SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Thursday, November 13, 2014

MENCIUM TANGAN ULAMAK - HABIB ZEIN BIN SUMAITH

Soal.
Apa hukum mencium tangan ahli ilmu (para Ulamak) dan orang yang mulia?

Jawab.

Digalakkan (sunat) mencium tangan mereka. Para Sahabat رضي الله عنهم pernah mencium tangan Rasulullah صلى الله عليه وسلم . Ibn 'Abbas رضي الله عنهما pernah mencium tangan Zaid bin Tsabit Al-Anshari رضي الله عنه dan beliau mengatakan: Beginilah kami diperintahkan untuk dilakukan terhadap Ulamak kami. Kemudian Zaid juga mencium tangan Ibn 'Abbas رضي الله عنهم lalu berkata: Beginilah kami diperintahkan agar dilakukan terhadap Ahli Bait Nabi صلى الله عليه وسلم kami.

Juga diriwayatkan bahawa Amirul Mukminin Sayyidina 'Ali Ibn Abi Thalib رضي الله عنه pernah mencium tangan 'Abbas رضي الله عنه (Bapa Saudara Rasulullah) dan kakinya.

Telah berkata Imam An-Nawawi رحمه الله تعالى:
'..mencium tangan seseorang kerana kezuhudannya, kesolehannya, keilmuannya, kemuliannya, menjaga kehormatan dirinya atau semisal yang demikian itu dari hal-hal berkaitan agama, maka hukumnya tidak makruh bahkan disunatkan (dianjurkan). Tetapi seandainya (mencium tangan) kerana kekayaannya, kekuasannya atau kemegahannya di sisi ahli dunia, maka hukumnya adalah sangat dimakruhkan (dibenci)..'

Sumber asal:

نقلاً من دروس وكتب الحبيب حفظه الله :
ما حكم تقبيل أيدي أهل العلم والفضل ؟
ج :
يُسن تقبيل أيديهم ، وقد قبل الصحابة يدي رسول الله صلى الله عليه وسلم ، وقبَّل ابنعباس يد زيد بن ثابت الأنصاري وقال : هكذا أُمِرنا أن نفعل مع علمائنا ، وقبَّل زيد يــد ابن عباس وقال : هكذا أُمرنا أن نفعل مع أهل بيت نبينا صلى الله عليه وسلم
وورد أيضاً أن أمير المؤمنين علي ابن أبي طالب رضي الله عنه كان يُقبل يــد العباس رضي الله عنه ورجليه
قال الإمام النووي رحمه الله تعالى :
تقبيل يــد الرجل لزهده وصلاحه أو علمه أو شرفه أو صيانته أو نحو ذلك من الأمور الدينية لا يُكره بل يُستحب ، فإن كان لِغناه أو شوكته أو جاهه عند أهل الدنيا فمكروه شديد الكراهة


Q&A: TERLUPA TAHIYYAT AWAL

Soal.
Assalamualaikum ust, saya nk tny ya, kita solat...kemudian kita terlupa tahiyat awal....kita terus bangun berdiri...jadi yg kita berdiri itu, sambung utk rakaat ketiga ya?

Jawab.
Waalaikumussalam.
1. Tahiyyat awal merupakan salah satu sunat ab'adh di dalam solat.
2. Sunat ab'adh bermaksud, sunat yang apabila ditinggalkan tidak membatalkan solat dan tetapi disunatkan untuk melakukan sujud sahwi sebelum mengucapkan salam di akhir solat.
3. Apabila orang yang solat meninggalkan tahiyyat awal maka sunat baginya untuk melakukan sujud sahwi kerana tsabit daripada hadis bahawa Rasulullah shallallahu 'alayhi wa sallam melakukan sujud sahwi ketika terlupa tahiyyat awal. (Lihat: Asna' Al-Mathalib, 1/140)
4. Merujuk kepada soalan di atas, apabila seseorang terlupa tahiyyat awal dan sudah sempurna berdiri, maka dia sudah berada pada rakaat yang ketiga. Justeru, dia hendaklah meneruskan solat dengan menyelesaikan baki rakaat yang tinggal. Kemudian sebelum memberi salam, dia disunatkan melakukan sujud sebanyak dua kali, ia dinamakan sujud sahwi sebagaimana yang dijelaskan di atas.
Wallahu 'alam.
Ustaz Zaid Abdul

Sunday, July 13, 2014

ADAKAH MAKMUM WAJIB MEMBACA AL-FATIHAH


Terdapat khilaf dikalangan 4 Mazhab berkenaan hukum makmum membaca Al-Fatihah di belakang Imam.

Al-Imam Al-'Allamah Al-Hafidz Al-Muhaddits Al-Ushuli Al-Muhaqqiq Al-Mudaqqiq Abul Fadhl Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Siddiq Al-Ghumari رحمه الله ada mengarang sebuah makalah berjudul 'Al-Adillat Al-Rajihah 'Ala Fardhiyati Qira'at Al-Fatihah'.

Makalah ini berkaitan tentang perbahasan hukum membaca Al-Fatihah di belakang Imam menurut empat mazhab. Sungguh ianya sangat bermanfaat buat para penuntut ilmu. Kesimpulan perbezaan hukum membaca Al-Fatihah di belakang Imam seperti berikut;

1. Mazhab Hanafi - Makmum tidak diharuskan membaca Al-Fatihah atau ayat-ayat Al-Quran yang lain di belakang Imam, samada pada solat Jahar atau Sirr.

2. Mazhab Malik - Makmum tidak diharuskan membaca Al-Fatihah pada solat Jahar tetapi dibaca pada solat Sirr. Demikian juga pendapat Imam Ahmad.

3. Mazhab Syafie - Diwajibkan makmum membaca Al-Fatihah di belakang Imam samada pada solat Jahar atau Sirr. Demikian juga pendapat Imam Auza'ie, Laith, Ibn Hazm.

[ref: Al-Adillat Al-Rajihah 'Ala Fardhiyati Qira'at Al-Fatihah, 3-4]

JARAK DIHARUSKAN SOLAT JAMAK & QASAR


Jarak yang menjadi syarat diharuskan menjamak & mengqasarkan solat menurut panduan fiqh ialah 2 marhalah. Berapa jarak 2 marhalah tersebut mengikuti hitungan KM? 

Mari kita merujuk sebuah kitab fiqh ma
zhab Syafi'e versi moden berjudul At-Taqrirat Asy-Syadidah (315), karya Syeikh Hasan bin Ahmad Al-Kaff.

كون سفره مرحلتين, أي : طويلاو وهو ما يساوي 16 فرسخا, والفرسخ : 3 أميال, والميل : 4000 خطوة, فالمرحلتان : 82 كيلو متر تقريبا

Daripada kenyataan di atas dapat disimpulkan bahawa 2 marhalah bersamaan lebih kurang 82 KM.

