SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Saturday, June 27, 2015

Benarkah Dilarang Memanggil Isteri 'Ummi' atau 'Ibu'?

1. Dalam kitab ar-Raudh al-Murbi' (mazhab Hanbali) ada disebutkan tentang larangan memanggil isteri dengan panggilan 'ummi' dan suami dengan panggilan 'abi'.

 ﻭﻳﻜﺮﻩ ﻧﺪﺍﺀ ﺃﺣﺪ ﺍﻟﺰﻭﺟﻴﻦ ﺍﻵﺧﺮ ﺑﻤﺎ ﻳﺨﺘﺺ ﺑﺬﻱ ﺭﺣﻢ ﻣﺤﺮﻡ ﻛﺄﺑﻲ ﻭﺃﻣﻲ

“Makruh (hukumnya) jika salah seorang daripada suami atau isteri memanggil pasangannya dengan panggilan yang hanya (khusus) digunakan bagi mereka yang mempunyai hubungan mahram seperti 'abi' atau 'ummi'."

2. Dalil yang dijadikan hujah adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud:

  ﺃَﻥَّ ﺭَﺟُﻠًﺎ ﻗَﺎﻝَ ﻟِﺎﻣْﺮَﺃَﺗِﻪِ : ﻳَﺎ ﺃُﺧَﻴَّﺔُ، ﻓَﻘَﺎﻝَ ﺭَﺳُﻮﻝُ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ : » ﺃُﺧْﺘُﻚَ ﻫِﻲَ؟ « ، ﻓَﻜَﺮِﻩَ ﺫَﻟِﻚَ ﻭَﻧَﻬَﻰ عَنهُ

"Seorang lelaki berkata kepada isterinya, 'Wahai adik perempuan (saudari kecil)'. Lalu Rasulullah ﷺ bersabda, 'Adakah dia saudarimu?' Baginda tidak menyukai perkara tersebut dan melarangnya." (Abu Daud, no.2210)

Catatan.

• Imam Al-Khattabi dalam Ma'alim as-Sunan mengatakan bahawa dimakruhkan perbuatan tersebut kerana ia menghampiri kepada perkara haram (zihar).

• Dalam kitab 'Aun al-Ma'bud syarah Sunan Abu Daud dijelaskan bahawa majoriti ulamak dan kebanyakan mereka sepakat mengatakan bahawa jika panggilan tersebut diniatkan untuk memuliakan maka ia tidak jatuh kepada zihar.

2. Dalam Hasyiah ar-Raudh al-Murbi' dijelaskan, berdasarkan hadis di atas bahawa larangan atau hukum makruh tersebut kerana lafaz tersebut menyerupai lafaz zihar, tetapi tidak thabit padanya hukum zihar, maka ia tidak dihukumkan haram.

3. Pun begitu hadis di atas yang dijadikan hujah hukum makruh memanggil isteri 'ummi' atau 'ukhti' atau suami 'abi', tidak boleh dijadikan dalil kerana berstatus 'mursal' sebagaimana yang disebut oleh Syeikh 'Ali bin Muhammad bin Al- Qattan dalam kitabnya Bayan al-Wahmi Wa al-Iham Fi Kitab al-Ahkam.

4. Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari meletakkan satu bab bertajuk yang menyatakan apabila seorang suami mengatakan pada isterinya 'Ini adalah saudara perempuanku', maka (panggilan tersebut) tidak mengapa. Kata beliau:

ﺑﺎﺏ ﺇﺫﺍ ﻗﺎﻝ ﻻﻣﺮﺃﺗﻪ ﻭﻫﻮ ﻣﻜﺮﻩ ﻫﺬﻩ ﺃﺧﺘﻲ ﻓﻼ ﺷﻲﺀ ﻋﻠﻴﻪ

Kemudian beliau membawa satu hadis;

 ﻗَﺎﻝَ ﺍﻟﻨَّﺒِﻲُّ ﺻَﻠَّﻰ ﺍﻟﻠﻪُ ﻋَﻠَﻴْﻪِ ﻭَﺳَﻠَّﻢَ " : ﻗَﺎﻝَ ﺇِﺑْﺮَﺍﻫِﻴﻢُ ﻟِﺴَﺎﺭَﺓَ : ﻫَﺬِﻩِ ﺃُﺧْﺘِﻲ

"Nabi ﷺ menceritakan, bahawa Nabi Ibrahim عليه السلام berkata mengenai Sarah (isterinya): 'Ini adalah saudara perempuanku'."

