaz "Qad Qamatis Solah" diulang-ulang kerana ia merupakan tujuan Iqamat.

Nah, inilah kelebihannya apabila kita mengetahui rahsia dan hikmah disebalik ibadat yang kita lakukan sehari-hari. Disamping kita beramal dengan ilmu, dalam masa yang sama kita semakin faham dan mengerti tujuan syariat ini diperintahkan Allah. 

Bila Solat Seorang Lelaki Dan Wanita Batal?

Guru Mulia, Al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid Jabr Al-Hasani, salah seorang doktor pakar bedah yang murobbi, alim, zuhud dan wara', juga pakar dalam pelbagai bidang ilmu agama dan merupakan antara ulama Al-Azhar As-Syarif menjelaskan dalam pengajiannya berkenaan aurat di dalam solat. Kata beliau;

Aurat lelaki itu antara lutut hingga
pusat. Lutut dan pusat tidak termasuk aurat. Orang ramai masih keliru dan tersalah dalam memahami masalah ini. Fenomenanya, banyak lelaki yang solat memakai seluar, nanti ketika rukuk dan sujud bahagian belakangnya terbuka, padahal itu masih di bawah pusat. Ini boleh membatalkan solat.

Aurat perempuan dalam solat seluruh tubuh, kecuali muka dan tapak tangan. Tapak kaki termasuk dalam anggota aurat yang wajib ditutup. Kalau dalam solat, tapak kakinya terbuka, maka solatnya batal, sebab ia termasuk dalam kategori aurat.

Perempuan-perempuan Syam dan Yaman (kebanyakan) memakai stokin kaki, berbeza dengan Mesir. Jika tidak memakai stokin kaki, akan dikhawatiri ketika terbuka dalam solat nanti membatalkan solat. Ini menurut mazhab Malikiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah. Kalau menurut mazhab Hanafiah tidak batal, kerana diqiaskan dengan telapak tangan.

Ramai orang menganggap remeh tentang ilmu solat. Mereka beranggap bahawa apa yang mereka lakukan pada hari ini sudah memadai dan mencukupi. Walhal masih banyak perkara yang mereka tidak tahu dan perlu mereka pelajari demi memastikan ibadat solat mereka benar-benar sahih dan diterima di sisi Allah.


Lafaz Niat Qiyas Niat Puasa

Tulisan ini bukan bermaksud untuk membangkitkan sentimen video palsu Ustaz Don, tetapi tujuan penulisan ini adalah untuk menjawab apa yang ditimbulkan oleh pembuat video tentang lafaz niat yang diqiyaskan dengan puasa.

Untuk menjawab pertanyaan yang ditimbulkan dalam video tersebut kami bawakan rujukan daripada kitab Shahih Sifat Solat An-Nabi karangan Sayyid Hassan bin Ali Al-Saqqaf halaman 68-69.

Beliau menjelaskan bahawa melafazkan niat ketika (sebelum) takbiratul ihram adalah sunat, kerana ketika Nabi menyebutkan "إنما الأعمال بالنيات", Baginda Nabi tidak mengatakan hendaklah dijaharkan niat tersebut sebagaimana Baginda Nabi tidak mengatakan hendaklah disirrkan niat tersebut. Maka sesiapa yang berniat di dalam hati iaitu menghadirkan niat ketika takbiratul ihram diingatannya tanpa melafazkan niat tersebut, solatnya telahpun sah. Dan sesiapa yang menambahkannya dengan melafazkan niat menggunakan lidah, maka solatnya pun sah. Berbeza dengan sesetengah golongan yang mengatakan bahawa melafazkan niat itu adalah bid'ah mazmumah.

Kemudian penulis mengukuhkan pendapatnya melalui kaedah QIYAS dengan mendatangkan dalil ibadat-ibadat lain yang mengandungi lafaz niat antara ibadat haji dan umrah.