Wallahu 'a'lam.

Saturday, July 12, 2014

Q&A: DOA BAHASA MELAYU DALAM SOLAT

Soal.


Salam Ustad..Boleh kah saya berdoa dalam bahasa melayu ketika sujud terakhir solat? kerana ada hajat2x tertentu yang saya ingin kan.. atau perlu saya berdoa dalam hati saja? Harap dapat penjelasan ustad. TKasih.

Jawab.

Wa'alaikum salam.



1. Diantara perkara yang disunatkan ketika sujud selain mengucapkan zikir & tasbih ialah berdoa kepada Allah Ta'ala. Hal ini sesuai menurut anjuran agama berdasarkan hadis Nabi shallaAllahu 'alayhi wa sallam.

2. Seseorang yang tidak mampu berdoa di dalam bahasa 'Arab ketika solat, maka dia boleh menterjemahkan doa yang hendak dibaca tersebut ke bahasa Melayu atau bahasa lain, tetapi dengan syarat doa yang dibaca dalam bahasa Melayu itu adalah diterjemahkan daripada doa yang ma'thur/ warid daripada Nabi shallaAllahu 'alayhi wa sallam.

3. Jika dia berdoa dalam bahasa Melayu dengan doa yang tidak ma'thur atau doa direka sendiri olehnya, maka perbuatan tersebut hukumnya haram dan membatalkan solat. 

4. Kami mencadangkan agar kita berusaha untuk menghafal doa-doa solat di dalam bahasa 'Arab. Jika kita tidak mampu, maka berusahalah pula untuk menghafal terjemahan doa-doa tersebut.

5. Jika dia berdoa di dalam hati, maka ia tidak menjejaskan solatnya.

Tanbih.
Perlu diingatkan bahawa, sujud lama pada rakaat terakhir semata-mata untuk berdoa merupakan perbuatan yang menyalahi sunnah. Apatah lagi jika ia dilakukan oleh Imam yang memimpin solat berjemaah. Ini kerana tempat berdoa ketika sujud tidak hanya dikhususkan pada rakaat terakhir solat. Setiap orang yang solat boleh berdoa ketika sujud, sama ada pada rakaat pertama, kedua, ketiga atau keempat tanpa mengkhususkan rakaat terakhir sebagai tempat berdoa. Intaha!


_________________
Rujukan.

Nihayah Al-Muhtaj, 1/513

TAHAJJUD TETAPI BELUM TIDUR?



Solat Tahajjud menurut pengertian fiqh adalah solat sunat malam yang dilakukan selepas tidur[1] walaupun tidurnya hanya sebentar atau tidurnya sebelum menunaikan solat Isyak.[2]

Justeru, jika seseorang belum tidur pada malam hari, maka solat sunat yang dilakukannya tidak dinamakan solat Tahajjud. Diriwayatkan dalam satu hadis;[3]

عَنِ الأَسْوَدِ، قَالَ: سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، كَيْفَ كَانَتْ صَلاَةُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاللَّيْلِ؟ قَالَتْ: «كَانَ يَنَامُ أَوَّلَهُ وَيَقُومُ آخِرَهُ، فَيُصَلِّي، ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى فِرَاشِهِ، فَإِذَا أَذَّنَ المُؤَذِّنُ وَثَبَ، فَإِنْ كَانَ بِهِ حَاجَةٌ، اغْتَسَلَ وَإِلَّا تَوَضَّأَ وَخَرَجَ 
"Dari Al-Aswad, ia berkata: "Aku bertanya kepada Aisyah radhiyaAllahu 'anha, "Bagaimana solat Rasulullah ﷺ pada waktu malam?". Beliau menjawab: "Nabi ﷺ biasanya akan tidur pada awal malam, lalu Baginda ﷺ akan bangun pada akhir malam, kemudian Baginda ﷺ melaksanakan solat, lalu Baginda ﷺ kembali lagi ke tempat tidurnya. Jika terdengar suara muazzin, barulah Baginda ﷺ bangun kembali. Jika berhajat, Baginda ﷺ akan mandi, dan jika tidak, Baginda ﷺ terus berwudhu' lalu segera keluar (menuju ke masjid)." (HR Bukhari, no.1146)


_________________
Rujukan.

1. Nihayah Al-Muhtaj, 2/131
2. Hasyiyah Al-Bujairimi, 1/286
3. Shahih Al-Bukhari, 2/53

Sunday, July 6, 2014

VLOG: Tahajjud Cinta


SIRI PENGAJIAN KITAB RIYADHUS SALIHIN

Kitab Dalil Al-Falihin Syarah Riyadh As-Salihin, Bab 11, Hadis 102

Kuliah Maghrib Di Surau At-Taqwa, Seksyen 7, Shah Alam


Bah 1: http://www.youtube.com/watch?v=KES2PgdJsHY
Bah 2: http://www.youtube.com/watch?v=P1tbz6pt31M
Bah 3: http://www.youtube.com/watch?v=mAfQh11BWCg
Bah 4: http://www.youtube.com/watch?v=LzUa5TVAOlo
Bah 5: http://www.youtube.com/watch?v=SdVKAj4GZuY

VLOG: Kisah Rasulullah & Abu Bakar


SIRI PENGAJIAN KITAB RIYADHUS SALIHIN

Kitab Dalil Al-Falihin Syarah Riyadh As-Salihin Bab 31 Hadis no. 252

Kuliah Maghrib Di Surau Al-Ittihadiyyah, Seksyen 9, Shah Alam

Bah 1: http://www.youtube.com/watch?v=REBsCJqmOFM
Bah 2: http://www.youtube.com/watch?v=31LUm2r7u_o
Bah 3: http://www.youtube.com/watch?v=uFDX_-4_f2M
Bah 4: http://www.youtube.com/watch?v=k7COGDC5T38&feature=youtu.be
Bah 5: http://www.youtube.com/watch?v=qWVeYiDGjuE