5. Al-Hafiz Ibnu Hajar dalam kitab Fath al-Bari menjelaskan sebab Imam Bukhari meriwayatkan hadis tersebut dalam kitabnya adalah bertujuan untuk membantah dan menolak pendapat yang mengatakan 'makruh' mengucapkan 'wahai saudara perempuanku' kepada isteri, dan yang dimaksud Nabi Ibrahim عليه السلام adalah saudara seagama (ukhti). Justeru, ucapan tersebut tidak mengapa dan tidak makruh hukumnya.

6. Imam Ibnu Qudamah dalam Al-Mughni menjelaskan masalah ini seperti berikut;

فصل: وإن قال: أنت علي كأمي. أو: مثل أمي. ونوى به الظهار، فهو ظهار، في قول عامة العلماء؛ منهم أبو حنيفة، وصاحباه، والشافعي، وإسحاق. وإن نوى به الكرامة والتوقير، أو أنها مثلها في الكبر، أو الصفة، فليس بظهار. والقول قوله في نيته. وإن أطلق، فقال أبو بكر: هو صريح في الظهار. وهو قول مالك، ومحمد بن الحسن. وقال ابن أبي موسى: فيه روايتان، أظهرهما أنه ليس بظهار حتى ينويه. وهذا قول أبي حنيفة، والشافعي؛ لأن هذا اللفظ يستعمل في الكرامة أكثر مما يستعمل في التحريم، فلم ينصرف إليه بغير نية، ككنايات الطلاق

i. Jika seseorang berkata kepada isterinya 'engkau bagiku seperti ibuku' atau seumpama 'ummi', dan diniatkan zihar, maka hukumnya adalah zihar menurut pendapat majoriti ulamak: iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan imam Ishaq.

ii. Jika ucapan tersebut dengan niat memuliakan atau menyamakan isterinya dengan ibunya dengan sifat yang ibunya, maka ia tidak dihukumkan zihar.

iii. Jika diucapan umum (mutlak), tanpa ada niat sesuatu pun, menurut pendapat Syeikh Abu Bakar, hukumnya adalah zihar dan ini juga merupakan pendapat Imam Malik dan Muhammad bin Al-Hasan. Sedangkan menurut pendapat Abu Hanifah dan Imam Syafie, ucapan atau lafaz ini tidak menyebabkan hukum zihar jatuh kerana panggilan tersebut digunakan untuk memuliakan bukan niat untuk zihar.

7. Konklusinya, menurut pendapat mazhab Syafie, seorang suami diharuskan memanggil atau mengelar isterinya dengan gelaran atau panggilan 'ummi' atau 'ukhti'. Ia bukanlah ucapan 'orang bodoh' seperti yang didakwah oleh sesetengah orang. Kebiasaannya ucapan tersebut digelarkan oleh suami untuk memuliakan isterinya yang berpangkat seorang 'ibu', disamping mendidik anak-anak agar memanggil ibu mereka dengan panggilan mulia itu 'ummi'. Justeru, hukumnya tidak makruh dan tidak jatuh hukum zihar, selagi mana panggilan tersebut tidak diniatkan zihar atau diucapkan secara umum sebagai panggilan kebiasaan.

Wallahu a'lam.

Rujukan.
1. 'Aun al-Ma'bud. 
2. Bayan al-Wahmi Wa al-Iham Fi Kitab al-Ahkam.
3. Fath al-Bari.
4. Al-Mugni.
5. Hasyiah Ar-Raud al-Murbi'.

Khadam ilmu & ulamak,
Ustaz Zaid Abdul​ al-Qadiri

No comments:

Post a Comment