SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Wednesday, May 13, 2015

Memejam Mata Ketika Solat


Para ulamak berbeza pendapat dalam menentukan hukum memejamkan mata ketika solat.

1.     Pendapat Yang Mengatakan Makruh.
Memejamkan mata ketika melakukan solat hukumnya makruh. Penetapan hukum makruh ini berdasarkan alasan bahawa perbuatan tersebut merupakan kebiasaan orang Yahudi. Disamping itu, tidak ditemukan riwayat sama ada daripada Nabi atau pun para Sahabat yang pernah solat dalam keadaan memejamkan mata. Terdapat sebuah hadis yang melarang perbuatan memejamkan mata ketika mengerjakan solat, iaitu hadis yang diriwayat daripada Ibn ‘Abbas, bahawa Nabi bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلَاةِ فَلَا يَغْمِضْ عَيْنَيْهِ
"Jika salah seorang diantara kamu sedang mengerjakan solat, janganlah sesekali ia memejamkan kedua matanya". ( Al-Mu'jam Al-Kabir Lith-Thobroni, no.10956 ).

Pendapat yang mengatakan makruh memejamkan mata ketika solat ini dipelopori oleh seorang ulamak Syafi’e iaitu Syeikh Al-Abdari dan pendapat ini dinukil daripada Tabi’in.

2.     Pendapat Yang Membolehkan.
Tidak makruh memejamkan mata ketika solat, bahkan dibolehkan seseorang itu memejamkan matanya ketika solat. Inilah pendapat yang dipilih oleh Imam Nawawi. Hukumnya tidak makruh memejamkan mata ini, jika sekiranya tidak bimbang terjadi bahaya ke atas dirinya atau orang lain. Hujah pendapat ini adalah kerana tidak ditemui larangan memejamkan mata ketika solat.

Alasan pertama, hadis yang melarang memejamkan mata ketika solat tidak dapat dijadikan hujah dan dalil kerana menurut Imam Al-Haitsami dalam Majma’ Az-Zawaid bahawa terdapat ‘tadlis’ dalam hadis tersebut. Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ pula mengatakan ‘walaisa bisyai’in’.

Namun jika perbuatan memejamkan mata ketika solat itu membahayakan, maka hukumnya menjadi makruh, bahkan boleh jatuh kepada haram menurut Syeikh Ibnu An-Naqib. Ibnu Hajar mengatakan bahawa hukum memejamkan mata menjadi haram jika bahaya dan mudharat yang timbul kesan daripada perbuatan tersebut tidak mampu dielakkan.

Alasan kedua, dengan memejamkan mata seseorang dapat menghindarkan dirinya dari melihat perkara-perkara yang mengganggu tumpuan dan kekhusyukannya, kerana khusyuk adalah ruh daripada solat. Syeikh Ibnu Abdissalam memfatwakan bahawasanya jika orang yang solat tidak jika tidak memejamkan matanya akan menyebabkan kekhusyukannya terganggu, maka solat dengan memejamkan mata lebih baik daripada membuka mata. Imam Ramli berpendapat bahawa disunatkan memejamkan mata ketika solat jika di hadapannya (tempat solat) terdapat dinding yang berhias atau apa-apa sahaja yang dapat mengganggu fikirannya, malah memejamkan mata menjadi wajib jika di hadapannya terdapat perkara-perkara yang haram dipandang.


Kesimpulannya, jika dengan memejamkan mata ketika solat dapat menghadirkan khusyuk di dalam solat, maka itu lebih baik dilakukan. Apatah lagi jika di hadapan orang yang solat terdapat sesuatu yang menganggu tumpuannya seperti corak pada sejadah atau dinding.

No comments:

Post a Comment