ISU WANITA HAMIL & MENYUSU

Perbuatan bermudah-mudah dalam mengeluarkan sesuatu hukum-hakam agama berdasarkan dalil-dalil mengikut kefahaman akal fikiran sendiri oleh sebahagian individu atau ustaz pada masa kini amatlah membimbangkan. Jika perkara seperti ini berterusan dari semasa ke semasa dan tidak dibendung dari sekarang, maka sudah pastilah kesucian dan kemurnian syariat Islam itu akan tercemar.
Para Ulamak Mazhab sebenar tidak akan mengeluarkan sesuatu hukum agama mengikut hawa nafsu mereka semata-mata, kerana mereka adalah golongan yang paling takut kepada kepada Allah Ta'ala dan sangat berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu hukum.
Firman Allah Taala bermaksud:
"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah Ulama." (Surah Faathir: Ayat 28).
Sudah jelas lagi maklum, sepakat Ulamak Mazhab bahawa WANITA HAMIL & MENYUSU diharuskan berbuka puasa jika khuatir berlaku mudharat atau sakit terhadap dirinya atau kandungannya atau anakknya.
Namun mereka (para Ulamak) berlaku khilaf dalam menentukan hukuman yang dikenakan ke atas WANITA HAMIL & MENYUSU. Menurut mazhab Syafi'e, sebagaimana yang dijelaskan di dalam kitab Fiqh Al-Minhaji (2/94):
الحامل والمرضع
إذا أفطرت الحامل والمرضع، فهي إما أن تفطر خوفا على نفسها، أو خوفا على طفلها
فإن أفطرت خوفا من حصول ضرر بالصوم على نفسها وجب عليها القضاء فقط قبل حلول شهر رمضان آخر. روى الترمذي (715) وأبو داود (2408) وغيرهما عن أنس الكعبي - رضي الله عنه - عن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - قال: إن الله تعالى وضع عن المسافر الصوم وشطر الصلاة، وعن الحامل أو المرضع الصوم أي خفف بتقصير الصلاة، ورخص في الفطر مع القضاء
وإن أفطرت خوفا على طفلها، وذلك بأن تخاف الحامل من إسقاطه إن صامت، أو تخاف المرضع أن يقل لبنها فيهلك الولد إن صامت، وجب عليها والحالة هذه القضاء والتصدق بمد من غالب قوت البلد عن كل يوم أفطرته. ومثل هذه الصورة أن يفطر الصائم لإنقاذ مشرف على الهلاك، فيجب عليه مع القضاء التصدق بمد طعام. روى أبو داود (2318) عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (وعلى الذين يطيقونه فدية طعام مسكين) البقرة 184. قال كانت رخصة للشيخ الكبير والمرأة الكبيرة، وهما يطيقان الصوم أن يفطرا ويطعما كل يوم مسكينا، والحبلى والمرضع إذا خافتا ـ يعني على أولادهما ـ أفطرتا وأطعمتا
Mengandung & Menyusu
Wanita yang mengandung & menyusu tersebut membatalkan puasanya kerana khuatir keadaan dirinya sendiri atau bayinya, jika ia berbuka kerana khuatir akan kesihatan dirinya sendiri, maka dia wajib mengqada' puasa yang ditinggalkan tersebut sebelum tiba bulan Ramadhan yang berikutnya. Dalilnya adalah riwayat daripada Anas Al-Ka'bi radhiyaAllahu 'ahu, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى وَضَعَ عَنِ المُسَافِرِ الصَّوْمَ، وَشَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الحَامِلِ أَوِ المُرْضِعِ الصَّوْمَ أَوِ الصِّيَامَ
“Sesungguhnya Allah Ta'ala tidak mewajibkan puasa ke atas musafir dan memberi keringanan mengqasarkan solat untuknya, juga memberi keringanan kepada wanita mengandung dan menyusu untuk tidak berpuasa" (HR Turmuzi, no.715 : HR Abu Daud, no.2408 dan selain keduanya)
Jika wanita tersebut membatalkan puasanya kerana bimbang (khuatir) keadaan anaknya, demikian juga bimbang akan kesihatan kandungannya, iaitu bimbang berlakunya keguguran bagi wanita yang mengandung atau susu berkurangan bagi ibu yang menyusui bayinya kerana dia sedang berpuasa, maka wanita tersebut diwajibkan untuk mengqada’ puasa yang ia tinggalkan dan membayar fidyah iaitu secupak makanan asasi penduduk negerinya sebanyak jumlah hari yang dia tidak berpuasa. Demikian juga bagi orang yang berbuka kerana menyelamatkan orang yang dalam keadaan bahaya, dia wajib qada' dan memberi sedekah tersebut (fidyah). Dalilnya adalah riwayat daripada Ibn 'Abbas radhiyaAllahu 'ahu;
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ: {وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ}، قَالَ: «كَانَتْ رُخْصَةً لِلشَّيْخِ الْكَبِيرِ، وَالْمَرْأَةِ الْكَبِيرَةِ، وَهُمَا يُطِيقَانِ الصِّيَامَ أَنْ يُفْطِرَا، وَيُطْعِمَا مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ سْكِينًا، وَالْحُبْلَى وَالْمُرْضِعُ إِذَا خَافَتَا»، قَالَ أَبُو دَاوُدَ: يَعْنِي عَلَى أَوْلَادِهِمَا أَفْطَرَتَا وَأَطْعَمَتَا
"Daripada Ibn 'Abbas radhiyaAllahu 'ahu katanya, firman Allah Ta'ala: "Dan bagi orang yang tidak mampu berpuasa (kerana tua dan selainnya), wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin." (Surah Al-Baqarah: 184). Ibn 'Abbas berkata; Ini merupakan keringanan (rukhsah) yang ditujukan kepada lelaki dan wanita tua dan tidak mampu berpuasa, mereka hendaklah memberi makan seorang miskin setiap hari satu hari satu orang miskin dan keringanan bagi wanita yang mengandung dan menyusu apabila bimbang atua merasa takut. Abu Daud berkata: Iaitu bimbang kepada anak mereka berdua, maka mereka harus berbuka dan wajib memberi makan (fidyah).” (HR Abu Daud, no.2318)
Wallahu 'a'lam.

Thursday, July 3, 2014

Q&A: SAFF SOLAT


Soal.

Assalammualaikum WBT Ustaz, Maaf mengganggu. Ada pertanyaan sedikit tentang sah solat dan saf. Pada pengetahuan saya, jika saf kita salah (cth: saf tak rapat, jemaah tidak memenuhi ruang saf dgn betul), ia menjadi tidak sah solat. Betulkah? Sekiranya betul, perlu ke kita meninggalkan tempat tersebut dan solat bsendirian?

Jawab.

Waalaikumsalam wa rahmatullahi wa barakatuh

1. Sebelum menjawab persoalan di atas, sayugia kami ingin menjelaskan bahawa saff solat bukanlah termasuk syarat sah atau rukun solat. Justeru, ia tidak memberi kesan kepada sah atau batalnya solat seseorang.

2. Jika seandainya ia merupakan satu rukun atau syarat sah solat, sudah tentu orang yang solat bersendirian, tidak sah solatnya kerana tidak mempunyai saff. Ini penting untuk difahami.

