Soal.
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Jika seorang pihak lelaki meminta agar pertunangan dibatalkan, adakah pihak perempuan wajib mengembalikan cincin pertunangan? terima kasih.
Jawab.
Waalaikumussalam.
1. Barangan yang diberikan oleh pihak lelaki kepada pihak wanita yang dilamarnya boleh jadi dengan dua tujuan, sama ada diberikan sebagai 'hadiah' atau dengan tujuan agar wanita tersebut bernikah dengannya (lelaki).
2. Jika pemberian cincin tersebut sebagai hadiah, maka tidak boleh meminta kembali barang tersebut sama ada cincin, pakaian, makanan atau lain-lainnya. Sama ada pertunangan itu diputuskan atas persetujuaan kedua-dua pihak atau diputuskan oleh salah satu pihak (lelaki atau wanita). Demikian juga jika perkahwinan tersebut dibatalkan kerana salah seorang dari mereka meninggal dunia.
3. Jika pemberian barang tersebut bertujuan agar wanita tersebut bernikah dengannya (lelaki), maka cincin tersebut atau barang-barang lain yang diberikan ketika melamar si wanita boleh diminta semula jika masih ada. Jika barang tersebut sudah rosak, pihak lelaki boleh meminta ganti rugi. Sekalipun semasa pemberian barang tersebut pihak lelaki tidak mengucapkan apa-apa (tidak pasti sebagai hadiah atau untuk tujuan menikah), cincin tersebut boleh diminta semula, kerana umumnya lelaki yang memberikan cincin atau barang kepada wanita ketika melamarnya adalah bertujuan supaya wanita tersebut bernikah dengannya.
4. Menurut fatwa Imam Ramli dan Imam Ibnu Hajar Al-Haytami, pihak lelaki boleh meminta kembali cincin/ barang yang diberikan ketika melamar wanita tersebut, sama ada yang membatalkan pertunangan tersebut pihak lelaki atau pihak wanita.
5. Berbeza dengan apa yang dikemukan di dalam kitab Al-Fatawi, Ibnu Hajar Al-Haytami mengemukakan sebuah kesimpulan bahawa, jika pihak wanita yang membatalkan pertunangan tersebut, maka pihak lelaki boleh meminta kembali barang/cincin tersebut. Jika pihak lelaki yang membatalkan pertunangan tersebut, maka pihak lelaki tidak boleh meminta kembali barangan/ cincin yang telah diberikan semasa melamar wanita tersebut.
6. Kesimpulannya, jika kita berpegang kepada pendapat Imam Ramli dan salah satu pendapat Ibnu Hajar, cincin tersebut boleh dikembalikan semula jika diminta oleh pihak lelak. Manakala menurut Ibnu Hajar di dalam Fatawanya, pihak lelaki tersebut tidak berhak untuk meminta kembali cincin yang telah diberikan kepada pihak wanita kerana dia yang telah memutuskan ikatan pertunangan tersebut.
Wallahu 'Alam
Rujukan.
1. Al-Fatawi Al-Fiqhiyah Al-Kubra, 4/94 & 112-113.
2. Hasyiah Al-Jamal, 4/129
3. Bughyah Al-Mustarsyidin, 214
4. I'anah At-Thalibin, 3/185
2. Hasyiah Al-Jamal, 4/129
3. Bughyah Al-Mustarsyidin, 214
4. I'anah At-Thalibin, 3/185
No comments:
Post a Comment