Berikut didatangkan jawaban kepada pertanyaan video tersebut:

Diantaranya: Bahwasannya pada suatu hari Nabi masuk kepada Sayyidatuna Aisyah, Baginda hendak makan dan bertanya, "Apakah engkau mempunyai sesuatu (makanan)?" Sayyidatuna Aisyah menjawab, "Tidak" kemudian Baginda berkata, "Kalau begitu, sesungguh aku akan berpuasa." (HR.Muslim: 2/809. No: 170)

قال الإمام النووي فى شرح صحيح مسلم: وفيه دليل لمذهب الجمهور على ان صوم النافلة يجوز بنية فى النهار قبل زوال الشمس. إه . قلت أي ان قوله صلى الله عليه وسلم فإني إذا صائم هو نية الصوم بنظر العلماء والله الموفق والهادي.  
Aku (Sayyid Hasan As-Saqqaf) berkata: Maksud perkataan Nabi , 
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Shahih Muslim 7/35: Di dalam hadis tersebut, terdapat dalil bagi mazhab Jumhur, bahawasannya puasa sunat itu boleh dengan niat di siang hari sebelum tergelincirnya matahari.

"فإني إذا صائم"

"Kalau begitu, sesungguh aku akan berpuasa." Itu merupakan niat puasa menurut pandangan para Ulamak.






Rambut Nabi Tidak Mempunyai Bayang?

Benarkah Rambut Nabi Tidak Mempunyai Bayang?

Benarkah Kisah Binatang Dob Yang Mendekati Nabi?

Saya sempat bertalaqqi dan mendengar syarah daripada dua orang tokoh Ulamak berkenaan rambut Nabi
yang mulia. Pertama, Syeikh Muhammad Syeikh Nuruddin Marbu ALBanjari ALMakki - Restu from Syeikh dan Sayyidi Syeikh Usama Elsayed Alazhary, kedua-duanya turut menceritakan bahawa rambut Nabi yang mulia masih ada disimpan dan ianya tumbuh memanjang serta disimpan dibeberapa buah negara Islam. 

Antara kritikan 'jahat' ke atas Ustaz Don ialah berkenaan kisah rambut Nabi
yang dibeli oleh kerajaan Brunei kemudian kerajaan Brunei menjemput Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din (Official) untuk memastikan kebenaran rambut itu adalah rambut Nabi . Bukti yang diceritakan oleh Ustaz Don bahawa rambut itu disahkan rambut Nabi kerana tidak mempunyai bayang-bayang.

Adakah benar rambut Nabi
atau jasad Baginda apabila di sinari cahaya tidak mempunyai bayang-bayang?

Benar atau tidak, saya tidak berani mengatakan ya atau mengatakan tidak. Cukuplah hanya Allah
سبحانه و تعالى yang mengetahui hakikat itu. 

Namun menurut saya, Tuan Guru Kita, Dato' Dr. Haron Din dan Ustaz Don pasti tidaklah mengatakan sesuatu tanpa ilmu. Kita kenal Tuan Guru kita, kita tahu tahap keilmuannya, kita tahu kepakarannya dan beliau dari dulu hingga sekarang tetap terus istiqamah mencurahkan ilmu buat kita. 

Untuk lebih menjadi bukti betul atau tidak rambut atau jasad Nabi
yang mulia tidak mempunyai bayang-bayang, marilah kita teliti satu syair yang dinukilkan oleh seorang Ulamak Jawi yang harum namanya di bumi Hijaz sehingga digelar "Sayyid Ulamak Hijaz" serta mendapat gelaran "Imam Nawawi Tsani (Kedua)". Beliau ialah Abu Abdul Mu’ti Muhammad bin Umar bin Arbi bin Ali Al-Tanara Al-Jawi Al-Bantani atau lebih dikenal dengan nama Syeikh Muhammad Nawawi Al-Jawi Al-Bantani. 

Syeikh Nawawi Al-Banteni di dalam salah satu karyanya berjudul Maraqi Al-'Ubudiyyah menaqalkan syair Ulamak:



لَمْ يَحْتَلِمْ قَطُّ طٰـهَ مُطْـلَقًا أَبَدًا
وَمَا تَثـَائَبَ أَصْـلاً فِىْ مَدَى الزَّمَنِ
مِنْهُ الدَّوَابُ فَـلَمْ تَهْرَبْ وَمَـا وَقَعَتْ
ذُبَابَةٌ أَبَـدًا فِى جِسْمِـهِ الْحَسَنِ
بِخَلْـفِهِ كَأَمَـامٍ رُؤْيَةٌ ثَـــبَتَتْ
وَلَا يُرٰى أَثْـرُ بَوْلٍ مِـنْهُ فِيْ عَلَنِ
وَقَلْبُهُ لَمْ يَنَـمْ وَالْعَيْنُ قَدْ نَعَسَتْ
وَلَايَرٰى ظِـلَّهُ فِى الشَّمْسِ ذُوْ فَـطِنِ
كَـتْفَاهُ قَدْ عَلَـتَا قَوْمًا إِذَا جَلَسُوْا
عِنْـدَ الْوِلَادَةِ صِـفْ يَا ذَا بِمُخْتَتَنِ
هَذِه الْخَصَائِصَ فَاحْفَظْهَا تَكُنْ أٰمِنًا
مِنْ شَرِّ نَـارٍ وَسُرَّاقٍ وَمِـنْ مِحَنِ