3. Berkaitan hukum meluruskan saff atau barisan dalam solat, terdapat khilaf dikalangan Ulamak.

Pertama: Sunat.
Jumhur Ulamak berpendapat bahawa meluruskan saff @ barisan ketika mengerjakan solat berjema'ah adalah SUNAT hukumnya. Ini berdasarkan beberapa hadis antaranya sabda Nabi ﷺ:

سَوُّوا صُفُوفَكُمْ، فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصُّفُوفِ مِنْ إِقَامَةِ الصَّلاَةِ

"Luruskan saff-saff kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saff @ barisan adalah sebahagian daripada mendirikan solat." (HR Bukhari No.723)

Kedua: Wajib.
Sebahagian Ulamak seperti Syekh Ibnu Hajar Al-Asqalani dan beberapa Ulama' Hadis yang lain, menyatakan bahawa meluruskan saff ketika solat berjema'ah hukumnya WAJIB berdasarkan sabda Rasulullah ﷺ:

لَتُسَوُّنَّ صُفُوفَكُمْ، أَوْ لَيُخَالِفَنَّ اللَّهُ بَيْنَ وُجُوهِكُمْ

"Luruskanlah saff-saff kalian atau Allah akan memalingkan wajah-wajah kalian." (HR Bukhari, No.717 & Muslim, No.436)

Hadis di atas hadis mengandungi suatu bentuk ancaman yang ditujukan kepada suatu perbuatan yang menyalahi perintah, menunjukkan bahawa perkara yang diperintahkan adalah perkara wajib. Ekoran daripada itu disimpulkan bahawa hukum meluruskan saff adalah wajib dan melanggar peraturan tersebut adalah haram hukumnya.

Pun begitu Syeikh Ibnu Hajar menjelaskan lagi bahawa walaupun meluruskan saff itu wajib, solat jema'ah tetap sah sekalipun saff tidak lurus. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan apa yang dilakukan oleh Sayyiduna Anas, walaupun beliau menegah orang-orang yang tidak meluruskan saff, beliau tidak menyuruh mereka mengulangi semula solat mereka.

4. Pendapat yang mengatakan solat tidak sah jika saff tidak rapat atau lurus boleh membatalkan solat adalah tidak betul dan kurang tepat. Maka tidak perlu meninggalkan solat jema'ah tersebut, kerana ia adalah perbuatan yang merugikan diri sendiri kerana meninggalkan solat berjemaah.

5. Kesimpulannya, solat jemaah tetap dihukumkan sah walaupun saff solat tersebut tidak lurus. 

___________________

Rujukan.

Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah : 27/35-36.

تسوية الصف في صلاة الجماعة
ذهب الجمهور إلى أنه يستحب تسوية الصفوف في صلاة الجماعة بحيث لا يتقدم بعض المصلين على البعض الآخر، ويعتدل القائمون في الصف على سمت واحد مع التراص، وهو تلاصق المنكب بالمنكب، والقدم بالقدم، والكعب بالكعب حتى لا يكون في الصف خلل ولا فرجة، ويستحب للإمام أن يأمر بذلك لقوله صلى الله عليه وسلم: سووا صفوفكم فإن تسوية الصف من تمام الصلاة وفي رواية: فإن تسوية الصفوف من إقامة الصلاة وفي رواية: وأقيموا الصف فإن إقامة الصف من حسن الصلاة ولما رواه أنس رضي الله عنه قال: أقيمت الصلاة فأقبل علينا رسول الله صلى الله عليه وسلم بوجهه فقال: أقيموا صفوفكم، وتراصوا فإني أراكم من وراء ظهري وفي رواية: وكان أحدنا يلزق منكبه بمنكب صاحبه وقدمه بقدمه
وذهب بعض العلماء - منهم ابن حجر وبعض المحدثين - إلى وجوب تسوية الصفوف لقوله صلى الله عليه وسلم: لتسون صفوفكم أو ليخالفن الله بين وجوهكم  فإن ورود هذا الوعيد دليل على وجوب التسوية، والتفريط فيها حرام؛ ولأمره صلى الله عليه وسلم بذلك وأمره للوجوب ما لم يصرفه صارف، ولا صارف هنا.
قال ابن حجر العسقلاني: ومع القول بأن تسوية الصف واجبة فصلاة من خالف ولم يسو صحيحة، ويؤيد ذلك: أن أنسا مع إنكاره عليهم لم يأمرهم بإعادة الصلاة
ومن تسوية الصفوف إكمال الصف الأول فالأول، وأن لا يشرع في إنشاء الصف الثاني إلا بعد كمال الأول، وهكذا. وهذا موضع اتفاق الفقهاء لقوله صلى الله عليه وسلم: أتموا الصف المقدم ثم الذي يليه، فما كان من نقص فليكن في الصف المؤخر وقوله صلى الله عليه وسلم: من وصل صفا وصله الله ومن قطع صفا قطعه الله. وعليه فلا يقف في صف وأمامه صف آخر ناقص أو فيه فرجة، بل يشق الصفوف لسد الخلل أو الفرجة الموجودة في الصفوف التي أمامه؛ للأحاديث السابقة

Wallahu 'a'lam.

Wednesday, June 11, 2014

HUKUM MENYAMBUT MALAM NISFU SYA’BAN


Sumber:  Fatwa Darul Ifta’ Al-Mishriyah
Tahun: 2006
Oleh: Mufti Besar Prof. Dr. Ali Jum'ah Muhammad

Soalan:

Sejak sekian lama kami selalu mengadakan majlis sambutan malam Nisfu Sya'ban. Dalam majlis tersebut seluruh penduduk kampung – sama ada lelaki atau pun wanita, besar atau pun kecil— berkumpul di masjid untuk melaksanakan solat Maghrib. Selepas solat, kami membaca surah Yasin sebanyak tiga kali. Setiap kali selesai membaca surah Yasin, kami berdoa dengan doa-doa yang disebutkan di dalam Al-Quran yang mengandungi doa untuk Islam dan umat Islam. Dahulu, kami membaca doa khusus malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah dan menyaringkan suara (jahar), tetapi sekarang kami menggantikannya dengan doa daripada Al-Quran. Apakah pandangan agama (berkenaan hukum) menyambut atau mengadakan majlis  sambutan malam Nisfu Sya'ban dengan cara yang kami lakukan itu?


Jawaban:

Pertama: Malam Nisfu Sya'ban merupakan malam yang penuh keberkatan. Kelebihan malam Nisfu Sya’ban disebutkan dalam beberapa banyak hadis yang saling menguatkan antara satu sama lain dan mengangkat martabat hadis kepada hasan dan kuat. Mengadakan majlis sambutan memperingati malam Nifsu Sya’abn dan menghidupkan malam tersebut merupakan amalan yang sesuai dengan tuntunan agama. Hadis-hadis tentang kelebihan dan keutamaan malam tersebut tidak termasuk dalam kategori hadis-hadis yang sangat dha'if atau maudhu'.

