SELAMAT DATANG!

SELAMAT DATANG!

Thursday, May 21, 2015

Q&A: SOLAT SUNAT KETIKA KHATIB MEMBACA KHUTBAH


Soal. Assalamualaikum. Tnya ckit. masa solat jumaat, kbiasaan lpas azan kedua khatib berkhutbah dan rmai yg bru smpi masjid... Mna lebih aula, solat sunat tahyatul masjid atau trus dduk dgar khutbah.. Trima kasih

Jawab.

Walaikumussalam.

1. Ijmak Ulamak mengatakan bahawa tidak diharuskan (dibolehkan) menunaikan solat sunat bagi orang yang menghadiri solat Juma'at setelah Imam atau Khatib naik ke atas mimbar (berkhutbah) walaupun dia tidak mendengar khutbah yang disampaikan oleh khatib. Demikian yang disebutkan oleh Imam Al-Mawardi. Malah, Imam Al-Bulqini menambah bahawa solat yang dilakukan itu haram dan tidak sah.

2. Pun begitu, hukum ini terkecuali bagi orang yang hendak melakukan solat tahiyyatul masjid walaupun Imam atau Khatib sudah berada di atas mimbar dan solat itu dilakukan dengan ringkas.

3. Pengecualian ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Jabir radhiyaAllahu 'anhu;
 جَاءَ سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ، فَجَلَسَ، فَقَالَ لَهُ : يَا سُلَيْكُ قُمْ فَارْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَتَجَوَّزْ فِيهِمَا. ثُمَّ قَالَ: «إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ، فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ، وَلْيَتَجَوَّزْ فِيهِمَا Sulaik Al-Ghathafani (سُلَيْكٌ الْغَطَفَانِيُّ) datang (ke masjid) pada hari Jumu’ah (solat Jumi'ah), ketika itu Rasulullah ShallaAllahu 'alayhi wa sallam sedang menyampaikan khutbah, dia (Sulaik) pun lantas duduk. Lalu Baginda berkata kepadanya, “Wahai Sulaik, bangun dan solatlah dua rakaat, serta lakukan dengan ringan.” Kemudian Baginda bersabda, “Jika salah seorang dari kamu datang pada hari Jum’at (untuk menunaikan solat Juma'ah), sedangkan imam sedang berkhutbah, maka hendaklah dia solat dua rakaat (terlebih dahulu), dan hendaknya dia menunaikannya dengan ringan.” (HR Muslim)

4. Solat sunat tahiyyatul masjid itu dilakukan setelah melakukan solat sunat qabliyah Jumaat. Jika belum, maka lebih utama menunaikan solat sunat qabliyah Jumaat dari sunat tahiyyatul masjid. Ini kerana solat sunat qabliyah sudah menampung solat sunat tahiyyatul masjid dan solat tersebut perlu dilakukan dengan ringkas dan tidak melebihi dua rakaat.

5. Jika khatib sudah hampir selesai menyampaikan khutbah, dan jika solat tahiyyatul masjid dilakukan, memungkinkan seseorang itu tertinggal takbiratul ihram bersama Imam dalam solat Juma'at, maka ia tidak diharuskan (tidak perlu) melakukan solat sunat. Yang perlu dilakukan adalah berdiri menunggu sehingga solat Jumaat didirikan, kerana solat tahiyyatul masjid akan ditampung oleh solat Jumaat.

6. Hukum di atas adalah bagi orang yang berada di dalam masjid. Jika seseorang berada di luar masjid, maka dia boleh terus duduk tanpa melakukan solat sunat.

7. Kesimpulannya, lebih aula (utama) seseorang yang lewat datang ke masjid menunaikan solat sunat meskipun khatib sedang menyampaikan khutbah, dengan syarat dia berada di dalam masjid dan khatib belum mengakhiri khutbahnya. Tetapi jika dia berada di luar masjid, maka memadai dia terus duduk mendengar khutbah tanpa melakukan solat sunat.

Wallahu a'lam.


Rujukan.
1. Mughni Al-Muhtaj, 1/553-554
2. Asna Al-Mathalib, 1/258-259



Zaid bin Abdul
No. Tel. 010-2707903



No comments:

Post a Comment