Nabi tidak pernah bermimpi (-ihtilam- yang mengeluarkan air mani sama ada sebelum menjadi Nabi atau selepas dilantik).
Baginda
tidak pernah menguap sepanjang masa. 

Binatang-binatang datang mendekatinya (jinak) dan tidak seekorpun yang lari daripadanya (liar).
Sedangkan lalat tidak pernah hinggap ditubuhnya yang indah dan mulia.

Baginda
boleh mengetahui sesuatu yang ada dari arah belakangnya, sebagaimana Baginda melihat sesuatu yang ada di hadapannya. Dan bekas kencing Baginda tidak pernah kelihatan dipermukaan bumi.

Hati Baginda
tidak pernah tidur, walaupun mata Baginda dalam keadaan terpejam. Bayang-bayang Baginda tidak kelihatan oleh orang yang berakal ketika disinari matahari.

Ketika duduk, kedua-dua pundak Baginda
sentiasa kelihatan lebih tinggi berbanding pundak orang lain yang duduk bersama Baginda . Baginda sudah berada dalam keadaan berkhitan sewaktu dilahirkan.

Ini merupakan KHUSUSIYYAH (keistimewaan) Baginda
, sayugia hendaklah engkau hafalkan bait-bait tersebut. Nescaya engkau akan mendapat perlindungan daripada bahaya kebakaran, kecurian dan terpelihara daripada musibah.


Sila rujuk kitab Maraqi Al-'Ubudiyyah halaman 2.





Q&A: IMAM LEBIH RAKAAT

Q&A: IMAM LEBIH RAKAAT
Soal.
Assalamualaikum wbt...Bleh ana nk tnya psal bab imam n mkmum dlm solat? Si imam ni,dia terbangun lpas rkaat ke 4,lupe baca thyat sbb sangka dia msih rkaat ke 3..tapi,bila dngar mkmum sbut subhanallah,dia tros dduk smula,bca thyat n tmbh sjud sahwi..bleh ke mcm tu syeikh? Setahu ana,batal klu imam tu dh bngun secara smpurna n tiba2 dduk smula bca thyat.. Pastu, mkmum plak,klu ikut imam tu,bngun n dduk smula,mcm mana keadaan solat diorg? Mcm mana plak dgn mkmum yg dia X naik dgn imam,tros dgn baca thyat,tapi bila imam tu dduk smula n bca thyat,bg salam,,si mkmum td jgak bg salam lpas imam tu baca salam..

Jawab.
Waalaikumussalam wa rahmatullahi wa barakatuh.
1. Apa yang dilakukan oleh imam tersebut adalah betul, iaitu duduk semula untuk tahiyyat akhir dan sujud sahwi sebelum mengucapkan salam.
2. Dan tindakan makmum yang menegur imam itu juga betul agar imam sedar bahawa beliau telah terlebih rakaat dan wajib kembali duduk.
3. Tidak batal solat imam walaupun beliau sudah berdiri tegak. Sebab beliau wajib turun semula untuk menyempurnakan rukun solat iaitu duduk tahiyyat akhir. Sedangkan perbuatannya berdiri itu adalah satu kesalahan, maka dia wajib memperbetulkan kesalahannya apabila dia sedar dengan sendiri atau ditegur oleh makmum.
4. Makmum kalau ikut imam dalam keadaan dia tidak tahu imam terlebih rakaat ke 5, maka ia ditanggung oleh imam. Solat mereka sah. Itu jika mereka tidak tahu.
5. Jika makmum tahu imam terlebih rakaat, maka haram baginya ikut berdiri bersama imam. Dia perlu duduk dan mengingatkan imam sambil menunggu imam duduk, kalau imam tidak duduk maka dia perlu niat mufaraqah.
6. Jika imam duduk semula, makmum boleh teruskan mengikut imam sampai selesai salam.
Waallahu a'lam
Khadam Ilmu & Ulamak
Ustaz Zaid Abdul