Di antara hadis-hadis yang menyebut tentang kelebihan malam Nisfu Sya'ban ini ialah:

Hadis Ummul Mukminin ‘Aisyah radhiyaAllahu ‘anha, katanya, "Pada suatu malam, aku tidak menemui Rasulullah  (di dalam rumah). Lalu aku keluar untuk mencari Baginda. Akhirnya, aku menemui Baginda di perkuburan Baqi' dalam keadaan sedang menghadapkan wajahnya ke langit. Baginda lalu berkata, "Adakah engkau khuatir jika Allah dan RasulNya melakukan kezaliman terhadapmu?" Aku (‘Aisyah) menjawab, "Bukan itu yang aku fikirkan, akan tetapi aku menyangka bahawa engkau pergi ke tempat salah seorang daripada isterimu." Lalu Baginda  bersabda;

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ

"Sesungguhnya (rahmat) Allah turun ke langit dunia pada malam Nisfu Sya'ban dan mengampuni hamba-hambaNya lebih banyak daripada bilangan bulu kambing milik kabilah Bani Kalb." (HR. Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad).

Bani Kalb adalah kabilah yang terkenal memiliki kambing paling banyak.

Dari Muaz bin Jabal bahawa Rasulullah  bersabda;

إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا يَوْمَهَا؛ فَإِنَّ اللَّهَ يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ: أَلاَ مِنْ مُسْتَغْفِرٍ فَأَغْفِرَ لَهُ ؟ أَلاَ مُسْتَرْزِقٌ فَأَرْزُقَهُ ؟ أَلاَ مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ ؟ أَلاَ كَذَا أَلاَ كَذَا ...؟ حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْر

"Jika datang malam Nisfu Sya'ban, maka laksanakanlah solat pada malamnya dan berpuasalah pada siang harinya, kerana sesungguhnya rahmat Allah turun ke langit dunia ketika matahari terbenam pada malam itu. Allah berfirman, "Adakah sesiapa yang meminta ampun sehingga Aku mengampuninya. Adakah sesiapa yang meminta rezeki sehingga Aku memberikan kepada rezeki. Adakah sesiapa yang sakit sehingga Aku sembuhkan penyakitnya. Adakah orang yang demikian? adakah orang yang demikian? Dan seterusnya sehingga terbit fajar." (HR. Ibnu Majah).

Selain itu, tidak mengapa (harus) membaca Surah Yasin sebanyak tiga kali selepas solat Maghrib dengan suara yang keras atau nyaring secara berjemaah (beramai-ramai). Ini kerana amalan tersebut termasuk perbuatan dan amalan (perintah) untuk menghidupkan malam Nisfu Sya'ban. Terdapat kelapangan (tidak terikat) dalam melakukan amalan zikir dan mengkhususkan tempat tertentu atau waktu tertentu untuk melakukan amal ibadat secara berterusan adalah diharuskan selagi mana orang yang melakukanya tidak berpegang atau meyakini bahawa amalan tersebut adalah wajib dan berdosa jika ditinggalkan.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar , katanya;

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وآله وسلم يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ مَاشِيًا وَرَاكِبًا » متفق عليه
"Nabi pergi ke masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu sambil berjalan kaki atau menunggang binatang tunggangan." (Muttafaq ‘alaih).

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath Al-Bari mengatakan;

وفي هذا الحديث على اختلاف طرقه دلالة على جواز تخصيص بعض الأيام ببعض الأعمال الصالحة والمداومة على ذلك
"Hadis ini, dengan pelbagai jalur riwayatnya, menunjukkan bahawa harus (boleh) mengkhususkan hari-hari tertentu untuk melakukan amalan-amalan soleh secara berterusan."

Al-Hafiz Ibn Rajab dalam kitab Lathaif Al-Ma'arif mengatakan;

واختلف علماء أهل الشام في صفة إحيائها على قولين
أحدهما : أنه يُستحب إحياؤها جماعة في المساجد ، كان خالد بن معدان ولقمان بن عامر وغيرهما يلبسون فيها أحسن ثيابهم ويتبخرون ويكتحلون ويقومون في المسجد ليلتهم تلك ، ووافقهم إسحاق بن راهويه على ذلك ، وقال في قيامها في المسجد جماعة : ليس ذلك ببدعة ، نقله عنه حرب الكرماني في مسائله .
والثاني : أنه يُكَرَهُ الاجتماع فيها في المساجد للصلاة والقصص والدعاء ، ولا يكره أن يُصلي الرجل فيها بخاصة نفسه ، وهذا قول الأوزاعي إمام أهل الشام وفقيههم وعالمهم

"Para Ulamak Negeri Syam berbeza pendapat dalam menentukan (hukum) menghidupkan malam Nisfu Sya'ban kepada dua pendapat: Pendapat pertama mengatakan bahawa dianjurkan menghidupkan malam Nisfu Sya’ban secara berjemaah (beramai-ramai) di dalam masjid. Adalah (pada malam itu), Khalid bin Mi'dan, Luqman bin 'Amir dan selain daripada mereka, memakai pakaian terbaiknya, menggunakan minyak wangi dan memakai celak mata kemudian berdiam di dalam masjid. Apa yang dilakukan tersebut dipersetujui oleh Ishaq bin Rahawaih. Beliau turut menyatakan bahawa mengerjakan solat secara berjamaah di masjid pada malam Nisfu Sya’ban bukanlah termasuk amalan bid'ah. Hal ini sebagaimana dinukil oleh Harb Al-Kirmani dalam kitab Al-Masai. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa berkumpul di masjid pada malam Nisfu Sya'ban untuk melakukan solat, memberikan nasihat dan berdoa adalah perbuatan makruh. Tetapi, jika seseorang melakukan solat secara bersendirian, maka ianya tidak dimakruhkan. Ini merupakan pendapat Al-Awza'i yang merupakan seorang Imam, faqih dan ‘alim Negeri Syam."

Oleh yang demikian, menghidupkan malam Nisfu Sya'ban dengan cara yang disebutkan dalam pertanyaan di atas merupakan amalan dan perbuatan yang disyariatkan, bukan bid'ah atau makruh. Dengan syarat perkara tersebut dilakukan dengan tidak berpegang atau meyakini  bahawa amalan tersebut  wajib dilakukan. Jika sekiranya amalan (sambutan) tersebut dilakukan dengan memaksa orang lain untuk turut serta melakukannya dan menyalahkan mereka jika tidak mengikutinya, maka perbuatan itu menjadi amalan bid'ah kerana telah mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya . Ini antara faktor dan sebab yang membuatkan beberapa ulamak Salaf tidak bersetuju atau menganggap makruh amalan menghidupkan malam Nisfu Sya'ban secara berjemaah. Justeru itu, tidaklah makruh menyambut atau menghidupkan malam Nisfu Sya’ban seandainya tidak wujud paksaan atau anggapan bahawa ianya wajib dilaksanakan.


