Di dalam solat berjemaah imam tidak
diwajibkan berniat menjadi imam kecuali pada empat tempat yang disebutkan
sebelum ini. Ini kerana tidak disyaratkan imam berniat menjadi imam untuk
sahnya solat berjemaah akan tetapi orang yang mengikuti imam (makmum)
disyaratkan wajib berniat menjadi makmum (mengikut imam). Jika imam tidak
berniat menjadi imam, solat tetap sah dan sah solat orang yang mengikutinya
berjemaah dengan syarat mereka berniat menjadi makmum.
Pun begitu, imam disunatkan berniat
menjadi imam untuk mendapat kelebihan pahala solat berjemaah. Imam akan
mendapat pahala solat berjemaah bermula dari waktu dia berniat menjadi imam,
sebaliknya dia tidak akan mendapat pahala solat berjemaah sebelum dia berniat
menjadi imam.[1]
Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulamak Syafiyyah
berkenaan pahala berjemaah bagi imam yang tidak berniat menjadi imam.[2]
Pertama: Imam tidak mendapat pahala berjemaah.
Inilah pandangan yang paling kuat dan masyhur di dalam mazhab Syafie.
Kedua: Pahala berjemaah akan diperolehi oleh
imam kerana pahala jemaah itu diperolehi oleh makmumnya. Justeru imam juga
turut mendapat pahala seperti makmum kerana ia menjadi imam bagi mereka.
Ketiga: Menurut Al-Qadhi Husain, perkara ini
berdasarkan dua keadaan iaitu:
i. Jika imam
mengetahui kehadiran makmum di belakangnya, namun dia tidak berniat menjadi
imam, maka dia tidak mendapat pahala solat berjemaah.
ii. Jika imam
tidak mengetahui kehadiran makmum. Contoh seseorang yang solat bersendirian,
kemudian datang sekumpulan orang menjadi makmum di belakangnya (imam tidak
menyedari dan mengetahui kehadiran mereka), maka bagi keadaan seperti ini, walaupun imam tidak
berniat menjadi imam, dia akan turut mendapat pahala berjemaah kerana
terhasilnya pahala solat berjemaah bagi makmum di belakangnya adalah dengan
sebabnya (sebagai imam).
No comments:
Post a Comment