SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Sunday, June 21, 2015

Q&A: BOLEHKAH SOLAT TARAWEH DUDUK?

Gambar sekadar hiasan
Soal. 
Assalam ust. Apaka hukum seseorang itu solat sunat taraweh duduk? Adakah sah solatnya? tq

Jawab.

Waalaikumussalam.

1. Di dalam solat sunat tidak diwajibkan berdiri walaupun seseorang itu mampu melakukan solat sunat secara berdiri.

2. Ini kerana asas didirikan solat sunat berdasarkan faktor kemudahan dan tidak memberatkan. Oleh kerana solat sunat itu banyak, sekiranya ia diwajibkan berdiri untuk menunaikannya maka sudah tentu menimbulkan kesukaran dan menyebabkan perlaksanaanya terhenti. Justeru itu, sah solat sunat yang dilaksanakan secara duduk.

3. Pun begitu bagi orang yang mampu berdiri tetapi menunaikan solat sunat secara duduk, maka pahala separuh daripada pahala orang yang menunaikan solat sunat secara berdiri.

4. Ini dilihat berdasarkan hadis Nabi :

Sesiapa yang melaksanakan solat dalam keadaan berdiri maka itu lebih utama. Dan sesiapa yang melaksanakan solat dalam keadaan duduk maka dia mendapat pahala separuh daripada orang yang solat berdiri. Manakala siapa yang solat sambil berbaring, maka pahalanya separuh daripada orang yang solat duduk.” (HR Imam Al-Bukhari)
5. Imam An-Nawawi menjelaskan dengan lebih terperinci berkaitan hal ini di dalam kitab Al-Majmu’:

“Solat sunat boleh dilakukan dalam keadaan duduk meskipun seseorang itu mampu berdiri. Demikianlah yang telah disepakati oleh para ulamak (ijmak) berdasarkan dalil daripada hadis-hadis sahih yang telah dinyatakan. Namun pahalanya separuh daripada pahala orang yang melakukan solat berdiri sebagaimana hadis Imran bin Husain . Tetapi sekiranya seseorang itu sakit sehingga dia tidak mampu menunaikan solat sunat sambil berdiri lalu dia menunaikan solat dengan cara duduk atau dia tidak mampu duduk lalu dia menunaikannya dengan berbaring, maka pahala sama seperti mana orang solat sunat secara berdiri tanpa ada khilaf ulamak. Demikian sama keadaanya dengan solat fardhu.”
6. Kesimpulan, solat sunat taraweh dan solat-solat sunat yang lain boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun seseorang itu mampu berdiri. Bagi orang yang mampu berdiri adalah lebih baik solat sunat dalam keadaan berdiri untuk meraih ganjaran pahala yang lebih besar daripada solat dalam keadaan duduk.

7. Orang tidak mampu berdiri di dalam solat sunat, boleh solat dalam keadaan duduk, jika tidak mampu duduk solatlah dalam keadaan berbaring.


Wallahu 'Alam


Ustaz Zaid Abdul

No comments:

Post a Comment