Ustaz Zaid Abdul
Khadam Ilmu & Ulamak

Tuesday, April 29, 2014

TIPS BULAN REJAB: HABIB 'UMAR

كيف ينبغي أن يكون حال المسلم ليدرك فضيلة شهر رجب؟
Bagaimana Seharusnya Keadaan Seorang Muslim Untuk Mendapatkan Kelebihan Bulan Rajab?

Oleh: Guru Mulia Habib Umar bin Muhammad bin Salimحفظه الله


يغتنم المسلم فضيلة هذا الشهر الكريم بعدة أمور، من أهمها:
Hendaklah seorang Muslim itu merebut keutamaan bulan ini (yakni bulan Rajab) dengan mengerjakan beberapa perkara. Di antara yang penting:
كثرة الاستغفار وتحقيق التوبة النصوح.
Memperbanyakkan beristighfar dan mentahqiqkan taubat nashuha (taubat yang bersungguh-sungguh)
العزم الصادق في الإقبال على الله بفعل الطاعات، وترك المعاصي والمخالفات.
Berazam dengan keazaman yang benar (jujur) dalam menghadap kepada Allah dengan mengerjakan keta’atan-keta’atan dan meninggalkan kemaksiatan dan perkara-perkara yang bersalahan (dengan syariat).
النظر في أحواله وإصلاحها وإقامتها على منهج المتابعة للنبي محمد صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم.
Meneliti pada hal keadaan dirinya dan membaikinya dan mendirikannya dengan berittiba’ (mengikuti) Nabi صلى الله عليه وآله وصحبه وسلم
تفقُّد شأنه في الفرائض وكيفية أدائها وسننها ورواتبها وحضور القلب فيها.
Memerhati urusannya dalam hal kefardhuan (yakni fardhu sholat) dan kaifiat menunaikannya (yakni menunaikannya dengan ilmu),  (memelihara, menjaga) sunat-sunatnya dan rawatibnya (yakni sholat-sholat sunat yang mengiringi sholat fardhu) dan menghadirkan hati dalam mengerjakannya (yakni khusyu’).
الحرص على الصف الأول في الجماعة، والحرص على التكبيرة الأولى مع الإمام فلا تفوته.
Loba (menguatkan keinginan) untuk mendapatkan shaf yang awal dalam berjemaah dan loba atas mendapatkan takbir pertama berserta imam dan jangan sesekali luput daripadanya
أن يتفقد نفسه في القرآن ونصيبه من تلاوته وتدبره، والحرص على العمل بما فيه.
Bahwa dia meneliti dirinya dalam urusan al-Quran dan bahagiannya daripada membaca al-Qur’an dan memerhatikan makna-makna (tuntutan-tuntutan)nya dan loba atas beramal dengan apa yang terkandung di dalam al-Quran.
المحافظة على الأذكار في الصباح والمساء وبعد الصلوات، وفي الأحوال المختلفة.
Memelihara dhikir-dhikir pada waktu pagi dan petang, selepas sholat dan pada keadaan-keadaan  yang berbeza.
أن يتفقَّد نفسه في المعاملة مع الأهل والأصحاب والأصدقاء والأقارب والجيران، ومع عامة الخلق وخاصتهم.
Bahwa dia memerhati akan dirinya dalam bermu’amalah bersama ahli keluarganya, teman dan rakan-taulan, kaum-karabat, jiran-tetangga dan juga segala makhluk secara umum dan khusus.
صيام ما تيسر من أيام الشهر، وخصوصا الاثنين والخميس والأيام البيض.
Berpuasa pada mana-mana hari yang mudah daripada hari-hari dalam bulan Rajab, khususnya hari isnin, khamis dan hari-hari putih/cerah (yakni pada tanggal 13, 14, dan 15)
أن يكون له نصيب من الصدقات والتفقُّد للفقراء والمساكين، والإحسان إليهم.
Bahwa dia bersedekah dan memerhatikan (keperluan) golongan fuqara dan masakin dan berbuat baik kepada mereka.
اغتنام هذه الليالي في العبادة، خصوصا وقت السحر، فينبغي في مثل هذا الشهر أن يكون له حال حسن في المعاملة مع السحر، ليدخل في دائرة من أثنى عليهم الرب الأكبر في القرآن بالاستغفار في الأسحار، قال تعالى ( وبالأسحار هم يستغفرون) وقال سبحانه وتعالى: ( والمنفقين والمستغفرين بالأسحار ) وقال تعالى ( إنهم كانوا قبل ذلك محسنين كانوا قليلا من الليل ما يهجعون وبالأسحار هم يستغفرون ).
Merebut peluang atau mengambil kesempatan pada malam-malam (di bulan Rajab ini) mengerjakan ibadah, khususnya pada waktu sahur (yakni akhir malam, sebelum fajar). Maka seyogianya dalam bulan ini bahwa dia menjadikan baginya kebaikan dalam bermu’amalah dengan waktu sahur (yakni membiasakan dirinya untuk beramal pada waktu sahur), bagi melayakkan dirinya masuk dalam kumpulan orang-orang yang mana Allah Yang Maha Besar memuji mereka di dalam al-Quran, dengan (amalan mereka yang) beristighfar pada waktu-waktu sahur. Allah Ta’ala berfirman:
وَبِٱلْأَسْحَارِ‌ هُمْ يَسْتَغْفِرُ‌ونَ
Maksudnya: Dan pada waktu  sahur (yakni akhir malam, sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). – (Adh-Dhariyah: 18)
Dan berfirman Allah Ta’ala lagi:
وَٱلْقَـنِتِينَ وَٱلْمُنفِقِينَ وَٱلْمُسْتَغْفِرِ‌ينَ بِٱلْأَسْحَارِ‌
Maksudnya: “Dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur”.(Aali ‘Imran: 17)
FirmanNya lagi:
كَانُوا۟ قَبْلَ ذَلِكَ مُحْسِنِينَ ﴿١٦﴾ كَانُوا۟ قَلِيلًا مِّنَ ٱلَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ ﴿١٧﴾ وَبِٱلْأَسْحَارِ‌ هُمْ يَسْتَغْفِرُ‌ونَ
Maksudnya: Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu  sahur (yakni akhir malam, sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). – (Adh-Dhariyah: 16 – 18)
نسأل الله أن يوفر حظنا من هذه الليالي وهذا الشهر، وأن يجعلنا من المقبولين المسعودين في الدنيا والآخرة. اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان وأعِنا على الصيام والقيام.
Kita memohon kepada Allah semoga Dia menambahkan (amal ibadah) kepada kita daripada malam-malam ini dan bulan ini, dan Dia menjadikan kita daripada golongan yang diterima (amal ibadah) dan orang-orang yang bahagia di dunia dan di akhirat. Ya Allahlimpahilah berkat kepada kami pada bulan Rajab dan Sya’ban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan dan bantulah kami atas mengerjakan puasa dan mendirikan sholat.