Rujukan.
1. Busyra Al-Karim, 1/300
2. Bughyah Al-Mustarsyidin, 116
3. Qaul At-Tamm fi Ahkam Al-Ma'mum wa Al-Imam

Jom belajar "Fiqh Sifat Solat Nabi ﷺ" secara in-house atau public programme di sekolah, universiti, syarikat, jabatan, masjid atau di rumah, sila emelkan permohonan kepada dhiyaconsultancy@gmail.com atau hubungi Ustaz Zaid Abdul (010-2707903).

Kenapa Ramai Wanita Yang Tidak Sah Solatnya?

Di antara perkara yang menjadikan sahnya solat seseorang itu adalah dengan menutup aurat. Ini disebut sebagai syarat sah solat. Bagi wanita, batas aurat mereka ialah seluruh badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan (belakang dan perut tangan).

Dalilnya adalah sabda Rasulullah ﷺ:
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

"Allah tidak menerima solat wanita yang sudah haid tanpa memakai khimar." (HR Abu Dawud, Ibn Majah, Ibn Hibban & Ahmad)

Apakah batas wajah?
والوجه ما بين منابت شعر الرأس إلى الذقن ومنتهى اللحيين طولا ومن الاذن إلى الاذن عرضا
 “Wajah ialah apa yang ada di antara tempat tumbuh rambut (anak rambut) kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang (tulang rahang) mengikut panjangnya, manakala lebarnya pula dari telinga hingga ke telinga yang satu lagi (anak telinga)”

Dapat difahami daripada ta'rif wajah di atas, bahawa dagu termasuk batas wajah yang boleh didedahkan ketika solat. Manakala bawah dagu pula, ia tidak termasuk batas wajah, maka ia termasuk aurat yang wajib ditutup ketika solat.

Apabila bahagian bawah dagu terbuka atau terdedah ketika solat maka batallah solatnya kecuali apabila ditutup dengan segera. Tidak kira sama ada terdedah itu kecil atau besar, banyak atau sikit iainya tetap memudharatkan solat.

Justeru disarankan agar apabila seseorang wanita menutup aurat, dilebihkan sehingga ke dagu atau lebih agar lebih sempurna. 


Batalkah Solat Walaupun Terdedah Sedikit?

1. Mazhab Syafi'e: terbuka aurat walaupun sedikit tetap memberi kesan kepada sah atau batalnya solat.

2. Mazhab Hanafi:  terbuka aurat tidak melebihi satu perempat (1/4) bahagian tubuh. Jika lebih batal.

3. Mazhab Hanbali: terbuka aurat jika hanya sedikit tidak membatalkan solat.

4. Mazhab Maliki: terbuka aurat besar (muhgallazah) membatalkan solat. 

Jika Seseorang Itu Tidak Tahu Adakah Dimaafkan?

Syeikh Ismail bin Zein dalam fatwanya mengenai masalah ini menyatakan bahawa apabila perkara ini dilakukan oleh wanita-wanita awam (orang awam) yang tidak tahu bertaqlid (mengikuti) mana-mana mazhab, maka solatnya dihukum SAH. Hal ini kerana orang awam seperti ini tidak memiliki madzhab (buta mazhab).

Kesimpulan.

Wanita yang terdedah bawah dagunya, dihukumkan batal solatnya sebagaimana yang dipegang dalam mazhab Syafi'e. Pun begitu, penulis bersetuju dan berpegang kepada fatwa Syeikh Ismail Zein bahawa bagi orang awam yang tidak mengetahui hal ehwal mazhab atau buta mazhab, maka solat mereka masih dihukumkan sah.

Namun perlu diingatkan, mereka perlu segera belajar cara solat yang betul termasuklah berkaitan tatacara menutup aurat yang betul mengikuti Islam serta mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadat atau fardhu 'ain.

Wallahu A'lam. 




Rujukan.
1. Al-Majmu', 1/371.
2. Al-Majmu', 3/166-167.
3. Qurrotul A'in Bi Fatawi Isma'il Bin Az-Zein, 52-53.