Sumber: al-fanshuri

Monday, April 21, 2014

HUKUM WANITA HAID MENETAP DI MASJID

Antara karya terbaik dan sering menjadi rujukan dalam fekah perbandingan ialah kitab Rahmah Al-Ummah fi Ikhtilaaf Al-A'immah karangan seorang Sarjana bermazhab Syafi'e iaitu Syeikh Abu Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman Al-Dimasyqi Al-‘Utsmani Al-Syafi’e. 

Di dalam kitab ini, beliau menjelaskan pendapat para Ulamak mazhab secara ringkas. Antaranya berkaitan hukum Haid. Beliau mengatakan pada permulaan bab Haid.




اتفق الأئمة على ان فرض الصلاة ساقط على الحائض مدة حيضها ، وأنه لا يجب عليها قضاؤه ، على أنه يحرم عليها الطواف بالبيت و اللبث فى المسجد ، وعلى انه يحرم و طؤها حتى ينقطع حيضها  
"Para Imam Mazhab yang empat ITTIFAQ (sepakat) bahawa terputus kewajiban solat ke atas wanita yang HAID selama tempoh masa Haidnya dan tidak wajib baginya untuk mengantikan (Qada') solat. Demikian juga diharamkan ke atasnya melakukan Tawaf, BERDIAM (MENETAP) DI DALAM MASJID dan wathi' sehingga putus tempoh Haidnya (selesai tempoh Haid)."


_______________

Rujukan.

Rahmah Al-Ummah : 30.

Saturday, April 5, 2014

MEMBACA DOA SEBELUM SALAM

Di antara perkara SUNAT di dalam Fiqh Sifat Solat Nabi ialah membaca du'a sebelum memberi salam. Kita akui ini jarang didedahkan kepada khalayak umum dan kurang diamalkan oleh sesetengah daripada kita. Mari saya kongsikan sedikit ilmu yang ada berkaitan isu membaca du'a sebelum salam.

Sepakat para Ulamak mazhab; Syafi'iyyah, Malikiyyah, Hanabilah dan Hanafiyyah bahawa sunat bagi orang yang solat berdu'a ketika Duduk Tasyahhud Akhir selepas membaca Selawat ke atas Nabi.

1. Hanafiyyah
Disunatkan berdu'a dengan sesuatu du'a yang sama dengan lafaz di dalam Al-Qur'an seperti "Rabbana laa tuzigh qulubana..." atau sama dengan lafaz di dalam hadis seperti, "Allamumma inni zholamtu nafsi...". Tidak harus berdu'a dengan sesuatu du'a yang sama dengan kalam manusia seperti "Allahumma zaujani fulanah"

2. Malikiyyah
Disunatkan berdu'a ketika duduk tasyahhud akhir selepas mengucapkan selawat ke atas Nabi dengan sesuatu du'a apapun daripada kebaikan dunia dan akhirat. Namun yang lebih afdhal berdu'a dengan du'a yang warid.

3. Syafi'iyyah
Disunatkan berdu'a selepas mengucapkan selawat ke atas Nabi dan sebelum memberi salam dengan sesuatu du'a apapun untuk kebaikan dunia dan agama. Tidak harus berdu'a dengan sesuatu yang diharamkan, atau perkara yang mustahil untuk dicapai atau berdu'a dengan ta'liq. Batal solat sekirang berdu'a dengan perkara yang demikian. Dan yang afdhal adalah berdu'a dengan du'a yang ma'thur daripada Nabi.

4. Hanabilah
Disunatkan bagi orang yang solat berdu'a selepas mengucapkan selawat ke atas Nabi pada tasyahhud akhir dengan berkata, "A'uzubillah min 'azabi jahannam....." Dan disunatkan berdu'a dengan du'a yang warid dan sesuatu yang berkaitan akhirat walaupun tidak sama dengan lafaz yang warid. Dan tidak harus berdu'a dengan sesuatu du'a yang bertujuan untuk mendapat kelazatan dunia atau syahawat seperti "Allahummar zuqni tho'aman laziza.." jika seseorang berdu'a dengan yang demikian maka batallah solatnya.

Oh My Solat!

Ustaz Zaid Abdul
Khadam Ilmu & Ulamak

_______________________

Rujukan.
Al-Fiqh 'ala Al-Mazahib Al-Arba'ah, Syeikh 'Abdul Rahman Al-Jaziri : 1/241-242.

Monday, March 24, 2014

HUKUM SOLAT JENAZAH MANGSA MH370

Soal.
Assalamualaikum. Mohon maaf saya bertanya. Adakah kita boleh melakukan solat jenazah atau solat jenazah ghaib ke atas mangsa MH370 yang beragama Islam? Mohon ustaz jelaskan.

Jawab.

1. Sebagaimana yang kita sedia maklum, MH370 telah disahkan ‘berakhir’ di Lautan Hindi dan ia disokong dengan maklumat tambahan yang dibekalkan oleh IMMARSAT dan AAIB, namun bangkai pesawat masih belum ditemui dan mangsa nahas masih belum DISAHKAN sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

2. Solat Jenazah bagi jenazah yang masih belum ditemui tidak sah hukumnya kerana syarat diperuntukkan melakukan solat jenazah adalah orang tersebut sudah disahkan dan diyakini meninggal dunia, sedangkan mangsa nahas MH370 masih belum jelas keadaan mereka sama ada sudah meninggal dunia atau masih hidup lagi.

3. Imam Nawawi di dalam kitab Raudhah At-Tholibin menjelaskan bahawa, 

“Jika masih ragu (mengenai kematiannya) kerana orang tersebut tidak mempunyai penyakit dan kemungkinan (ihtimal) dia hanya diam seketika atau kelihatan tanda-tanda terkejut atau tanda yang lain, maka urusan penyelenggaraan jenazah harus dilewatkan (ditangguhkan) sehingga diyakini (kematiannya) dengan perubahan pada bau (mayat) atau tanda-tanda yang lain.”

4. Sayyid al-Bakri bin Muhammad Syatha al-Dimyathi di dalam kitab I’a kitab I‘anah al-Talibin mengatakan bahawa,

“Jika seorang yang hidup jatuh ke dalam lombong atau laut dan tidak dapat dikeluarkan dan dimandikan, maka tidaklah dilakukan solat jenazah itu kerana tidak ada syarat-syaratnya atas pendapat (qaul) muktamad.”

5. Selain itu, diperuntukkan solat jenazah apabila jenazah dimandikan. Sekiranya jenazah tersebut belum dimandikan, maka ia tidak boleh disolatkan. Hal ini dapat difahami melalui fatwa Sayyid Habib Abdul Rahman Al-Masyhur Al-Ba’Alawi dalam kitabnya Bughyah Al-Mustarsyidin bahawa,

“Tidak sah solat bagi orang yang sedang ditawan atau hilang atau perahunya tenggelam, walaupun hakim sudah menyatakan bahawa orang tersebut telah meninggal dunia, kecuali jika diyakini bahawa mayyit (jenazah) tersebut telah dimandikan.”

6. Kesimpulannya, tidak boleh melakukan solat Jenazah ke atas mangsa nahas MH370 kerana tidak diketahui dengan yakin adakah mereka sudah meninggal dunia. Disamping itu mayat yang hilang dan tidak dijumpai, tidak dapat disempurnakan urusan penyelenggaraan jenazah  sebagaimana yang diperuntukkan antaranya memandikan jenazah. 

Wallahu ‘A lam.

_______________________

Rujukan.
1. Roudhah At-Tholibin, 2/98
2. I’anah At-Tholibin, 2/131
3. Bughyah Al-Mustarsyidin, 197

HUKUM BERMAIN GENDANG & KOMPANG DI DALAM MASJID.


1) PENDAHULUAN


Sebetulnya, kita begitu menghormati para asatizah dan para ilmuan di negara kita yang 'menegah' amalan berqasidah sambil diiringi kompang dan gendang di dalam masjid. Memang dikalangan Ulamak, ada yang tidak bersetuju dengan perbuatan bermain kompang atau gendang di masjid seperti yang dikemukakan oleh Al-Hafiz Imam Suyuthi di dalam karyanya, "Al-Amru bil Ittiba' wa An-Nahyu 'an Al-Ibtida."

Namun, menjelaskan sesuatu perkara yang berlaku KHILAF padanya denagn mengemukakan SATU pandangan sahaja adalah kurang jujur di dalam ilmiah, apatah lagi jika pendapat sebelah pihak diingkari secara multak. Berikut dikemukan pendapat lain yang mengharuskan perbuatan bermain gendang dan kompang di dalam masjid.

2) PENDAPAT YANG MENGHARUSKAN.

Pendapat yang mengharuskan bermain gendang, rebana atau kompang di dalam masjid bersandarkan kepada dalil hadis Saidatina 'Aisyah, bahawa Baginda bersabda:

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ، وَاجْعَلُوهُ فِي المَسَاجِدِ، وَاضْرِبُوا علَيْهِ بِالدُّفُوفِ

"War-warkanlah pernikahan dan lakukanlah di masjid serta pukullah rebana." (HR Imam Tirmizi & Ibn Majah)

a) Syeikh Ibn Hajar Al-Haitami di dalam kitabnya "Al-Fatawa Al-Fiqhiyah Al-Kubra" menjelaskan bahawa hadis tersebut mengisyaratkan KEHARUSAN (dibolehkan) memainkan gendang atau rebana ketika majlis pernikahan di dalam masjid serta diqiyaskan pula keharusan memainkan rebana atau gendang untuk majlis-majlis yang lainnya. Berikut disebutkan di dalam kitab fatwa beliau:
وفي الترمذي وسنن ابن ماجه عن عائشة - رضي الله تعالى عنها - أن النبي - صلى الله عليه وسلم - قال «أعلنوا هذا النكاح وافعلوه في المساجد واضربوا عليه بالدف» وفيه إيماء إلى جواز ضرب الدف في المساجد لأجل ذلك فعلى تسليمه يقاس به غيره
b) Syeikh Al-Muhallab menyatakan bahwa semua perbuatan yang dilakukan di dalam masjid, jika tujuannya untuk manfaat dan kebaikan umat Islam dan bermanfaat untuk agama, boleh dilakukankan di dalam masjid. Ini dijelaskan di dalam karyanya Umdah Al-Qari Syarah Shahih Bukhari seperti berikut:

وقال المهلب المسجد موضوع لأمر جماعة المسلمين وكل ما كان من الأعمال التي تجمع منفعة الدين وأهله

c) Al-Qodhi 'Iyadh juga menyatakan pendapat yang sama dengan menjelaskan lagi bahawa selagi perbuatan yang dilakukan tersebut tidak merendahkan kemulian masjid, maka perbuatan tersebut boleh dilakukan. Berikut penjelasan beliau yang dikemukan oleh Ibn Hajar di dalam Fath Al-Bari:
وحكى القاضي عياض، عن بعض شيوخه، أنه قال: إنما يمنع في المساجد من عمل الصنائع التي يختص بنفعها آحاد الناس وتكتسب به، فأما الصنائع التي يشمل نفعها المسلمين في دينهم كالمثاقفة، وإصلاح آلات الجهاد مما لا امتهان للمسجد في عمله فلا بأس به. والله أعلم
3) KESIMPULAN.
Kesimpulannya, menegah perbuatan ini secara mutlak adalah KURANG TEPAT. Ini kerana perbuatan tersebut adalah khilaf, bukan perbuatan 'mungkar' secara mutlak.

Kita tidak harus memaksa orang lain untuk menerima pandangan kita dalam masalah KHILAFIYYAH. Dan kita tidak harus menentang amalan-amalan khilafiyyah yang tidak sesuai dengan pandangan mazhab yang kita anuti. Sebaliknya kita hendaklah menentang amalan-amalan yang bercanggah dengan hukum- hukum yang disepakati oleh para ulamak. Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebut:
لاينكر المختلف فيه وإنما ينكر المجمع عليه
"Tidak boleh mengingkari sesuatu hukum yang berlaku khilaf dikalangan fuqaha’. Akan tetapi yang perlu diingkari ialah perkara munkar yang disepakati ulamak tentang pengharamannya."

4) CADANGAN

A. Sesuatu isu yang berlaku khifah perlulah diutarakan secara ilmiah iaitu dengan mendatangkan pendapat-pendapat para Ulamak lainnya, bukan diutarakan dengan EMOSI.

B. Jangan terlalu mudah melempar tuduhan BID'AH DHALALAH terhadap amalan-amalan yang berlaku khilaf padanya.

C. Kita mesti beradab dengan ulamak dan menghormati pendapat yang berbeza pandangan dengan kita.

D. Para ilmuan, Ulamak, Mufti perlu duduk semeja bagi membincangkan perkara ini & menetapkan satu keputusan. Sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Ulamak Fathani dahulu apabila ditimbulkan isu khilafiyyah.

Sekian.
Zaid Abdul
Khadam Ilmu & Ulamak

______________

Rujukan.
1) Al-Fatawa Al-Fiqhiyah Al-Kubra, 4/356
2) Umdah Al-Qari Syarah Shahih Al-Bukhari, 4/220
3) Fath Al-Bari, 3/340
4) Al-Amru bil Ittiba' wa An-Nahyu 'an Al-Ibtida, 30.
5) Al-Asybah wa Al-Nazair, 292.