Saturday, April 18, 2015

Q&A: PUASA REJAB

Q&A: PUASA REJAB
Soal.
🌝 Rejab jatuh pada 20 April.Barang siapa puasa 1 hari maka seperti laksana puasa 1 tahun
🌝Barang siapa Puasa 7 hari maka ditutup pintu2 Neraka Jahanam
🌝Barang siapa Puasa 8 hari maka dibuka pintu 8 Syurga
🌝Barang siapa Puasa 10 hari akan dikabulkn segala permintaan nya.
🌝Barang siapa mengingatkn kpd org lain tentang ini,Seakan ibadah 80 tahun.''Subhanallah''
🌝🌚🌑🌒🌓🌔🌕🌖🌗🌘🌚🌝 wallahualam . 
salam ustad, boleh jelaskan kesahihan msj ni x?
Jawab.
1.  Apabila dirujuk kepada hadis-hadis Nabi, tidak terdapat sebarang larangan dan galakkan khusus berhubung dengan puasa di bulan Rejab. Pun begitu, terdapat riwayat hadis yang menerangkan bahawa Rasulullah berpuasa pada bulan Rejab sebagaimana yang diriwayatkan oleh Utsman bin Hakim Al-Anshari, beliau berkata:
“Aku bertanya kepada Sa’id ibn Jubair mengenai puasa Rejab, ketika itu kami sedang berada di bulan Rejab, kemudian beliau berkata: “Aku mendengar Ibnu ‘Abbas berkata: “Rasulullah pernah berpuasa (Rejab) berterusan sehingga kami menyangka bahawa baginda tidak akan berbuka sama sekali dan baginda juga pernah tidak berpuasa berterusan sehingga kami menyangka bahawa baginda tidak berpuasa sama sekali.” (HR Muslim, no. 1156)
2.  Berdasarkan hadis ini, Imam Nawawi menyatakan bahawa hukum berpuasa pada bulan Rejab sama dengan bulan-bulan lain. Tidak ada larangan dan juga anjuran berpuasa pada bulan ini. Malah tidak terdapat dalil yang secara tegas menjelaskan tentang larangan dan juga anjuran berpuasa di bulan Rejab secara khusus. Namun, hukum asal puasa pada bulan Rejab adalah sunat, sebagaimana terdapat dalam Sunan Abu Dawud menyebut bahawa Rasulullah telah menganjurkan berpuasa pada bulan-bulan Haram (bulan yang dimuliakan), maka bulan Rejab yang merupakan salah satu dari bulan-bulan Haram dan berpuasa di bulannya turut digalakkan.
3.   Imam Al-Baihaqi dalam kitab Syu’ab Al-Iman, meriwayatkan satu hadis dari Abu Qalabah yang mengatakan bahawa:
“Di Syurga terdapat sebuah istana yang dikhaskan kepada orang-orang yang berpuasa di bulan Rejab.” (HR Al-Baihaqi, no. 3521)
4.   Imam Suyuthi dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim ketika menuqilkan riwayat di atas menyatakan bahawa riwayat ini adalah yang paling sahih yang menjelaskan tentang puasa Rejab. Walaupun hadis ini merupakan hadis mauquf, namun Abu Qalabah merupakan salah seorang Tabi’in dan orang seperti beliau tidak akan berani mengucapkan sedemikian itu melainkan pernah mendengarnya dari orang yang pernah mendengar orang yang diturunkan kepadanya wahyu (iaitu Rasulullah).
5.   Berdasarkan penjelasan yang dikemukakan di atas, dapat disimpulkan bahawa hukum berpuasa pada bulan Rejab adalah sunat dan merupakan amalan Rasulullah kerana bulan Rejab termasuk di antara bulan-bulan yang disunatkan berpuasa padanya disamping terdapat riwayat yang menjelaskan keutamaan dan kelebihan berpuasa di bulan ini secara khusus.
6. Adapun berkenaan dengan kelebihan-kelebihan yang ditanyakan di atas, jika ia disandarkan kepada Baginda Nabi, maka setakat ilmu yang kami miliki, kami hanya mampu mengatakan bahawa kami belum menemukan riwayat berkenaan perkara tersebut.
Wallahu a’lam.
Ustaz Zaid Abdul